assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Kemenangan Parti Pro-Islam di Turki dan Cabaran Yang Menanti

Parti AK pimpinan Erdogan boleh jadi contoh kepada pergerakan radikal Islam

Berita Harian : 24 Julai 2007

ANKARA: Kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pada pilihan raya umum kelmarin, meletakkan parti pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan itu pada kedudukan kukuh dalam politik Turki – perubahan menakjubkan ke atas pergerakan pro-Islam itu yang pernah dianggap radikal.Penganalisis politik berkata, kemenangan parti AK boleh dianggap kejayaan sistem politik Turki. AK boleh menjadi contoh kepada pergerakan radikal Islam yang lain kerana berjaya membuktikan ia boleh berubah sebagai kuasa demokratik.
AK memenangi 46.3 peratus undi selepas 99.9 peratus pengiraan undi selesai. Ia adalah kemenangan terbesar pernah diraih sebuah parti Turki sejak pemilihan Parlimennya dimulakan pada 1969.Kemenangannya itu menyaksikan AK menguasai 339 daripada 550 kerusi Parlimen – mandat cukup bagi menubuhkan kerajaannya sendiri. Parti itu mempunyai 352 ahli Parlimen sebelum ini dan pencapaiannya kali ini meningkat 12 peratus berbanding 2002. Namun, bilangan kerusinya berkurangan disebabkan kehadiran ramai anggota daripada lebih banyak parti berbanding sebelumnya.
Parti Republikan Rakyat yang menjadi parti sekular utama (CHP) di tempat kedua dengan 20.9 peratus undi atau kira-kira 112 kerusi, mengikut keputusan tidak rasmi.Parti Tindakan Nasionalis (MHP) yang berhaluan kanan di tempat ketiga dengan 14.2 peratus (71 kerusi).Tiada parti lain melepasi syarat 10 peratus ditetapkan bagi menganggotai Parlimen biarpun 28 calon bebas, termasuk 24 mewakili puak Kurdis, turut menang.
Kemenangan parti pro-Islam itu turut memberi kemenangan bermakna bagi Erdogan yang memanggil pemilihan kelmarin selepas partinya dihalang melantik orang kuatnya, Menteri Luar Abdullah Gul sebagai presiden baru berikutan tercetusnya pertikaian dengan golongan elit yang sekular.“Sistem demokrasi kita berjaya melepasi satu ujian. Perpaduan, demokrasi dan negara ini terbukti menjadi lebih kukuh seperti yang dibuktikan menerusi undian itu,” katanya di luar bangunan ibu pejabat AK yang disambut tepukan gemuruh penyokong dan percikan bunga api.

“Kita akan meneruskan usaha pemulihan ekonomi dan demokrasi dengan penuh keazaman,” kata Erdogan sambil berikrar meneruskan komitmen terhadap sistem sekular dan memastikan Turki menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU). Erdogan sendiri berdepan krisis terburuk kariernya April lalu selepas pembangkang memboikot pemilihan Parlimen ketika Gul, yang juga orang kanannya hampir menduduki kerusi Presiden. Krisis itu mencapai kemuncaknya apabila pasukan tentera yang berpengaruh memberi amaran dalam satu kenyataan tegas yang ia bersedia melakukan apa saja demi melindungi sistem sekular dan berjuta-juta penduduk Turki menyertai bantahan jalan raya bagi menentang pemilihan calon AK sebagai presiden.

“Keputusan undian itu jelas membuktikan yang rakyat tidak menyalahkan AKP di atas ketegangan politik yang berlaku,” kata penganalisis politik, Taha Akyol.“Rakyat sebaliknya memberi kebenaran kepada AKP melantik presiden baru.”Wartawan veteran, Hasan Cemal pula berkata, pemilihan itu adalah ‘satu memorandum rakyat kepada tentera supaya tidak mencampuri urusan politik.’ - AFP

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan saya :


Perkembangan dunia hari ini menyaksikan kebangkitan umat Islam untuk kembali kepada Islam begitu meruap-ruap, walaupun musuh Islam menggunakan pelbagai cara untuk menutup kebenaran. Turki, bumi saksi kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah angkara Mustafa Kamal Attaturk pada hari ini menyaksikan perjuangan Islam masih lagi mampu bernafas sekalipun menghadapi pelbagai tekanan.

Pun begitu, saya melihat situasi dan cabaran yang bakal dihadapi oleh Parti AK di Turki agak hebat. Turki di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) mungkin terpaksa berpresidenkan seorang sekularis lantaran calon presiden dari Parti AK, Abdullah Gul ditolak oleh golongan yang menjunjung perlembagaan sekular Turki baru-baru ini. Jika ini berlaku, situasi mereka menjadi hampir sama (walaupun tidak serupa) dengan keadaan HAMAS, parti pro-Islam (baca : gerakan Islam) di Palestin ketika mendapat mandat membentuk kerajaan, yang terpaksa berpresidenkan seorang nasionalis sekular (Mahmud Abbas) yang akhirnya membuat onar dengan menjatuhkan kerajaan HAMAS yang dipilih oleh rakyat.

Parti AK merupakan kesinambungan Parti Refah (baca :gerakan Islam) yang pernah dinafikan hak memerintah oleh tentera yang mendokong sekular walaupun memenangi pilihanraya suatu masa dulu, hari ini berjaya membuktikan kejayaannya meraih sokongan rakyat setelah mengubah beberapa pendekatan mereka. Sistem republik ciptaan Barat ini sebenarnya tidak terjamin selamat untuk mendirikan kerajaan Islam kerana demokrasi ciptaan ini boleh diragut sewenang-wenangnya atas nama 'keluhuran' perlembagaan. Presiden boleh menggunakan kuasanya untuk mengganggu kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Apatah lagi, keadaan Turki di mana tentera mempunyai kuasa untuk menumbangkan kerajaan. (Dalam sistem republik , pilihanraya memilih ahli parlimen dan pilihanraya presiden dilakukan berasingan. Presiden (ketua negara) tidak semestinya daripada parti pemerintah yang menang pilihanraya, cuma Perdana Menteri (ketua kerajaan) dilantik daripada parti yang menang. )


Pun begitu, perlu difahami bahawa kebanyakan gerakan Islam sedunia memilih untuk menyertai pilihanraya kerana menggunakan wasilah pilihanraya yang merupakan bentuk 'muwajahah silmiyyah' (pertembungan secara aman) lebih baik daripada menggunakan pendekatan revolusi (secara kekerasan). Mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah menggunakan sistem 'himayah wal jiwar' yang merupakan sistem jahiliyah ketika baginda ingin masuk ke Mekah, gerakan Islam hari ini menggunakan pendekatan menyertai pilihanraya walaupun pilihanraya dan demokrasi bukan sistem Islam. Walaupun sukar, sekurang-kurangnya dengan kemenangan gerakan Islam dalam pilihanraya, kuasa pemerintahan tersebut dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan Islam secara aman dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang. Itu lebih baik daripada mengambil pendapat yang mengatakan pilihanraya tidak syar'ie lalu tidak menyertai pilihanraya langsung, natijahnya rakyat terpaksa akur apabila kerajaan yang naik memerintah melalui pilihanraya adalah kerajaan sekular yang menindas.

Menggunakan kaedah revolusi untuk menumbangkan kerajaan pula buat masa ini dilihat masih belum sesuai kerana masih banyak ruang untuk kita menggunakan cara aman. Kaedah kekerasan adakalanya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan apabila gerakan yang asalnya bertujuan menggulingkan kerajaan sekular dan menggantikannya dengan kerajaan Islam akhirnya menyebabkan tercetus perang saudara sesama Islam yang akhirnya menyebabkan musuh Islam yang mendapat keuntungan. Pun begitu, saya tidak menafikan Revolusi Iran mempunyai keunikan yang tersendiri apabila mendirikan Republik Islam Iran.

Apapun, yang pastinya, kita mendoakan Parti AK mampu merealisasikan cita-cita Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan. Musuh Islam tidak akan senang melihat Islam menjadi tuan, malah sentiasa mencari jalan agar Islam diperkotak-katikkan. Sesuatu yang dibuat atas nama Islam mestilah mengambilkira pelbagai aspek kerana kesilapan dalam mengatur tindakan akan mencemarkan nama baik Islam dan menguntungkan pihak musuh.

Pesanan buat para pejuang Islam , ingatlah bahawa memperjuangkan Islam mestilah atas dasar ilmu dan kefahaman, bukan atas dasar semangat dan ikut-ikutan yang lebih menghampirkan kita kepada kesesatan. Tambahkan ilmu, pergiatkan amal,tuluskan niat, gandakan jihad dan teguhkan istiqamah. Moga Allah menjadi saksi setiap pengorbanan yang dicurahkan. Yakinlah, Islam adalah penyelesai kepada semua masalah.

p/s : Saya tidak setuju penggunaan istilah radikal dalam artikel di atas. Anda pula bagaimana?





0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger