assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Memaparkan catatan dengan label kekeluargaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kekeluargaan. Papar semua catatan

Rindu Perantau..


Gambar Aidilfitri 1429 H
(kami takde dalam gambar ni, jangan cari!)









Pengantin baru
(Adikku Najmi & isteri, Mazniza)












Sedang merindu keluarga di tanah air, tiba-tiba terbaca entri Abu Saif ini. Saya amat bersetuju sekali. Menuntut ilmu ini benar-benar suatu jihad !

Peperangan Harus Terancang

Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.

Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan.

Apa yang saya cari?

Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.

Bakal tercampak sunyi di negeri orang.

Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.

Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!

Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apakah yang saya cari?

Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?

Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu.

Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.


Entri penuh di : Nafar Ke Medan Juang

SPECIAL WISHES

Special wishes for...

1. Kepimpinan KPIPM, KPKM serta semua kepimpinan BKAN dan DPM sesi 2008/2009, dengan ucapan :

SELAMAT MENJALANKAN TUGAS DAN AMANAH.
"Ajarilah pengikutmu dengan tingkahlakumu sebelum mengajari mereka dengan kata-katamu"-Kata-kata Saidina Ali k.w.
Doa saya sentiasa mengiringi kalian semua.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


2. Adik saya,Muhammad Najmi bin Ahmad Zabidi yang bakal menjadi 'suami orang' beberapa hari lagi, dengan ucapan:

SELAMAT MENEMPUH ALAM RUMAHTANGGA.
Jadikan SABAR, BERLAPANG DADA, SALING MEMBERI serta SALING MENGHARGAI sebagai bekal.
Semoga berjaya menjadi nakhoda yang baik,jua dapat mengemudi bahtera perkahwinan sampai ke pelabuhan impian, malah yang terpenting, berjaya meraih keredhaan Allah SWT.



3. Anak-anak saudara saya, tiga sekawan ;Raden Muhammad Mu'az bin Muhammad Mun'im, Raden Aiman bin Muhammad Anas dan Raden Muhammad Fawwaz bin Muhammad Farhan, dengan ucapan :

SELAMAT MAJU JAYA di dalam PMR.
Semoga beroleh kejayaan cemerlang yang akan menjadi pemangkin kepada kegemilangan Islam.

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Teman Jihad Mustafa Masyhur

Jika sekiranya para hukamak mengatakan " Sesungguhnya di belakang setiap lelaki yang hebat, ada wanita di belakangnya ", maka Almarhumah isteri Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Mustafa Masyhur merupakan wanita yang berada di belakang suaminya, membantu dan mendorong dari belakang, menyokongnya untuk terus bergerak dalam jalan Dakwah walau berdepan dengan ranjau dan duri.

Detik-detik jihad Almarhumah terlalu banyak. "Saudari akan menjadi isteriku yang kedua kerana aku telah berkahwin dengan isteriku yang pertama sebelum saudari. Aku amat mencintainya dan aku tidak sanggup untuk berpisah dengannya ". Almarhumah bertanya, "Siapakah dia?". Ustaz Mursyid menjawab, " Dia adalah Dakwah di jalan Allah. Diharap saudari jangan cemburu kepadanya ". Almarhumah menjawab, "Dakwah tersebut adalah tuanku dan aku adalah khadamnya".

Begitulah teguhnya janji yang diukir sehingga berlalu 51 tahun Almarhumah mengharungi masa tersebut bersama suaminya. Dakwah Ikhwan Muslimin adalah tuannya yang menyuruh, lalu dia mentaatinya. Dakwah berkata, dan dia patuh mendengar kata-kata tersebut. Suaminya di penjara selama 19 tahun, dalam tahun-tahun 50an, 60an dan awal 70an, tetapi Almarhumah tetap setia pada janjinya dan tsabat di atas Dakwah ini.

Apabila Ustaz Mursyid mula dipenjara, dia meninggalkan 4 orang anak kecil kepada Almarhumah untuk dibesarkan olehnya berseorangan diri. Mereka ialah Masyhur, Salwa, Wafak dan Sumayyah. Jadilah Almarhumah sebagai ibu dan ayah kepada mereka. Almarhumah mendidik mereka dengan baik. Apabila Ustaz Mustafa keluar dari penjara, dia mendapati mereka dalam keadaan sebaik-baik agama, ilmu dan akhlaq. Sangat berat hari-hari berlalu ketika suami dipenjara tetapi Almarhumah bersungguh-sungguh berusaha memastikan hari-hari itu indah lagi menggembirakan untuk anak-anak mereka.

Pernah mereka tidak dibenarkan menziarahi Ustaz Mursyid di penjara Wahaat selama 9 tahun lalu Almarhumah menghubungkan mereka dengan ayah mereka melalui surat pos. Almarhumah memegang pen di tangan-tangan kecil mereka menulis kalimat-kalimat tsabat dan dorongan kepada ayah yang sedang berada di belakang jaringan besi di penjara. Almarhumah menyanyikan untuk mereka " Nahnu nuhibbu baba, wa baba yuhibbuna " ( Kami sayangkan ayah, dan ayah sayangkan kami ). Almarhumah membeli permainan dan hadiah dengan duit yang tersimpan agar dia menghadiahkan kepada mereka yang masih kecil dengan mengatakan " Baba arsala ilaikum hazihi hadaya" ( Ayah kirim hadiah-hadiah ini untuk kamu ).

Berlaku mehnah yang dikenali sebagai "Mehnah Takyid" ( Dugaan memberi sokongan kepada Presiden Jamal Abdul Nasir yang menghukum mereka, iaitu dengan menggunakan anak-anak Ikhwan yang dipenjara untuk memujuk ayah-ayah mereka menerima tawaran bebas dari penjara dengan syarat menulis beberapa perkataan atas kertas menyokong Jamal Nasir ; mehnah = dugaan, takyid = sokong ). Beberapa orang dari saudara mara Ustaz Mursyid menyuruh anak-anak perempuan beliau pergi ke penjara untuk memujuk ayah agar menulis sokongan dan balik ke rumah bersama mereka tetapi Almarhumah enggan dan memesan kepada anak-anak agar tidak menunjukkan jemu dan risau lantaran ketiadaan ayah yang panjang. Teruslah si ayah dalam penjara dengan tsabat dan teguh, menolak sebarang sokongan terhadap Sistem yang memenjarakannya.

Pernah apabila hari-hari raya menjelang tiba, Almarhumah tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian hari raya untuk anak-anak. Untuk menggembirakan mereka, beliau menurunkan beberapa kain langsir rumah untuk dibuat pakaian raya. Pernah juga beliau sampul kusyen kerusi dan sofa dijahitnya menjadi baju anak-anak.

Almarhumah menanamkan kedalam jiwa anak-anak perasaan theqah kepada Allah, meneguhkan hati mereka dengan rasa bangga terhadap tugas ayah dalam menyampaikan risalah Dakwah. Beliau menjadikan anak-anak merasakan bahawa ayah mereka adalah seorang mujahid, dipenjara kepada aqidahnya dan patut mereka berbangga dan menceritakan perkara ini kepada kawan-kawan yang lain.

Apabila Ustaz Mursyid keluar dari penjara, Almarhumah menyambung perjalanannya bersama Mursyid, mencurahkan pengorbanan. Ustaz Mursyid yang sentiasa pergi ke marata tempat dalam dan luar Mesir berdakwah di jalan Allah. Waktu di rumah sangat sedikit, namun Almarhumah tetap redha dan tenang. Bahkan di hari-hari yang kebiasaannya ahli keluarga berkumpul seperti berbuka dibulan Ramadhan, beliau
berkorban haknya untuk diberikan kepada anak-anak Dakwah lain yang mengundang si suami. Almarhumah berkongsi perasaan dan prihatin suami terhadap anak-anak Dakwah di mana sahaja mereka berada, dalam atau luar negeri, bertanyakan keadaan keluarga dan
anak-anak mereka dan sering mendoakan untuk mereka.

Almarhumah kuat berpuasa, qiamullail, berbudi luhur dan sentiasa berharap kebaikan kepada manusia - semua manusia. Sejak bertahun-tahun Almarhumah tidak ketinggalan bersama suaminya berqiamullail. Beliau memastikan bahagian akhir malam untuknya dan suaminya, bersama Allah, bermunajat dan berdoa kepadaNya agar dia menemuiNya dalam keadaan dia redha lagi diredhai olehNya.

Semoga Allah mengampuninya dan melimpahi rahmat keatasnya. Kita tidak mengatakan sesuatu melainkan yang diredhai oleh Allah : Inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun ( Kita dari Allah, dan kepadaNya kita akan kembali ).

(Adaptasi daripada artikel 'Perginya Teman Jihad Mursyid Am' di satu laman web muslimat)

Updated : Lelaki dan Wanita : Makhluk Dari Dua Planet


Dalam celah-celah kesibukan , sempat juga saya mengintai helaian e-book "Men Are From Mars Women Are From Venus" karangan John Gray. Belum sempat menghabiskannya lagi, tetapi sempat membaca satu dua bab yang menarik perhatian.

Benarlah,perkahwinan yang dibina atas dasar cinta boleh musnah jika tiada persefahaman dan pemahaman bahawa lelaki dan wanita adalah seumpama makhluk yang datang dari planet yang berbeza. Mereka boleh bercakap bahasa yang sama tetapi membawa maksud yang berbeza. Tingkahlaku yang sama tetapi membawa mesej yang berlainan. Seringkali perceraian menjadi pengakhiran kisah cinta yang panjang semata-mata kerana silap faham dan kurang arif bentuk komunikasi yang sewajarnya dalam menghadapi pasangan.

Paling menarik ialah bagaimana lelaki dikatakan mempunyai emosi seperti getah, wanita pula seperti ombak. John Gray mengisahkan bagaimana wanita selalu tersalah tafsir apabila lelaki yang selalunya mesra tiba-tiba mendiamkan diri. Bagi wanita, mereka menganggap pasangannya sudah tidak cintakannya atau mempercayainya lagi. Hakikatnya, mengikut kajian yang dilakukannya, dalam tempoh-tempoh tertentu, lelaki memerlukan masa untuk bersendiri ( pergi ke 'gua'nya) untuk berfikir menyelesaikan masalah yang membelenggu pemikirannya tanpa bantuan orang lain. Seperti getah, biarkan dia tertarik jauh untuk meregang, akhirnya akan melantun semula. Ertinya, apabila lelaki berada di 'gua'nya, biarkan dia mengambil masa untuk berfikir, melakukan aktiviti yang disukainya sendirian, apabila selesai dan dia kembali tenang, dia akan segera kembali seperti sediakala seumpama tiada apa-apa yang berlaku.

Apabila membaca tentang hal ini, saya terfikir bagaimana Saidatina Khadijah telah menjadi tauladan buat para isteri , mendahulu teori pakar motivasi ini dalam mengenali hati seorang lelaki. Bagaimana fahamnya isteri bernama Khadijah ini terhadap keresahan hati suaminya Muhammad, dibiarkan suaminya beruzlah di Gua Hira' untuk mencari jawapan keresahan hatinya terhadap kefasadan umat. Dia tidak bertanya yang bukan-bukan, mencurigai yang tidak-tidak, malah dengan kasih sayangnya, beliau memahami, bahkan sanggup pula memanjat bukit menghantar bekalan makanan buat suami yang tercinta hinggalah selepas turunnya wahyu yang menobatkan Muhammad sebagai Rasul Umat ini, beliau jugalah yang menenangkan dengan kata-katanya yang indah dan mendamaikan.

Sebaliknya, wanita yang diumpama seperti ombak pula, apabila menghadapi masalah lebih suka meluahkan masalah yang dihadapi kepada seseorang. Walaupun teman di sisi sekadar mendengar dengan penuh setia, itu cukup untuk meredakan kekusutan yang dihadapi oleh seseorang wanita. Biarkan ombak menghempas kuat ke dasar lautan, kelak dia akan melambung tinggi semula. Biarkan wanita meluahkan ke'tension'annya, selepas itu apabila 'ombak' reda , dia menjadi wanita yang penuh kasih sayang seperti biasa. Wanita bukan ingin menghukum pendengar (lelaki sering merasa dipersalahkan apabila wanita meluahkan keresahan hatinya), tetapi dia sekadar inginkan perhatian dan sokongan daripada pasangannya.

Dalam hal ini saya teringat kisah Saidina Umar yang hanya diam mendengar isterinya membebel sehingga seorang sahabat yuang ingin mengadu tentang isterinya juga berasa hairan dengan tingkah laku Umar. Mungkin sahaja sahabat ini berfikir,"Ingatkan isteri aku je yang membebel, rupanya isteri Umar pun dua kali lima ." Apa jawab Umar r.a.? Dalam bahasa mudahnya,"Isteriku inilah yang melahirkan anak-anakku, memasak untukku dan mengurus rumahtanggaku, biarkan sahaja dia meluahkan isi hatinya."

Demikianlah secebis iktibar yang boleh kita ambil dari teori penulis Barat yang sebenarnya telah diamalkan oleh generasi Islam terdahulu. Bagi saya, kata kunci yang paling sesuai dalam merumuskan teori di atas ialah sifat SABAR dan BERLAPANG DADA.Buat adik-adik yang bakal berkahwin dan juga yang belum membaca buku ini, rasanya elok juga menambah ilmu komunikasi rumahtangga dengan membacanya. Mudah-mudahan kita dapat membina Baiti Jannati, menjadi pasangan yang saling memahami,bahagia untuk selamanya.

Teori ini boleh jadi tepat dengan sesetengah orang, boleh jadi juga kurang tepat bagi sesetengah yang lain. Bagi yang ingin mendapatkan buku ini, boleh dapatkan di kedai buku atau boleh juga download dari blog ini.

p/s : Oh, ye.Terlupa nak beritahu(harap tidak menjadi isu pula), saya tertarik membaca buku ini setelah membaca artikel di saifulislam.com, pun begitu artikel ini ditulis dengan berpandukan e-book John Gray tersebut, bukan copy paste artikel saifulislam.com. Persamaan isi kerana persamaan rujukan, anggap saja artikel ini ibarat artikel ulasan buku. Bukankah satu buku dibaca oleh berjuta-juta orang dan setiap orang berbeza ulasan mengikut persepsi masing-masing.Sebenarnya teori ombak dan getah ini pernah saya baca sebelum ini turut digunakan oleh Dr. Fadzilah Kamsah. Bagi yang 'quote' artikel ini, harap maaf atas sebarang kesulitan.Sesungguhnya ilmu manusia itu sedikit, yang Maha Luas ilmuNya hanyalah Allah.

Duhai Ayahanda...

Hari ini 15 Jun sambutan hari bapa di beberapa buah negara diadakan. Rupa-rupanya tarikh sambutan hari bapa ini berbeza mengikut negara.Sambutan ini meraikan seorang lelaki yang merupakan tunjang dalam keluarga, bergandingan dengan ibu yang sabar mendidik dan membesarkan anak-anak. Maklumat lanjut tentang hari bapa di sini.

Arwah bapa kembali ke rahmatullah sejak saya berusia 15 tahun. Mengenangkan pemergian beliau mengundang sebak di dada. Bapa saya pergi sebelum sempat melihat saya berjaya dalam PMR yang saya duduki tahun itu dan seterusnya melihat anak-anak yang lain semua berjaya.Saya amat menghargai pengorbanan arwah bapa (dan ibu tentunya) yang begitu sabar mendidik saya dan adik-beradik yang lain serta memberi kasih sayang dengan caranya tersendiri.

Arwah bapa saya seorang yang tidak banyak bercakap dan jarang marah.Beliau seorang yang kemas, membasuh pakaiannya sendiri, menggosok setiap pakaiannya termasuklah kain pelikat yang dipakai untuk ke masjid. Bahkan,ibu menceritakan bahawa sewaktu mata beliau masih terang, beliau mampu menjahit baju raya untuk kami kerana beliau pandai menjahit. Dibelikannya buku dan pensel untuk kami belajar menulis, bahkan beliau menyediakan stok buku tulis, pensel, pemadam dan pengasah pensel di dalam almarinya untuk kami adik-beradik. Pensel habis, tidak perlu beli di luar, minta saja dengan beliau. Secara halus, kami diasuh mencintai ilmu sejak dari kecil.

Arwah bapa saya belajar di sekolah Inggeris hingga Darjah Enam dan sekolah Arab hingga ke Maktab Mahmud, Kedah. Pernah mengajar di Madrasah Idrishiah Kuala Kangsar dan mengajar beberapa orang ustaz saya di sekolah menengah, bahkan kata ibu, Sabihus Samahah Mufti Perak sekarang juga bekas anak murid arwah bapa.Tetapi, malu pula saya nak bertanya kepada Dato' Mufti betul ke tidak :-).Boleh jadi Dato' Mufti pun sudah tidak ingat. Namun, beliau memilih untuk berpindah mengajar di kampung kerana ingin menjaga arwah nenek.

Banyak yang saya belajar dengan arwah bapa, namun,jasa arwah bapa yang paling terbesar kepada saya adalah dengan memberikan pendidikan agama khususnya saya yang dilorongkan ke pengajian agama sejak di sekolah menengah dengan harapan ada anaknya yang meneruskan pengajian di bidang ini. Andai kata saya tidak diajar membaca Al-Quran sejak dari kecil, diajar tentang solat dan berakhlak dengan akhlak Islam, saya tidak tahu bagaiman keadaan saya pada hari ini.

Terlalu banyak pengorbanan seorang bapa kepada anak-anak.Tinggal lagi bagaimana seorang anak ingin membalas jasa-jasa beliau. Setelah beliau meninggal dunia, apa yang boleh dilakukan ialah selalu mendoakan beliau, menyedekahkan pahala kepada roh beliau dan berbuat baik dengan kaum keluarga serta sahabat-sahabatnya.

Moga Allah mencucuri rahmat buat roh arwah bapa saya Ahmad Zabidi bin Abdul Fattah dan ditempatkan bersama para Anbiya' dan Solihin. Al-Fatihah!

Juga, selamat hari bapa buat bapa-bapa sekelian.

Nasyid Buatmu Ibu sempena Hari Ibu (11 Mei)

Cinta dan Erti Sebuah Perkahwinan

Perkara ini sangat penting untuk ditulis kerana di sekitar saya kelompok pemuda pemudi di ambang perkahwinan yang amat memerlukan bimbingan. Sebenarnya saya tidak pandai menulis tentang perkara ini dengan cara yang mengesankan, tetapi saya linkkan kepada anda satu pengalaman hidup yang amat menarik untuk dibaca oleh para generasi muda hari ini yang mencari-cari erti cinta dan sebuah perkahwinan. Pertama kali saya membaca artikel ini, air mata saya mengalir tanpa saya sedari dan hati saya sangat membenarkan pengalaman tersebut. Bacalah dari hati anda di : http://saifulislam.com/?p=75 . Juga sedikit peringatan bagi anda yang bercinta dengan 'kosmetik Islam' di : http://saifulislam.com/?p=691 . Semoga bermanfaat.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger