assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Blog oh Blog!

Hari ini mencipta sejarah tersendiri buat diriku yang tiada apa-apa ini. Hal yang mungkin sudah lali dilalui oleh sebilangan ahli akademik, orang-orang yang popular, penulis-penulis yang prolifik, tetapi tidak bagiku. Apa kisahnya? Kisahnya, seorang mahasiswi dari Indonesia meminta riwayat hidupku untuk dimuatkan dalam assignmentnya yang mengulas tentang tulisan ilmiah di blogku. Betapa dunia tanpa sempadan ini telah menemukan aku dan dia yang terpisah antara benua atas dasar perkongsian ilmu, bahkan diabadikan di alam ilmiah pula.

Sejenak aku seolah-olah baru tersedar bahawa blog peribadi berupaya mencipta sejarah yang tersendiri. Hakikatnya, blog ialah medan penulisan yang terbuka. Setiap orang boleh menulis apa sahaja yang diinginkan. Ada orang meluahkan perasaan di blog-blog peribadi mereka, ibarat diari terbuka yang dikongsi dengan khalayak pembaca. Ada pula yang melakukan kempen menentang kezaliman, mengkritik dan menuntut hak kebebasan bersuara melalui tulisan mereka. Yang lain menjadikan blog sebagai medan dakwah. Ada juga yang menjadikan blog medan mencari makan dan meluaskan perniagaan. Bak kata orang zaman sekarang, macam-macam ada..

Pun begitu, sebagai muslim, kita mempunyai etika penulisan yang tersendiri. Ini kerana persoalan dosa dan pahala tetap terpakai di arena penulisan terbuka ini. Setiap kebaikan yang dipaparkan, lalu diikuti oleh para pembaca blog, akan mendatangkan pahala kepada penulis. Begitu jua sebaliknya, jika keburukan yang ditonjolkan, lalu mendatangkan dosa kepada pembaca sama ada dengan menayangkan gambar wanita yang tidak menutup aurat, penulisan yang mendorong kepada perbuatan jahat, akan diberi dosa oleh Allah swt.

Rasululah bersabda :
"Barangsiapa yang menunjukkan kepada suatu perbuatan baik, baginya pahala orang yang mengikutnya, tanpa berkurang sedikitpun. Barangsiapa yang menunjukkan suatu perbuatan jahat, baginya dosa orang yang mengikutnya, tidak berkurang sedikitpun."


Pendek kata, alam blog ini mampu menjadi sungai pahala yang mengalirkan jernih pahala yang membawa pembaca kepada kebaikan emosi, akal, jasad dan roh hingga melaut di lautan amal soleh, atau sebaliknya menjadi sungai dosa yang mengalirkan sampah sarap dosa ke lautan amalan kejahatan kita. Oleh itu , sama-samalah kita saling memperingatkan, sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan apa yang kita lakukan, malaikat raqib dan atid sentiasa setia bertugas tanpa kita menyedarinya. Fikir baik-baik sebelum menulis ya!

Apapun, Alhamdulillah atas limpahan kebaikan dariMu ya Allah buat hamba-hambaMu ini. Mudah-mudahan blog mampu terus menjadi wadah untuk saya dan anda semua melahirkan rasa syukur atas anugerah nikmatNya yang tidak terhitung, lagi tidak termampu untuk dibalas setimpalnya. Semoga amal yang kerdil ini diterima sebagai amal soleh di sisiNya.

Muharram, Khaibar, Palestin dan Kita

"Bilakah berlaku peperangan Khaibar?" saya bertanya teman-teman dengan soalan seumpama kuiz.
"Tak ingatlah, mungkin 8 Hijrah," jawab teman saya.

Setepatnya, peperangan Khaibar berlaku pada akhir Muharram tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan ini, tentera muslimin berjaya mengalahkan Yahudi Khaibar, 60 - 80 batu di selatan Madinah dengan bilangan tentera muslimin yang sedikit berbanding Yahudi.

Ketika serangan Israel dibuat ke atas Ghaza baru-baru ini, saya mencari-cari maklumat sejarah peperangan Rasulullah bersama kaum Yahudi. Saya teruja apabila mendapati kemenangan Rasulullah dan umat Islam di Khaibar berlaku pada bulan Muharram. Dalam hati saya berdoa, mudah-mudahan Allah mengurniakan kemenangan kepada muslimin di Ghaza ke atas rejim Zionis pada bulan Muharram tahun ini sebagaimana Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah di Khaibar 1422 tahun yang lalu.

Dalam masa yang sama, tanpa saya sedari, selera makan saya menurun sejak krisis di Ghaza bermula. Makan nasi pun kerana lapar. Saya tersedar hal ini apabila menziarahi jiran saya, seorang rakyat Britain keturunan Bangladesh. Dia menceritakan dia tidak mampu untuk menghabiskan makanan yang dimakan kerana terlalu sedih, bahkan juga takut! Betapa isu Ghaza menyayat hati kebanyakan kita yang masih punya hati dan perasaan.

Semalam, Ismail Haneyyah , Perdana Menteri Palestin mengumumkan kemenangan HAMAS ke atas Israel selepas pengumuman genjatan senjata dan pengunduran berperingkat tentera Israel oleh Ehud Olmert. Walaupun peperangan di Ghaza telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Ghaza, namun itu bukan bermakna kemenangan bagi rejim Zionis Israel. Ini kerana mereka yang terkorban kebanyakannya adalah rakyat awam yang tidak bersenjata, wanita dan kanak-kanak, bukannya pejuang HAMAS, Jihad Islami dan lain-lain kumpulan pejuang Palestin.

Hakikatnya, Israel sebenarnya cuba menyembunyikan kegagalannya melumpuhkan HAMAS yang menjadi tujuan utama serangan ke atas Ghaza. Mereka menghadapi tentangan hebat daripada pejuang Palestin, bahkan media mereka menyifatkan peperangan ini sebagai tersengit dan paling dahsyat dalam sejarah Israel. Sebaliknya, sokongan terhadap HAMAS semakin kuat, bukan setakat di Ghaza , malah di seluruh dunia. Kita melihat Vanezuela dan Bolivia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Qatar dan Mauritania juga memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel (walaupun sepatutnya dari dulu lagi semua negara umat Islam berbuat demikian).

Cuma, agak dikesali sikap beberapa pemimpin negara Arab yang memilih untuk berbaik-baik dengan Israel dan Amerika Syarikat setelah apa yang dilakukan Israel terhadap Ghaza. Buta hatikah mereka? Apakah maslahah ekonomi lebih utama daripada maslahah umat Islam di Palestin, wahai pemimpin Arab?!!

Hati ini sejuk semula membaca berita Ikhwan Muslimin Jordan telah melancarkan projek mempersaudarakan keluarga-keluarga di Ghaza dengan keluarga-keluarga di Negara Arab dan seluruh dunia. Persaudaraan ini akan membolehkan keluarga-keluarga ini berhubung untuk memberi bantuan kewangan, pendidikan dan sebagainya secara berterusan. Bagai mengimbau semangat Muhajirin dan Ansar, usaha ini jelas menunjukan kecintaan saudara seIslam terhadap muslimin di Palestin. Sekurang-kurangnya rakyat Ghaza tidak rasa bersendirian menghadapi mehnah ini setelah mereka kehilangan orang-orang tersayang dan harta benda musnah sama sekali.

Oh ya! Kalau anda nak tahu, kempen boikot barangan Israel yang dilakukan oleh masyarakat dunia telah mula menampakkan kesannya. Kerugian besar dilaporkan berlaku kepada industri pertanian Israel apabila syarikat-syarikat pengimport hasil pertanian dari Israel menarik balik kontrak pembelian. Oleh itu, jangan pandang enteng usaha dan kempen boikot yang dilakukan! Boikot akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada Israel dan sekutunya.

Sesungguhnya, Allah tidak akan mensia-siakan darah syuhada' yang mengalir. Walaupun HAMAS kehilangan tokoh-tokoh besar mereka seperti Nizar Rayyan, Said Siyam dan ramai lagi yang syahid dalam peperangan ini, yakinlah akan bangkit lagi beribu pejuang seumpama mereka. Walaupun Israel pernah membunuh Sheikh Ahmad Yasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi dan ramai lagi, mereka tidak boleh menyekat semangat jihad yang mengalir di dalam jasad ummah.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 55 :

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Justeru, di awal tahun 1429 Hijrah ini, sama-sama kita berazam untuk kembali berpegang teguh kepada ajaran agama Allah kerana taqwa itu merupakan syarat kemenangan yang dijanjikan Allah. Sebagaimana kita melihat hal ini difahami begitu mendalam oleh Briged Izzuddin Al-Qassam yang memilih anggotanya dengan mencari pemuda-pemuda yang solat Subuh berjemaah di masjid. Inilah medan muhasabah dan medan bertindak kita tanpa kecuali. Kembalikan kewarakan Umar Al-Khattab, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh di dalam diri kita. Tiada keizzahan dan kemuliaan melainkan dengan berpegang teguh kepada kepada Islam. Teruskan berdoa, berkempen, memboikot, menderma, misi bantuan kemanusiaan dan sebagainya, tetapi segalanya perlu bertitik tolak daripada TAQWA .

Yakinlah dengan janji Allah, bahawa kemenangan itu dekat, cuma tidak kita ketahui bila dan bagaimana. Berusahalah dengan apa jua kemampuan yang kita ada. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan Allah tidak sekali-kali memungkiri janji. Semoga Allah akan membebaskan Bumi Isra' Mi'raj dan Masjidil Aqsa kembali ke tangan umat Islam..

Bulan Mengambang Di Kuala Terengganu

Ada orang jangkakan bulan gerhana, rupa-rupanya bulan mengambang!

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd!

Anda tidak faham maksud saya? Baca di sini.

Temuramah dengan bekas imam Masjid al-Aqsa

SYEIKH Dr Mohammed Mahmoud Siyam berasal dari Gaza, Palestin. Mantan imam dan khatib Masjid Al-Aqsa serta mantan Rektor Universiti Islam Gaza adalah seorang tokoh yang sangat dikenali di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan isu-isu umat Islam di Palestin. Beliau yang telah lebih 20 tahun diusir dari tanah airnya kini berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Institut Al-Quds Antarabangsa dan Presiden Pertubuhan Ikatan Ulama Palestin di Yaman. Untuk mendapatkan pandangan beliau berhubung serangan tentera Israel terhadap Gaza, wakil Harakah, IMRAN AL-MALIZI menemui beliau di kediamannya di Sana�a, Yaman baru-baru ini.

HARAKAH: Sejak lebih kurang setahun lalu, ketika bermulanya kepungan terhadap wilayah Gaza, adakah tuan sudah menjangkakan serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel baru-baru ini? Mengapa sekarang? Kenapa tidak beberapa bulan yang lalu?

SYEIKH SIYAM: Bismillahir-Rahman ar-Rahim. Saya berterima kasih kepada akhbar Harakah dan saudara-saudara saya dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ya, memang benar. Kita tidak mengharapkan sesuatu daripada seteru melainkan hanya permusuhan. Tetapi kita tidak dapat menjangka kebengisan dan serangan seperti sekarang ini. Betapa dahaganya mereka menghirup darah. Sejak hari pertama serangan, beratus-ratus nyawa telah terkorban dan beribu-ribu yang tercedera. Serangan ini didukung oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab. Seluruh dunia menyaksikan dengan telinga dan mata mereka. Benar, terdapat usaha yang sedang dijalankan, tetapi tidak sampai kadar yang sepatutnya.

Kenapa serangan dibuat sekarang ini? Terdapat dua sebab. Yang pertama, syarat yang diletakkan oleh Hamas kepada musuh untuk menghentikan serangan ialah supaya laluan-laluan di sempadan dibuka dan kepungan terhadap Gaza dihentikan. Akan tetapi, pihak Zionis tidak mahu menerima syarat itu sepanjang enam bulan yang lalu. Cukuplah! Hamas tidak mahu memperbaharui rundingan gencatan senjata dan sanggup menanggung akibatnya.

Sebab yang kedua ialah tempoh berakhirnya pemerintahan Mahmoud Abbas semakin dekat. Hamas tidak mahu menerima beliau lagi dan pihak Zionis masih mahu memperbaharui tempoh jawatan yang disandangnya yang berakhir pada 8 Januari 2009. Lalu berakhirlah kekuasaan beliau. Kerana itu mereka menyerang kedudukan Hamas, mereka mahu melanjutkan kuasa Mahmoud Abbas kerana dia berkhidmat bagi pihak mereka, mengikut arahan mereka. Dia bersama-sama dengan pihak keselamatan Palestin bertungkus-lumus mempertahankan kedudukan pemerintah Israel dan menangkap para pejuang Palestin. Ini adalah sebahagian sebab mengapa serangan dibuat pada masa ini.

Maksud tuan, usaha gencatan senjata yang terdahulu telah menemui kegagalan?

Gencatan senjata yang diusahakan dahulu tidak mendatangkan hasil dan gagal sepenuhnya. Ini kerana antara syarat yang dikenakan ialah pembukaan laluan-laluan di sempadan (Gaza). Bermakna membenarkan bantuan kewangan, bahan makanan, ubat-ubatan dan bahan api supaya dibawa masuk. Tanpa bahan api, janakuasa elektrik tidak dapat beroperasi. Pihak Israel tidak menerima syarat ini lalu Hamas juga menolak untuk memperbaharui tempoh gencatan senjata.

Mengapa mereka menyerang Gaza dan bukan Tebing Barat?

Permusuhan Zionis terhadap Gaza dan Tebing Barat sebenarnya sama sahaja. Akan tetapi di Tebing Barat, mereka berasa selesa kerana terdapat pemerintah (Fatah) yang sedia berbuat apa sahaja bagi pihak musuh. Akan tetapi, pemerintahan (Hamas) di Gaza adalah bebas dan tetap pendirian mereka. Oleh kerana itu, Gaza menjadi sasaran dalam serangan ini.

Terdapat dakwaan bahawa semua yang berlaku ini berpunca daripada kewujudan Hamas dan ancaman Kataib Al-Qassam (sayap tentera Hamas) di Gaza. Akan tetapi, tragedi pembunuhan Deir Yassin (1948), penyembelihan Sabra dan Shatilla (1982) yang dilakukan oleh Yahudi Zionis berlaku sebelum penubuhan Hamas (1987) lagi. Apa pandangan tuan?

Bukan sekadar itu, terdapat wilayah di Tebing Barat yang tidak berada di bawah pemerintahan Hamas di mana tentera penjajah (Israel) menyerang rumah-rumah rakyat Palestin, membunuh orang awam, menangkap para pejuang dengan bantuan pihak keselamatan Palestin. Hamas tidak memerintah di wilayah itu dan tiada serangan roket Hamas yang dilancarkan di sana. Begitulah, pihak musuh tidak akan berdiam diri. Lalu mereka mencari hujah-hujah untuk mewajarkan serangan. Dahulunya, Amerika Syarikat, Zionis dan beberapa pemimpin Arab yang mengharapkan Hamas memasuki pilihan raya. Sedangkan Hamas tidak berhajat untuk itu. Kemudian Hamas memenangi pilihan raya tersebut (Januari 2006) lalu membentuk kerajaan.

Bagaimana pula ketika ini mereka mahu menolak kewujudan Hamas? Sedangkan mereka yang beriya-iya menuntut Hamas menyertai pilihan raya. Sebenarnya, mereka mahukan Hamas mengikut saduran mereka. Iaitu Hamas yang tunduk dan patuh seperti pemerintah Palestin yang lain. Saya tidak mengatakan parti Fatah keseluruhannya, akan tetapi orang-orang yang bersikap seperti Zionis dan Amerika yang berada dalam Fatah. Seperti Mahmoud Abbas dan Mohamed Dahlan dan sebagainya. Mereka mahukan kerajaan dan pemerintahan yang dibentuk itu cenderung mengikut kemahuan mereka.

Apakah jangkaan tuan selepas ini khususnya setelah tamat tempoh pemerintahan Mahmoud Abbas pada 8 Januari 2009?

Pada peringkat awal, kita melihat serangan tentera Israel adalah agresif. Namun kemudian itu, mereka mengundurkan sedikit langkah kerana serangan-serangan tersebut tidak memberi kesan untuk menjatuhkan Hamas. Alhamdulillah, telah gugur syahid daripada kalangan para pejuang seperti Dr Nizar Rayyan. Juga beratus-ratus orang lagi menemui syahid dan beribu-ribu yang tercedera. Akan tetapi, kehormatan Hamas masih kekal terpelihara dan sokongan rakyat masih kuat.

Oleh itu, pihak musuh dilihat cuba meminta campur tangan Amerika Syarikat dan Mesir agar rundingan gencatan senjata dapat dibuat dengan pihak Hamas. Bagi Hamas sendiri tiada masalah untuk melakukan gencatan senjata dengan syarat laluan-laluan di sempadan mesti dibuka. Mereka lebih rela mati dengan kemuliaan daripada mati kerana kelaparan dan kebuluran. Oleh itu, pembukaan laluan-laluan di sempadan adalah kunci supaya keadaan kembali seperti sedia kala.

Kita melihat sampai ke tahap sebegini, penduduk Gaza masih dapat bertahan. Apakah sebab utama yang mendorong mereka bertahan?

Sebabnya banyak. Yang pertama, mereka dapat belajar daripada penghijrahan penduduk yang terdahulu meninggalkan kampung halaman mereka. Akhirnya mereka yang berhijrah ini bertebaran di kem-kem pelarian dan sebagainya. Mereka mengatakan lebih baik mati di tanah air sendiri daripada keluar meninggalkannya. Yang kedua, adalah pendidikan yang diterapkan agar mereka dapat bersabar, bertahan untuk tempoh yang panjang dan mengerahkan segala kemampuan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kamu boleh melihat, mana-mana bangsa di muka bumi ini, jika mereka ditekan, mereka akan menjatuhkan dan menggulingkan pemerintah mereka. Benar atau tidak? Akan tetapi, di Gaza keadaannya berbeza.

Lebih kuat tekanan yang dikenakan, lebih kuat sokongan rakyat kepada pemerintahan Hamas. Ini diakui sendiri oleh pihak musuh. Kerana penduduk Gaza mahukan pemerintah yang berani menghadapi musuh dan mereka tidak mahu menyerah kalah supaya hak-hak mereka tidak hilang. Oleh kerana itu, Hamas adalah simbol ketahanan dan mereka mengambil pelajaran daripada itu. Kamu dapat menyaksikan golongan kanak-kanak dan wanita melalui siaran televisyen dan media massa, mereka mengatakan walaupun rumah-rumah mereka hancur musnah, mereka tetap memohon agar Hamas dapat bersabar dan bertahan.

Sehingga kini berapakah bilangan mangsa yang terkorban dan tercedera dalam serangan tersebut?

Sehingga hari kelapan serangan yang dilancarkan, jumlah mereka yang mendapat syahid (terbunuh) telah melebihi 430 orang dan lebih 2000 orang yang mendapat kecederaan.

Hamas telah mengumumkan 'intifada ketiga'. Adakah Hamas mempunyai persiapan dan strategi tertentu untuk peringkat ketiga dalam gerakan kebangkitan rakyat ini?

Hamas dalam keadaan menghadapi serangan yang bertalu-talu�maka persediaan dan persiapan pada setiap masa adalah suatu kemestian. Gerakan intifada ini juga menuntut penglibatan rakyat dalam menyemarakkannya. Penduduk Gaza sememangnya diketahui peranan mereka dalam kebangkitan ini dan begitu juga di rakyat Palestin di Tebing Barat sebagaimana yang dapat kamu lihat di Nablus, al-Quds, Khalil, Ramalah dan lain-lain selepas solat Jumaat.

Suasana di Tebing Barat penuh sesak dengan penduduk yang keluar berdemonstrasi. Sehingga terdapat khabar yang menyebut bahawa Mahmoud Abbas berkemungkinan akan menurunkan tandatangan untuk membebaskan tahanan-tahanan yang dipenjarakan dari kalangan pejuang Hamas. Memadailah kekuatan intifada ini dengan bertahannya saudara-saudara kamu dalam Hamas. Bahawa apa yang berlaku ini telah membangkitkan kesedaran dunia seluruhnya.

Termasuk di bandar-bandar utama di negara-negara Arab dan dunia Islam serta tidak terkecuali bandar-bandar di Eropah dan Amerika Syarikat yang penduduknya keluar berdemonstrasi. Iaitu seluruh dunia menyatakan pendirian mereka berhubung isu ini seperti rakyat di negara China, Rusia dan kamu juga mengetahui suasana di Malaysia dan Indonesia serta tidak lupa juga negara Iran.

Apa pandangan tuan tentang sikap Presiden Republik Arab Mesir terutamanya berhubung dengan isu sempadan Rafah?

Presiden Hosni Mobarak cuba berdalih dengan hujah-hujah yang tidak berpijak di bumi nyata. Beliau menyatakan bahawa sempadan laluan Rafah adalah di bawah kuasa penjajah Israel. Timbalan Hakim Mahkamah Tinggi di Iskandariah telah menolak hujah tersebut. Katanya, hujah presiden republik tersebut adalah salah. Adakah sempadan negara kita menjadi milik penjajah Israel sedangkan sempadan tersebut terletak di negara Mesir dan Palestin. Kereta kebal Israel yang mengelilingi wilayah Gaza akan tetapi mereka tidak dapat sampai ke sempadan Rafah, seorang tentera mereka pun tidak dapat dihantar ke sana.

Jadi bagaimana pula pemerintah Israel dikatakan menguasai sempadan tersebut? Kerana itu, sebagaimana yang disebutkan oleh timbalan hakim tersebut bahawa semua ini adalah desakan dan tekanan dan Amerika Syarikat dan Zionis. Lalu Presiden Mesir hanya tunduk pada tekanan itu. Kerana itu terdapat desakan dari Turki, Malaysia dan negara-negara lain yang menuntut agar sempadan Rafah ini dapat dibuka. Kerana ia adalah satu-satunya jalan darat yang dapat digunakan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

Kita mengetahui bahawa negara Qatar telah menghantar bantuan ke Gaza. Apakah yang dilakukan oleh negara-negara Arab yang lain?

Negara-negara Arab yang lain juga berusaha untuk menghantar bantuan, contohnya negara Yaman ini sudah tentu. Qatar telah dilihat mendahului dalam usaha ini. Negara-negara Teluk juga bersedia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti itu. Iaitu kesemuanya berusaha untuk menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan. Akan tetapi, untuk menjamin bantuan ini pasti sampai adalah agak sukar. Kerana bantuan ini akan terkandas di lapangan terbang di negara Mesir yang berdekatan dengan Gaza. Sehinggakan negara Qatar sendiri menuntut untuk mengambil semula bantuan tersebut sekiranya tidak dibenarkan melepasi sempadan.

Malah Qatar juga ingin menghantar satu kelengkapan hospital bergerak dan sudah pun bersedia untuk berlepas dari Doha, akan tetapi membatalkan hasratnya itu apabila mengetahui ianya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk. Kita tidak boleh mengkritik negara-negara yang tidak menghulurkan bantuan kerana hujah mereka juga kuat. Bahawa bantuan-bantuan ini tidak boleh dibawa masuk. Peristiwa bantuan yang dihantar melalui kapal laut yang kemudiannya disekat sudah ketahui umum.

Syeikh Abdul Majid al-Zindani telah menyeru rakyat Yaman untuk mengumpulkan derma dan bantuan yang akan dihantar melalui kapal laut. Adakah tuan menjangkakan bantuan ini akan sampai kepada penduduk Gaza?

Kalau tidak silap saya kempen tersebut diberi nama 'Bahtera Penghormatan Yaman untuk Rakyat Gaza'. Apapun, usaha ini akan memberikan tekanan kepada pemerintah Mesir jika mereka menyekatnya. Kerana ini menunjukkan secara jelas bahawa merekalah yang melakukan kepungan terhadap semenanjung Gaza. Adakah bantuan rakyat Yaman ini akan sampai ke sana melalui Terusan Suez? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Tuan pernah ke Malaysia baru-baru ini. Apakah pandangan tuan mengenai sokongan rakyat Malaysia kepada perjuangan Palestin daripada pihak kerajaan dan rakyat jelata?

Pertama sekali, rakyat Malaysia termasuk dalam barisan pertama dari kalangan dunia Arab dan Islam yang menyokong perjuangan rakyat Palestin. Jika saya mengatakan bahawa Malaysia mendahului beberapa negara Arab yang lain, saya rasa ia tidak keterlaluan. Itu jika dikira dari sudut sokongan dari rakyat dan masyarakatnya. Saya telah mengelilingi negeri-negeri di Malaysia dan anda pernah bersama dengan saya, kita merantau ke serata pelosok negeri di Malaysia dan jumlah dana bantuan yang diperolehi adalah memberangsangkan. Kita dapat mengumpulkan kutipan derma yang sangat besar dalam hanya beberapa hari. Alhamdulillah. Saya mewakili rakyat Palestin ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada umat Islam di Malaysia.

Manakala sokongan dari pihak kerajaan Malaysia pula adalah dari segi politik. Mereka menyatakan sokongan dalam persidangan-persidangan antarabangsa yang disertainya. Tidaklah ketinggalan sebagaimana para pemerintah negara-negara Arab dalam menyatakan pendirian berhubung isu Palestin. Sesungguhnya saya merasakan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada golongan yang berhaluan Islam, sekular dan sebagainya daripada pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat kesemuanya bersepakat menyatakan sokongan kepada isu Palestin.

Ini sangat jelas. Di sesetengah negara, sokongan hanya di pihak rakyat dan tidak daripada pihak pemerintah dan begitulah sebaliknya. Alhamdulillah, di Malaysia dari rakyat dan kerajaan bersatu dalam menyatukan pendirian mereka. Sama seperti di Yaman, Sudan, Syria dan kebanyakan negara yang lain. Sebagaimana Qatar, walaupun negaranya kecil, namun dari segi sokongan, sumbangan dan kesungguhannya adalah sangat besar.

Apakah pandangan tuan pada Parti Islam SeMalaysia, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari segi memperjuangkan isu Palestin ini?

PAS adalah lambang kemuliaan bagi rakyat Malaysia. Ini kerana isu Palestin adalah perkara utama yang diberikan penekanan dalam parti yang penuh kemuliaan ini. Dari segi kemampuan mereka untuk menyebarkan maklumat melalui media, mereka tidak ketinggalan. Dengan infak harta benda juga mereka tidak berada di belakang. Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang yang juga merupakan bekas Menteri Besar Terengganu adalah di antara pengasas Institut Al-Quds Antarabangsa bersama dengan para ulama lain (termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi) menganjurkan usaha membantu penduduk Palestin di Baitulmaqdis supaya tidak berganjak dari penempatan mereka di mana pihak penjajah Israel mahu menghapuskan kedudukan mereka di kota tersebut dan seluruh bumi

Palestin secara umumnya. Para pemimpin dalam PAS juga tidak ketinggalan dalam lapangan penulisan.

Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pernah menulis sebuah buku dalam bahasa Arab yang sangat mendalam kesannya. Buku itu bertajuk 'Filastin: Min Qutto' al-Tariq ila Kharitoh al-Tariq' (Palestin: Dari Peta Perjalanan kepada Perompak Jalanan) daripada tajuknya sahaja kita dapat melihat keperihatinan beliau. Bukan sekadar itu, PAS juga melalui sebaran am, risalah dan sebagainya membantu memperjelaskan isu Palestin kepada rakyat Malaysia. Begitu juga dengan menganjurkan seminar, persidangan dan menjemput para ulama untuk berbincang mengenai isu ini dan banyak lagi. Saya juga tidak melupakan usaha yang bersungguh-sungguh oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul-Am PAS dan Menteri Besar Kelantan dalam pendiriannya, khutbahnya, ceramahnya dan bantuan kewangan yang dihulurkan. Tiada akhbar selain Harakah yang mampu untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia berhubung isu Palestin ini.

Akhir sekali, apakah pesanan tuan untuk rakyat Malaysia?

Saya mengharapkan untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang saya harapkan untuk bangsa saya dan umat Islam. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada tubuh ummah. Segala perselisihan hendaklah dijauhi. Fitnah itu tidur dan Allah melaknat orang yang membangkitkannya. Rakyat Malaysia memang terdiri daripada pelbagai aliran bahkan juga berbeza pegangan agama. Akan tetapi dengan akhlak Islam, kita mampu mendekati mereka untuk kepentingan Islam dan kaum muslimin. Saya mendapat tahu agak ramai yang memeluk Islam dari kalangan mereka.

Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat seorang doktor perubatan yang merawat sebuah keluarga non-Muslim, lalu mereka kesemuanya memeluk agama Islam. Alhamdulillah. Suri teladan di Malaysia ini sangat cemerlang. Saya mendoakan semoga negara Malaysia dapat memantapkan pertumbuhan ekonominya juga. Saya juga ingin menyebut di negeri Terengganu suatu ketika dahulu dalam pemerintahan PAS, tidak berlaku penindasan, masyarakat dapat beriltizam dengan akhlak Islam, urusan perniagaan berjalan tanpa penipuan, kerajaan negeri tidak merampas hak rakyat dan keamanan yang berlaku di sana.

Lalu saya berpesan supaya umat Islam di Malaysia dapat mempamerkan suri tauladan yang baik, dengan itulah yang dapat mendekatkan masyarakat dengan ajaran Islam dan membawa negara kamu ke hadapan dari segi peradaban dan pembangunan. Wallahu'alam. - azm

Sumber asal : harakahdaily

Malangkah Palestin?

Jika anda pandai berpuisi, buatlah puisi bagi menyatakan perasaaan anda seperti puisi sahabat saya ini yang telah dideklamasikan di Radio IKIM. Tahniah buat Suzana!

Jangan Panggil Aku Malang
oleh : Suzana Mohamed Ali

“Palestin yang malang!”
Mereka panggil aku malang
Mereka kata aku malang.

Dekad-dekad semalam buat aku dipanggil malang
Tiap inci tubuhku diratah petualang
Lagak mereka wira nan berjuang
Dan aku dirobek, disepak, diterajang.

Dekad-dekad malang bukan
mahu aku. Jadi,
Jangan panggil aku malang!
Kerana, aku malang bila ku gadaikan
tubuhku, sedangkan sekalipun tidak pernah
mereka aku izinkan, sentuh pun jangan!

Malang?
Jangan panggil lagi aku begitu!
Memang aku dilanyak
Direnyuk ,dihenyak, tapi bukan kerana
aku malang, tapi kamu yang jadi dalang!

Jangan panggil aku malang
kerana itu doa dan aku tak mahu malang
terus malang lagi.

Malangkah aku, hanya kerana
lantai dadaku berantakan siang malam
Mentari hilang warna,
bulan tiada peraknya?
Dan pelangi tak pernah ada?

Jangan panggil aku malang
Kerana si kecil yang mengangkat senapang
dan si tempang yang khusyuk dirikan sembahyang,
mereka buat rahmat terbentang!

Selagi ada singa-singa Tuhan,
aku bukan malang.

Aku bukan malang!

Aku ini mulia, hingga kiamat datang,
sedang tanah lain tidak terbilang aku; al-Quds ini
dan dua tanah haram dimasyhurkan Dia
dan aku ketiga yang dijulang.

Lalu, mengapa aku dipanggil malang?
Cukup!
Aku bukan malang dan
jangan panggil aku malang!


p/s : Hmm...Sajak saya bila nak menetas ni? :-)

Terkini Dari Ghaza : Israel Bakal Menerima Padah














Terkini : 10 tentera rejim Zionis mati , 30 cedera di tangan Brigade Qassam.

Selasa ,06/01/2009 -10 tentera rejim Zionis mati manakala 30 yang lain cedera parah akibat asakan serangan dari pihak Brigade Qassam , sayap ketenteraan Hamas malam tadi.

Sumber dari Qassam menyebut, para pejuangnya berjaya menarik perhatian tentera rejim Zionis mengepung sebuah rumah yang telah di pasang bom peledak. Setelah pasukan rejim mengepung kawasan rumah , pihak pejuang Qassam meledakkan bom.

Pasukan tentera rejim yang lengkap bersenjata yang berada di dalam rumah terperangkap dalam ledakan tersebut. 10 orang dipercayai terbunuh

Pihak Qassam berjanji, tentera rejim Zionis yang telah memasuki Gaza tidak akan pulang dengan selamat.

Zionis-Israel Bakal Menerima Kejutan.

Selasa ,06/01/2009 -Semua gerakan pejuang Palestin di Gaza menegaskan, mereka masih belum menggunakan seluruh kekuatan mereka dalam memerangi Zionis-Yahudi. Mereka bertekad untuk memberikan kejutan-kejutan dalam usaha menghancurkan Zionis-Yahudi.

Selepas 10 hari bertempur, gerakan pejuang memberikan kejutan dengan menggunakan senjata-senjata baru yang belum pernah digunakan. Antaranya ialah roket yang boleh mencapai sejauh 60km. Ini sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh Zionis-Yahudi.

Selain daripada itu, tentera Yahudi juga tidak dapat untuk menangkis serangan yang ditujukan ke pesawat-pesawat mereka sungguhpun dilengkapi peralatan canggih. Para mujahidin menegaskan mereka tidak akan menggunakan keseluruhan kekuatan yang ada.

Brigade Izzuddin al-Qossam, sayap tentera Hamas hanya bersendirian dalam memerangi Zionis namun mampu membunuh 11 org tentera mereka. Ini suatu angka yang jauh lebih banyak daripada jumlah syuhada dari kalangan al-Qossam.

Brigade al-Qassam : Rejim Zionis bakal menerima bencana 'hujan' roket kami.

Penganalisis Zionis: Perjalanan Hancurkan Hamas Masih Panjang

Ikuti perkembangan terkini perang di Ghaza di sini, di sini dan di sini.

Ilmiah : Siapakah Sheikh Izzuddin Al-Qassam yang diambil sempena namanya untuk sayap ketenteraan HAMAS Briged Al-Qassam?

Gaza : Perjuangan Yang Belum Selesai
























Bumi Gaza kembali berdarah. Rejim Zionis tidak pernah mengenal belas kasihan apatah lagi menghormati perjanjian. Baru sebentar tadi saya mengikuti siaran langsung di televisyen Mesir tentang situasi di Gaza sekarang. Kelihatan api menjulang tinggi dan asap berkepul-kepul naik di sana-sini. Tentera Israel berterusan melancarkan serangan udara ke atas Gaza. Pasukan tentera darat Israel diberitakan dalam perjalanan untuk melakukan serangan besar-besaran. Sejak serangan Israel 8 hari lalu, sekurang-kurangnya 446 orang dilaporkan mati dan 2050 orang cedera, termasuk kanak-kanak.

Walaupun telah diketahui umum bahawa Israel tidak perlu kepada sebab untuk menyerang Palestin, namun sebab utama untuk misi kali ini ialah untuk menumbangkan kekuasaan HAMAS di Gaza. Ini adalah penerusan kepada tekanan dan sekatan yang dikenakan sejak HAMAS memenangi pilihanraya umum di Palestin. Mereka menjangkakan dapat menumbangkan HAMAS dalam tempoh satu hingga tiga bulan sejak memenangi pilihanraya, namun hingga bulan berganti bulan, HAMAS masih belum mampu ditumbangkan, malah semakin kuat. Israel menganggap HAMAS penghalang terbesar di dalam usaha mereka menguasai Palestin.

Reaksi Amerika Syarikat sudah boleh dijangkakan skripnya, "Israel punya hak mempertahankan dirinya". Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula ibarat kerbau dicucuk hidung. Negara-negara Arab pula dengan sikap berdolak-daliknya. OIC pula tidak didengari lagi suaranya.

Dari sudut yang lain, para ulama' Islam pula berusaha bertemu dengan pemimpin Arab untuk mendesak mereka menyelamatkan Gaza. Umat Islam di serata dunia melakukan demonstrasi mengutuk kekejaman ini, termasuk di Malaysia.

Pun begitu, yang mengkagumkan saya, di sebalik ketakutan, kesedihan dan ancaman yang mencengkam Gaza, para pejuang HAMAS tetap optimis dengan kemenangan. Antara kata-kata pemimpin HAMAS dipetik sebagai berkata :"Gaza akan menjadi perkuburan tentera Israel terbesar", "Kami yakin akan menang", "Kami bersedia menghadapi serangan darat Israel" dan lain-lain lagi. Keyakinan ini tidak lain tidak bukan lahir dari iman dan semangat jihad yang menggunung tinggi. Tekanan bukan alasan untuk mengalah! HAMAS akan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir, malah menyeru rakyat Gaza untuk turut meyakini mereka.

Wahai kaum muslimin, marilah kita membantu rakyat Palestin, khususnya Gaza dengan apa jua yang kita mampu. Boikot barangan Israel, menderma, melakukan solat hajat, membaca qunut nazilah, menyebarkan kesedaran tentang isu ini kepada orang ramai dan pelbagai lagi boleh kita fikirkan. Jangan ada sekelumit pun di hati kita untuk memandang remeh isu ini atas alasan kita tidak ada kena mengena.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan tergolong daripada mereka."

Ya Allah Yang Maha Perkasa , musnahkanlah tentera Israel dan hancur leburkan perancangan mereka serta menangkan kaum mujahidin ke atas mereka. Amin!

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger