assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan

Salam Maulidurrasul

 
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


12 Rabiul Awwal, hari kelahiran baginda Rasulullah Sallallah 'alaihi wa sallam disambut saban tahun. Alhamdulillah sambutan ini sekurang-kurangnya menunjukkan umat Islam masih ada rasa cinta kepada baginda Rasulullah SAW. Sama ada berarak atau tidak, itu bukan soalnya. Soalnya ialah apakah pengisian sambutan Maulidurasul itu mampu membekas sesuatu kepada nurani umat manusia untuk mencintai baginda dan membuktikan kecintaan itu dengan sewajarnya atau tidak. Ia adalah soal isi (pengisian), bukan kulit (slogan).

Sekadar berkongsi sedikit muhasabah saya beberapa hari sebelum 12 Rabiulawwal, saya mengambil kesempatan membuka kitab-kitab hadith dan sirah bagi mengambil 'aura' penghayatan Maulidurrasul tahun ini. Tersentuh rasa, apatah lagi apabila membuka nota-nota lama pengajian ilmu takhrij hadith (ilmu untuk mengenalpasti sumber hadith dalam kitab-kitab hadith muktabar). Terasa betapa semakin dekat kita dengan ilmu-ilmu yang membicarakan perihal Rasulullah, semakin dekat kita dengan Rasulullah. Terasa bagai ada siraman di jiwa yang sedikit kelesuan.

Olah itu saya menyeru agar diri saya dan pembaca sekalian untuk meningkatkan ilmu tentang hadith dan sirah Rasulullah SAW. Belajar hadith dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya perlu dengan roh agar terbit rasa cinta terhadap Rasulullah dan cinta untuk mengamalkan sunnah baginda. Begitu juga sirah Rasulullah SAW, bukan setakat dibaca, dipelajari dan dihafal, malah dihayati sepenuh jiwa dalam bentuk pengamalan. Kita tidak mahu menjadi orang yang mendakwa cinta Rasulullah tetapi dari sudut praktikalnya kosong. Astaghfirullahal'azim.. Bersamalah kita perbanyakkan selawat ke atas junjungan tercinta yang telah mengorbankan segala-galanya untuk menegakkan agama yang suci ini hingga kita merasai nikmat hidayah, iman dan Islam pada hari ini.

Ampunkan kami Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun. Ya Allah, bantulah kami mencintai kekasihMu dan mengamalkan sunnahnya walaupun ia terlalu sukar apatah lagi di akhir zaman ini. Kau mekarkanlah putik-putik kecintaan kepada Rasulullah di taman hati kami dan Kau biarkanlah ia kekal berkembangan di laman sanubari kami. Jadikanlah kami sebagai penerus perjuangan baginda yang istiqamah memikul amanah dakwah dan  jihad ini hingga ke akhir nyawa kami. Kurniakanlah kami kesabaran dalam menempuh jalan perjuangan yang baginda wariskan. Kau kurniakanlah kami syafaat kecintaan kami Muhammad SAW pada hari Kiamat kelak. Izinkan kami meneguk air dari telaga Kautharnya sebagai penawar kehausan kami di Padang Mahsyar dan himpunkan kami bersama baginda di sisiMu Ya Allah. Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, perkenankanlah!
Wa Sallallah 'ala Saidina Muhammad wa 'ala alihi wa sohbihi wa sallam. Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Hormatilah Diri Anda Sendiri, Nescaya Anda Akan Dihormati

Entah kenapa, tiba-tiba saya terfikir frasa di atas.Saya tidak ingat di mana saya mendengarnya buat pertama kali. Mungkin beberapa perkara yang berlaku di sepanjang hidup ini, di sekitar dunia hari ini menjadikan terlintas perkara ini di fikiran saya. Saya harap coretan ini mampu menjana minda dan hati kita untuk sama-sama memikirkan dan merenungkannya .

Saya juga sama seperti anda. Kita ingin dihormati orang lain, dilayan dengan baik, disayangi, tetapi tahukah anda bahawa kita hanya akan dihormati jika kita tahu menghormati diri kita sendiri. Menghormati orang lain kita selalu dengar, namun bagaimanakah cara untuk kita menghormati diri kita sendiri?

Berikut adalah antara cara bagaimana kita menghormati diri sendiri :

1. Mentauhidkan Allah, melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya
(Allah telah memberi kedudukan sebaik-baik makhluk kepada manusia, mengapa pula kita merendahkan martabat diri dengan menyanggah suruhan Allah yang kelak melayakkan kita digelar seperti haiwan , bahkan lebih buruk daripada haiwan seperti yang disebut di dalam Al-Quran)
2. Berakhlak dengan akhlak yang terpuji di mana jua dan dalam apa jua situasi, tidak kira sama ada ketika sedih, gembira, marah,tertekan dan sebagainya
3. Bersabar menghadapi segala ujian dan bersyukur atas segala kurniaan Tuhan
4. Jujur dan amanah tidak kira semasa bersendirian atau di khalayak ramai
5. Mengakui kesilapan diri dan bersedia memohon maaf
6. Bersedia menerima teguran dan memperbaiki diri
7. Berlapang dada dan pemaaf
8. Berfikiran positif dan bersangka baik
9. Berusaha bersungguh-sungguh melakukan setiap pekerjaan
10. Berfikir sebelum bertindak dan tidak tergesa-gesa membuat keputusan
11. Berterima kasih dan menghargai kebaikan orang lain
12. Berpada-pada dalam membenci atau menyayangi orang lain dengan menjadikan kasih sayang Allah dan RasulNya sebagai neraca
13. Menerima takdir dengan redha
14. Tidak menghina diri sendiri dengan merasakan diri tidak layak, tidak mampu, sedangkan usaha belum habis digembelengkan
15. Dan banyak lagi…

Kata kuncinya, Allah telah memuliakan kita sebagai khalifah di bumiNya, bahkan sebagai umat Penghulu Para Nabi, justeru sama-samalah kita berusaha memiliki sifat Khalifah Allah, jua sifat pewaris risalah Muhammad SAW yang jiwanya izzah dengan Islam dan hanya tunduk menghina diri kepada Penciptanya.

Semoga bermanfaat, jumpa lagi.

Kisah Bil Telefon

Bil telefon sebuah keluarga naik melambung. Suami telah memanggil semua ahli keluarga untuk berbincang.

Suami : Ini dah melampau. Gunakan telefon sesuka hati. Ayah tak gunakan telefon rumah, ayah gunakan telefon tempat ayah bekerja.

Isteri : Saya pun sama juga, gunakan telefon tempat saya bekerja.

Anak : Oh sori..saya gunakan SMS sahaja. Untuk panggilan saya gunakan telefon tempat saya bekerja juga.

Maid @ Bibik : Jadi apa masalahnya? Semua orang gunakan telefon tempat bekerja. Sama juga dengan saya!!

Moral :
- Jangan guna harta awam atau orang lain untuk kepentingan diri sendiri.
- Kajahatan akan dibalas Tuhan secara sedar ataupun tidak.
- Amanah adalah sifat terpuji yang wajib dimiliki oleh setiap insan.

Daripada Abdullah bin 'Amru bin Al-'As bahawa Rasulullah SAW bersabda :
" Empat ciri yang jika kamu memilikinya, kamu adalah munafiq tulen, dan sesiapa yang memiliki salah satu daripadanya , bererti dia memiliki salah satu daripada ciri nifaq hingga dia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila diberi amanah dia khianati, apabila bercakap dia berbohong, apabila dia berjanji dia mungkir,dan apabila bertengkar dia melampaui batas."

Muraqabatullah..

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger