Kalaulah blog ini sebuah rumah, nescaya banyak sawang dan habuk memenuhi ruangan ini. Sudah hampir 4 bulan blog ini tidak diupdate. Kekangan masa yang begitu menghimpit, selain daripada kebuntuan idea antara sebab blog ini tidak terusik. Apapun, terima kasih kepada sahabat-sshabat yang sudi bertandang menjenguk rumah ini. Akan saya khabarkan berita sejak sekian lama menghilang.
Sekarang saya mengajar di Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Alhamdulillah dapat menambah ilmu dan pengalaman apabila ditaklif mengajar subjek seperti Fiqh Jinayat, Tarikh Tasyri', Hifzul Quran dan Al-Masodir li Ad-dirasat Al-Islamiyah.Bagi yang belum pernah mendengar tentang kolej ini, boleh layari : http://www.ktd.edu.my. Pengambilan pelajar baru masih lagi dibuka kerana pendaftaran pelajar baru panggilan ketiga akan diadakan pada 13 Julai 2010.
Mengimbangi antara kerjaya, dakwah dan rumahtangga sememangnya memerlukan kebijaksanaan dan pengurusan masa yang berkesan. Banyak perkara yang perlu dilakukan dalam satu-satu masa.Kelalaian akan mengundang kepincangan dalam melaksanakan tanggungjawab yang tergalas di bahu. Oleh itu, doakan saya dapat menjadikan setiap detik yang dihabiskan sepanjang umur ini menjadi ibadah dan saham di akhirat sana.
Kita sudah berada di bulan Rejab. Tak lama lagi Sya'ban dan Ramadan akan menjelma.
Allahumma barik lana fi Rajab wa Sya'ban wa ballighna Ramadhan, Amin...
Al-Wajibat Akthar Minal Awqat
Label: coretan
Mencantum 'Puzzle' Perjalanan Kehidupan
Alhamdulillah, sejak ber'facebook' kebelakangan ini, semakin ramai kawan-kawan lama dan saudara mara yang muncul. Ada yang sudah lebih 10 tahun tidak berjumpa secara 'nyata', kini berjumpa di alam 'maya'. Ada yang bergelar 'Dr', ada yang jauh terpisah antara benua, ada yang sudah bergelar itu dan ini. Syabas buat semua..
Ah! Terkenang zaman kita masih remaja dan mentah menilai kehidupan, idealisme yang berkobar-kobar, kekusutan jiwa yang meronta, celoteh guru-guru menaburkan nasihat tanpa jemu, gelak tawa riang mengusik jiwa dan banyak lagi. Sedikit demi sedikit kepingan2 puzzle masa silam yang berserakan mula bercantum dengan realiti hari ini, serba sedikit mencuit rasa dan fikir, "Bagaimana pula 'puzzle' kita pada masa hadapan?"
Tiada siapa menjangka, kita akan menjadi sebagaimana kita pada hari in. Jatuh bangun hanya kita yang merasai. Kita merancang dan berusaha semampunya. Semua yang telah dan bakal berlaku adalah dalam rahsia dan pengetahuan Allah yang tidak terjangkau oleh akal fikir manusia yang terbatas. Walau bagaimana sekalipun kita dahulu dan kini, sama atau berbeza, hanya kepada Allahlah disandarkan segala puji-pujian atas segala kebaikan dan segala keburukan itu adalah dari kelemahan kita selaku manusia.
Buat sahabat, terima kasih atas jalinan ukhuwwah ini. Moga kita kan bertemu lagi bukan setakat di dunia, malah di syurgaNya, Amin..
Label: coretan
Bercakap Tentang Persepsi...
Terasa baru semalam meninggalkan bumi Mesir, sedar tak sedar sudah 10 bulan saya berada di tanahair. Kepulangan kali ini memberi pengalaman baru buat saya kerana tidak menetap di bumi kelahiran sendiri (Perak), tapi bumi Kelantan yang sebenarnya agak asing bagi saya, walaupun orang-orangnya tidaklah asing.
Sebelum saya menetap di sini, banyak juga persepsi (ah, lagi-lagi persepsi!) yang menakut-nakutkan saya. Namun, alhamdulillah persepsi tidak mempengaruhi saya dan terbukti setakat ini persepsi itu bukan realiti. Saya tidak beriman dengan persepsi (ops, macam pernah dengar ayat ini, tapi di mana ya?). Persepsi tanpa bukti tidak boleh diterimapakai. Kes-kes terpencil tidak boleh dijadikan hujah untuk pukul rata semua keadaan. Cuma barangkali persepsi boleh dijadikan sempadan untuk lebih berhati-hati.
Hari ini orang bercakap tentang persepsi. Manusia itu tabiatnya suka berpersepsi. Menanggapi sesuatu mengikut pemikirannya sendiri. Persepsi dibentuk apa yang ada di dalam pemikiran dan hati. Jernih pemikiran dan hati seseorang, maka jernihlah persepsinya. Sebaliknya jika keruh pemikiran dan hati, maka keruhlah persepsinya. Ibarat memakai kaca mata hitam, semua yang dilihat dikatakan gelap dan hitam belaka.
Persepsi itu az-zon atau tanggapan. Allah berfirman di dalam Surah Al-Hujurat yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian daripada sangkaan kerana sebahagian sangkaan adalah dosa (kerana tersalah).
Minta jauhlah daripada tersilap tanggapan agar tidak terjerumus ke dalam dosa tanpa disedari.
Label: coretan
Catatan
* Catatan 1 *
1 Ogos mencatat sejarah rakyat Malaysia bangkit menyatakan penentangan terhadap perlaksanaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri @ Internal Security Act). Teringat saya pada suatu amanah yang tidak kesampaian. Pada tahun 2001, saya pernah ditugaskan oleh Fellow MANHAL PMRAM untuk membuat kajian tentang ISA menurut perspektif Islam. Saya sempat draf kajian, meminjam dan membeli beberapa buku berkaitan untuk tujuan rujukan. Malangnya , selepas itu saya terpaksa 'passing' tugas tersebut kepada seorang senior kerana kondisi saya ketika itu tidak mengizinkan.
Kerja-kerja kajian ilmiah memang menjadi minat saya sejak dahulu walaupun pada peringkat awal saya tidak mempunyai sebarang panduan. Pun begitu, saya tidak mahu mengulas panjang. Saya kira sebagai gantinya, kertas kerja yang saya jumpai dengan carian di internet ini boleh dijadikan salah satu bahan untuk penilaian dan perbincangan pembaca.
* Catatan 2*
Tidak kira lelaki atau perempuan, kebolehan memandu, memiliki lesen memandu dan memiliki kenderaan sendiri bukan lagi menjadi suatu kelebihan (tahsinat), bahkan menjadi suatu keperluan (hajiat). Bahkan dalam keadaan kecemasan, ia menjadi suatu kewajipan (doruriyat). Apa tidaknya, banyak urusan tidak dapat dilakukan tanpanya, lebih-lebih lagi di kawasan yang perkhidmatan pengangkutan awam berkurangan dan tidak memuaskan.
Oleh itu, saya mencadangkan para pelajar di Mesir yang ingin pulang ke tanah air tetapi masih tidak memiliki lesen memandu untuk belajar memandu dan mendapatkan lesen sejak di Mesir lagi kerana kos mendapatkan lesen memandu di Mesir jauh lebih murah berbanding Malaysia. Jika anda telah memiliki lesen memandu, SILA MINTA KELUARGA DI TANAH AIR UNTUK PERBAHARUI LESEN ANDA SEBELUM TAMAT TEMPOH supaya anda tidak perlu mengambil ujian memandu sekali lagi semata-mata kerana lesen anda tamat tempoh! Inilah yang berlaku kepada saya.
Apa yang anda perlu lakukan jika lesen anda tamat tempoh?
Anda perlu buat rayuan di e-rayuan di laman web www.jpj.gov.my. Jawapan akan diberikan dalam tempoh 2 minggu hari bekerja. Setelah itu, sila print surat penerimaan rayuan dan bawa surat itu untuk membuat lesen L di Pejabat JPJ. Anda akan dikecualikan daripada kursus L, ujian L dan tidak wajib menghabiskan 13 jam belajar. Selepas mendapat Lesen L, anda bolehlah mendaftar di Sekolah Memandu, belajar ikut prestasi anda dan menempah ujian praktikal memandu. Selepas lulus ujian praktikal jalan raya dan dalam litar, anda akan diberikan Lesen Memandu Percubaan. Itulah lesen anda, dan jangan lupa menukarkannya kepada Lesen Kompeten selepas 2 tahun. Kalau tidak anda akan menghabiskan masa dan wang untuk mengambil lesen sekali lagi!
p/s : Alhamdulillah saya dah dapat lesen P :-).
* Catatan 3 *
Masih bertatih mengenal dunia kerjaya, ilmu dan dakwah di lapangan hidup.
Detik Waktu Yang Berlalu...
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." -Surah Al-Asr :1-3
Masa merupakan anugerah tidak ternilai buat manusia. Masa adalah kehidupan. Detik masa yang berlalu akan mengundang penyesalan jika tidak dimanfaatkan ke jalan kebaikan. Bahkan di dalam senarai kebaikan yang boleh dilakukan, kita perlu memilih pula kebaikan yang paling utama berbanding yang lain. Inilah yang diajar Islam melalui cabang ilmu Fiqh Awlawiyat (Keutamaan).
Kesempatan begitu terbatas untuk saya menulis. Buat sahabat-sahabat yang menanti berita daripada saya, saya akan mula bertugas di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu beberapa hari lagi. Terima kasih kepada sahabat yang membantu saya mendapat kerja ini. Kerja-kerja amal Islami terus berjalan seiringan. Doakan saya dikurnia nusrah untuk mendidik anak bangsa mengenal Islam, beramal soleh seterusnya mencintai Pencipta mereka sepenuh hati. Tidak kira di mana kita dicampakkan, jadilah kita manusia yang berguna kerana pesan Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik kamu adalah yang paling bermanfaat untuk manusia."
Akhirnya, salam juang buat sahabat walau di mana jua antum berada!
Label: coretan
Dari Bumi Malaysia..
Assalamualaikum wrt wbt
Salam rindu buat sahabat-sahabiat dan adik-adik di Mesir serta seantero dunia. Sedar tak sedar sudah sebulan saya berada di Malaysia. Buat yang masih belum menerima perkhabaran daripada saya, saya sekarang berada di Perak. Masih dalam proses selesaikan urusan peribadi dan keluarga. Sudah melawat abang di Kedah sebanyak 2 kali. Abang saya disahkan mengidap penyakit kanser yang kritikal sejak akhir tahun lepas. Walaupun doktor seakan-akan surrender, namun kami sekeluarga terus berusaha dengan perubatan alternatif. Macam-macam ubat sudah dicuba, namun nampaknya ada tindakbalas positif dengan ubat terakhir yang dicuba dari luar negara. Doa-doalah keadaan beliau semakin sembuh. Betullah kata orang, kanser adalah penyakit psikologi. Semangat dan keyakinan pesakit mesti dibangunkan. Yang mendatangkan penyakit dan yang menyembuhkan adalah Allah. Keyakinan, usaha, doa dan tawakkal kena sentiasa beriringan. Ajal manusia di tangan Tuhan. Selagi belum sampai masanya, kita seharusnya tidak mengalah dan berputus asa untuk terus beramal dan berusaha.
Dalam kesempatan ini juga, ucapan takziah dititipkan buat keluarga Allahyarham Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin, mantan Penasihat PMRAM atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah semalam kerana denggi berdarah. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 2 orang anak serta anak ketiga yang masih di dalam kandungan isterinya. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama para syuhada', anbiya' dan solihin.
Beliau telah pergi mengadap Allah, Pemilik Yang Dicintai, kelak giliran kita pula menyusul selepas ini, entah bila tidak kita ketahui. Justeru, sama-samalah kita beramal untuk akhirat tanpa bertangguh lagi. Inna lillah wa inna ilaihi raji'un...Al-Fatihah!
Label: coretan
Blog oh Blog!
Hari ini mencipta sejarah tersendiri buat diriku yang tiada apa-apa ini. Hal yang mungkin sudah lali dilalui oleh sebilangan ahli akademik, orang-orang yang popular, penulis-penulis yang prolifik, tetapi tidak bagiku. Apa kisahnya? Kisahnya, seorang mahasiswi dari Indonesia meminta riwayat hidupku untuk dimuatkan dalam assignmentnya yang mengulas tentang tulisan ilmiah di blogku. Betapa dunia tanpa sempadan ini telah menemukan aku dan dia yang terpisah antara benua atas dasar perkongsian ilmu, bahkan diabadikan di alam ilmiah pula.
Sejenak aku seolah-olah baru tersedar bahawa blog peribadi berupaya mencipta sejarah yang tersendiri. Hakikatnya, blog ialah medan penulisan yang terbuka. Setiap orang boleh menulis apa sahaja yang diinginkan. Ada orang meluahkan perasaan di blog-blog peribadi mereka, ibarat diari terbuka yang dikongsi dengan khalayak pembaca. Ada pula yang melakukan kempen menentang kezaliman, mengkritik dan menuntut hak kebebasan bersuara melalui tulisan mereka. Yang lain menjadikan blog sebagai medan dakwah. Ada juga yang menjadikan blog medan mencari makan dan meluaskan perniagaan. Bak kata orang zaman sekarang, macam-macam ada..
Pun begitu, sebagai muslim, kita mempunyai etika penulisan yang tersendiri. Ini kerana persoalan dosa dan pahala tetap terpakai di arena penulisan terbuka ini. Setiap kebaikan yang dipaparkan, lalu diikuti oleh para pembaca blog, akan mendatangkan pahala kepada penulis. Begitu jua sebaliknya, jika keburukan yang ditonjolkan, lalu mendatangkan dosa kepada pembaca sama ada dengan menayangkan gambar wanita yang tidak menutup aurat, penulisan yang mendorong kepada perbuatan jahat, akan diberi dosa oleh Allah swt.
Rasululah bersabda :
"Barangsiapa yang menunjukkan kepada suatu perbuatan baik, baginya pahala orang yang mengikutnya, tanpa berkurang sedikitpun. Barangsiapa yang menunjukkan suatu perbuatan jahat, baginya dosa orang yang mengikutnya, tidak berkurang sedikitpun."
Pendek kata, alam blog ini mampu menjadi sungai pahala yang mengalirkan jernih pahala yang membawa pembaca kepada kebaikan emosi, akal, jasad dan roh hingga melaut di lautan amal soleh, atau sebaliknya menjadi sungai dosa yang mengalirkan sampah sarap dosa ke lautan amalan kejahatan kita. Oleh itu , sama-samalah kita saling memperingatkan, sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan apa yang kita lakukan, malaikat raqib dan atid sentiasa setia bertugas tanpa kita menyedarinya. Fikir baik-baik sebelum menulis ya!
Apapun, Alhamdulillah atas limpahan kebaikan dariMu ya Allah buat hamba-hambaMu ini. Mudah-mudahan blog mampu terus menjadi wadah untuk saya dan anda semua melahirkan rasa syukur atas anugerah nikmatNya yang tidak terhitung, lagi tidak termampu untuk dibalas setimpalnya. Semoga amal yang kerdil ini diterima sebagai amal soleh di sisiNya.
Label: coretan
Alhamdulillah, Akhirnya...
Alhamdulillah, akhirnya hari ini dapat juga saya membuat entry terbaru setelah lebih sebulan tertunda. Pelbagai peristiwa berlaku sebulan ini. Apapun, setiap peristiwa baik dan buruk ada hikmah tersendiri yang hanya Allah mengetahuinya. Semua akan dapat dihadapi dengan baik jika berbekal dengan 2 bekal berharga iaitu sifat SYUKUR atas anugerah nikmatNya dan SABAR atas ujianNya. Mudah-mudahan kita semua menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan bersabar. Entry kali ini ringkas sahaja, sebagai pembuka bicara setelah sekian lama membisu tanpa suara. Akhirnya, salam ukhuwwah fillah daripada saya.
Label: coretan
Uniknya Ramadhan Kali Ini
Ramadhan datang lagi. Uniknya Ramadhan kali ini berbanding Ramadhan yang lepas-lepas ialah 1 Ramadhan (bulan ke-9 di dalam kalender Hijrah @ Qamariah) bersamaan 1 September (bulan ke-9 di dalam kalendar Masihi @ Syamsiah). Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengaturkan perjalanan bulan dan matahari mengikut ketetapanNya.
Cuaca di Mesir juga agak unik. Bermula 1 Ramadhan, suhu menurun sedikit menyambut datangnya Ramadhan. Angin dingin lembut menyapa pada pagi hari. Berbeza pada akhir Sya'ban yang lepas, cuaca begitu panas berbahang walaupun waktu pagi. Alhamdulillah Allah permudahkan kita beribadah di bulan yang mulia ini.
Bagi ahli-ahli Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, tahun ni mencatat sejarah kita bermesyuarat agung tahunan dalam suasana berpuasa. Moga musyawarah dan muhasabah lebih harmoni dan membawa natijah yang terbaik buat semua.
Buat semua pembaca budiman, selamat menuntut di madrasah tarbiyah Ramadhan. Banyakkan ibadah dan mujahadah di bulan mulia ini. Semoga Allah menerima taubat dan amalan kita. Rabbana taqabbal minna, ya Karim. Amin.
Label: coretan
Memori Tarbiyah dan Cita-cita Generasi Sufi Haraki
Tiba-tiba hati dipagut rindu pada indahnya zaman remaja itu , kami berebut-rebut datang ke musolla awal untuk menjadi orang pertama yang membuka lampu musolla dan menjadi 'tok siak tak rasmi' untuk membentang sejadah sof-sof hadapan. Tidak kira apa jua solat, apatah lagi Subuh. Hingga kadang-kadang timbul cemburu apabila orang lain datang lebih awal. Masa tu terfikir juga , ni ikhlas ke riya'? Cepat-cepat istighfar dalam hati takut-takut terlintas tanpa sedar.
Barangkali telah dilatih agar sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, maka hal solat sentiasa menjadi keutamaan kami. Solat dhuha sempat juga kami lakukan di celah waktu rehat, malah tahajjud kalau boleh saban hari, lebih-lebih lagi apabila hampir dengan peperiksaan. Setiap sudut musolla penuh dengan muslimah yang bermunajat memohon pertolongan Allah untuk menghadapi hari 'pertempuran' itu. Sampai berjanji dengan sahabat karib dari dorm sebelah, "kalau nak bangun qiam , tolong kejut ye, kita qiam sama-sama". Kadang-kadang merajuk jika ada sahabat yang bangun qiam seorang , terlupa kejutkan sahabat yang lain sebab ingatkan dia yang terlewat bangun, rupanya dia yang paling awal.
Asrama itu sudah terlalu uzur walaupun berstatus asrama penuh, hingga digelar Utusan Malaysia "TERSOHOR DALAM KEDAIFAN". Tiada apa yang dibanggakan dari segi infrastrukturnya, fizikalnya, cuma yang membezakannya dengan yang lain ialah roh tarbiyah yang mengalir di dalam diri setiap penghuninya. Senakal manapun pelajar itu, sebenci manapun dia dengan tarbiyah, di hati kecilnya, dia tetap mengakui bumi itu ada keindahannya. Pada ukhuwahnya, biah solehahnya, tarbiyahnya, para murabbinya.
Terngiang-ngiang kata-kata kakak-kakak senior, jika ingin melantik pemimpin , lihatlah pada solatnya. Jika hal-ehwal solatnya sempurna, layaklah dia menjadi pemimpin kita.Sebab solat itu mengikat hamba dengan Tuhannya. Jika dia mengambil berat soal hubungan dia dan Tuhan, dia tentu sepatutnya sangat mengambil berat soal hubungan dia dengan manusia.
Bumi itu mengajar saya mencintai kebaikan, merindukan tarbiyah, menghargai ikatan kasih-sayang kerana Allah. Saya bertatih menjadi pemimpin kecil serba tak tahu, mengenal apa itu mehnah dan tribulasi, mengikis karat mazmumah, dan mencita-citakan kesinambungan generasi Sufi Haraki, generasi Rabbani, generasi Qurani di seluruh bumi Allah yang luas ini.
Hari terus berlalu. Bumi Mesir menjadi destinasi kembara tarbiyah saya seterusnya. Saya meletakkan keinginan untuk ditarbiyah, bukan mentarbiyah kerana berasa kurang layak. Namun, takdir Allah menentukan, akhirnya saya akur dengan satu kesimpulan bahawa walau di mana kita berada, di situlah medan kita untuk ditarbiyah dan mentarbiyah. Selagi manusia hidup, proses tarbiyah akan tetap berterusan. Walaupun pahit, walaupun perit, akhirnya kan terasa kemanisannya, bahkan kita akan merindukannya pula.
Ya Allah, suburkanlah muka bumiMu dengan generasi ulama' murabbi, pemimpin bertaqwa, generasi Al-Quran yang Rabbani yang mencintaiMu, mencintai agamaMu dan saling mencintai keranaMu. Berilah kami kekuatan mencontohi generasi sahabat, salafussoleh seperti Salahuddin Al-Ayyubi,Muhammad Al-Fateh serta bala tentera mereka agar kemenangan yang Engkau janjikan buat Islam menjadi realiti. Jadikanlah kami hamba-hamba yang istiqamah menjalankan amanah agamaMu sepertimana yang Kau firmankan :"Maka tetaplah kamu pada apa yang diperintahkan"- Surah Hud : 112.Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Label: coretan , didik hati
Duhai Ayahanda...
Hari ini 15 Jun sambutan hari bapa di beberapa buah negara diadakan. Rupa-rupanya tarikh sambutan hari bapa ini berbeza mengikut negara.Sambutan ini meraikan seorang lelaki yang merupakan tunjang dalam keluarga, bergandingan dengan ibu yang sabar mendidik dan membesarkan anak-anak. Maklumat lanjut tentang hari bapa di sini.
Arwah bapa kembali ke rahmatullah sejak saya berusia 15 tahun. Mengenangkan pemergian beliau mengundang sebak di dada. Bapa saya pergi sebelum sempat melihat saya berjaya dalam PMR yang saya duduki tahun itu dan seterusnya melihat anak-anak yang lain semua berjaya.Saya amat menghargai pengorbanan arwah bapa (dan ibu tentunya) yang begitu sabar mendidik saya dan adik-beradik yang lain serta memberi kasih sayang dengan caranya tersendiri.
Arwah bapa saya seorang yang tidak banyak bercakap dan jarang marah.Beliau seorang yang kemas, membasuh pakaiannya sendiri, menggosok setiap pakaiannya termasuklah kain pelikat yang dipakai untuk ke masjid. Bahkan,ibu menceritakan bahawa sewaktu mata beliau masih terang, beliau mampu menjahit baju raya untuk kami kerana beliau pandai menjahit. Dibelikannya buku dan pensel untuk kami belajar menulis, bahkan beliau menyediakan stok buku tulis, pensel, pemadam dan pengasah pensel di dalam almarinya untuk kami adik-beradik. Pensel habis, tidak perlu beli di luar, minta saja dengan beliau. Secara halus, kami diasuh mencintai ilmu sejak dari kecil.
Arwah bapa saya belajar di sekolah Inggeris hingga Darjah Enam dan sekolah Arab hingga ke Maktab Mahmud, Kedah. Pernah mengajar di Madrasah Idrishiah Kuala Kangsar dan mengajar beberapa orang ustaz saya di sekolah menengah, bahkan kata ibu, Sabihus Samahah Mufti Perak sekarang juga bekas anak murid arwah bapa.Tetapi, malu pula saya nak bertanya kepada Dato' Mufti betul ke tidak :-).Boleh jadi Dato' Mufti pun sudah tidak ingat. Namun, beliau memilih untuk berpindah mengajar di kampung kerana ingin menjaga arwah nenek.
Banyak yang saya belajar dengan arwah bapa, namun,jasa arwah bapa yang paling terbesar kepada saya adalah dengan memberikan pendidikan agama khususnya saya yang dilorongkan ke pengajian agama sejak di sekolah menengah dengan harapan ada anaknya yang meneruskan pengajian di bidang ini. Andai kata saya tidak diajar membaca Al-Quran sejak dari kecil, diajar tentang solat dan berakhlak dengan akhlak Islam, saya tidak tahu bagaiman keadaan saya pada hari ini.
Terlalu banyak pengorbanan seorang bapa kepada anak-anak.Tinggal lagi bagaimana seorang anak ingin membalas jasa-jasa beliau. Setelah beliau meninggal dunia, apa yang boleh dilakukan ialah selalu mendoakan beliau, menyedekahkan pahala kepada roh beliau dan berbuat baik dengan kaum keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Moga Allah mencucuri rahmat buat roh arwah bapa saya Ahmad Zabidi bin Abdul Fattah dan ditempatkan bersama para Anbiya' dan Solihin. Al-Fatihah!
Juga, selamat hari bapa buat bapa-bapa sekelian.
Label: coretan , kekeluargaan
Sekali Melangkah, Ku Takkan Berundur Lagi !

Sedikit Coretan : Ada Apa Pada Nama..
Banyak orang bertanya, "Kenapa nama awak ada Raden?" "Raden ni maksudnya apa ye?" Seolah-olah satu soalan wajib ditanyakan setiap kali perkenalan dihulurkan. Kadang-kadang letih juga nak menjawabnya..Baiklah, bagi sesiapa yang inginkan jawapannya, saya akan khabarkan di sini saja.
Mengikut laman web wikipedia, Raden adalah gelar kebangsawanan di kebudayaan Jawa, Madura dan Sunda. Gelar ini sejak abad ke-14 juga dipakai di Kalimantan dan masih dipakai pada sebagian keraton misalnya Kesultanan Sambas. (Ulasan saya : seperti juga nama Wan, Nik, Tengku dan lain-lain yang pada asalnya gelaran bagi keturunan bangsawan).
Arwah datuk saya datang dari tanah Jawa, berhijrah ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan membuka kampung tempat tinggal saya sekarang. Saya tidak pasti mengapa beliau berhijrah tetapi setahu saya ramai orang dari rantau Melayu sama ada Acheh, Sumatera, Patani dan sebagainya yang berhijrah ke Tanah Melayu. Barangkali mencari kehidupan yang lebih selesa ataupun berdakwah (saya kurang pasti).
Arwah ayah saya dilahirkan di Tanah Melayu, begitu juga adik-beradiknya yang lain kecuali abang sulungnya lahir di Jawa. Mereka membuka sekolah pondok atau persantren di kampung saya yang menjadi tumpuan penuntut ilmu dari merata tempat, dekat dan jauh di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada keluarga arwah ayah saya. Masa berlalu, lama-kelamaan pondok tersebut semakin surut penuntutnya dan akhirnya hari ini hanya berfungsi sebagai sekolah rendah agama rakyat yang mengajar KAFA pada waktu petang. Saya diberitahu bahawa saya masih lagi mempunyai saudara mara di Pulau Jawa, tetapi saya tidak pernah mengenali mereka. Dengarnya ada pakcik dan sepupu saya yang pernah pergi ke Indonesia mencari saudara mara yang masih hidup dan menziarahi mereka.
Timbul lagi satu soalan. Mengapa nama ayah saya tiada Raden? Jawapannya : kerana tidak diletakkan di dalam surat beranak dan kad pengenalan walaupun sepatutnya ada. Lagi? Adakah semua adik-beradik ada nama Raden? Tidak. Sebabnya abang sulung saya tidak diletakkan Raden, akhirnya kesemua nama adik-beradik lelaki tidak diletakkan Raden di dalam surat beranak walaupun sebenarnya ada. Hanya saya dan kakak sahaja ada Raden. Tetapi bagi mengelakkan terputusnya keturunan, abang-abang saya telah meletakkan Raden di pangkal nama semua anak-anak mereka, lelaki dan perempuan.
Cuma barangkali kombinasi nama saya yang agak pelik dari yang lain. Setakat ini saya belum pernah berjumpa dengan orang yang mempunyai nama yang sama dengan saya. Kalau ada pun hampir sama tetapi tidak serupa. Nabahah ( نباهه ) maksudnya "kecerdasan atau kemasyhuran". Kalau dieja dengan bahasa Arab, dengan huruf Ha' bulat' (ه ), bukan Ha 'pedas' (ح ). Kesilapan membaca akan menukar erti kepada "salakan anjing".
Teringat semasa saya di Tingkatan Empat ada salah seorang sahabat sekelas saya bertanya kepada Ustazah semasa belajar Bahasa Arab, bagaimana jika orang yang bernama Nabahah, sebab ustazah membuat contoh ayat ada perkataan Nabiha yang bermaksud menyalak. Haru, haru..tersentak juga saya. Ustazah pun terangkan, kalau nama orang tu Nabahah maksudnya Zaka' (kecerdikan), bukan menyalak. Bila diingat-ingat balik, kebanyakan ustaz dan ustazah yang mengajar saya Bahasa Arab akan memanggil saya Nabahah berbanding dengan panggilan Raden, kerana maknanya yang elok.
Terima kasih tidak terhingga buat arwah bapa saya yang memberikan anak-anaknya nama yang baik walaupun kadang-kadang saya menjadi takut kerana nama itu juga menyebabkan saya jadi terkenal! Apapun, pesanan saya, sama-samalah kita berikan nama yang baik-baik kepada anak-anak kita, bukan melihat kepada sedapnya sebutan, tetapi yang lebih penting ialah makna yang terkandung kerana nama itu adalah doa yang mendorong kita membentuk peribadi berdasarkan nama tadi, dan akhirnya nanti kita akan dipanggil dengan nama tersebut pada hari Qiamat. Mudah-mudahan anak-anak kita tidak menempelak kita seperti yang berlaku kepada seorang lelaki yang datang berjumpa Saidina Umar mengadu tentang anaknya menderhaka padanya. Kata si anak menjawab: Ayahku lebih dahulu berbuat buruk padaku, dipilih ibuku dari keturunan yang hamba Majusi, diberikanku dengan nama yang bererti lipas dan tidak mengajar aku dengan didikan Al-Quran.
Label: coretan
Inilah Universiti, tempat saya menadah ilmu daripada para doktor dan doktorah yang ikhlas, tempat saya bertungkus lumus menjawab kertas-kertas peperiksaan, tempat yang paling takut dijejaki setiap kali keputusan keluar, bahkan tempat kami menerima barang serta wang sedekah para dermawan Arab setiap kali Ramadan menjelma! Meskipun sedikit uzur (tapi sekarang dah banyak berubah) namun tetap setia menumpahkan jasanya kepada penuntut ilmu yang datang dari serata dunia Islam.
Tempat jatuh lagi dikenang, lagikan pula tempat menuntut ilmu. Terkenang sahabat-sahabat yang telah pulang ke tanahair menabur budi pada anak bangsa. Semoga terus istiqamah di jalan Allah. Dedikasi juga ucapan terima kasih buat semua pensyarah, guru dan sheikh yang ikhlas mengajar saya di Mansurah , sama ada di kuliah atau di Dewan Persada Jazirah Al-Ward. Hadiah Alfatihah buat Almarhum pensyarah Usul Fiqh saya yang buta tetapi terang hatinya, yang pulang ke rahmatullah selepas kami menamatkan Ijazah kami di Universiti Al-Azhar Mansurah tahun 2002. Semoga Allah menempatkan beliau bersama golongan anbiya', syuhada' dan solihin.
(Catatan sempena ziarah ke Bumi Mansurah 5 Julai 2007 yang lalu. Akhirnya rindu terubat setelah setahun tidak menjejakkan kaki ke sana, walaupun hadirku sekejap cuma.)
Label: coretan

