assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

10 Wasiat Hasan Al-Banna

  1. Tunaikanlah solat apabila kamu mendengar azan walau apa jua keadaan sekalipun.
  2. Bacalah Al-Quran, renungi, dengar dan berzikirlah kepada Allah, dan jangan bazirkan sedikitpun daripada masamu dalam perkara yang tidak berfaedah
  3. Berusahalah bertutur dalam Bahasa Arab Fusha. Sesungguhnya ia adalah antara syiar Islam.
  4. Jangan banyak berbalah dalam apa jua perkara. Sesungguhnya pertengkaran tidak membawa kebaikan.
  5. Jangan banyak ketawa. Sesungguhnya hati yang berhubung dengan Allah sentiasa tenang dan wibawa.
  6. Jangan bermain-main kerana umat yang berjuang tidak mengenal kecuali kesungguhan.
  7. Jangan mengangkat suara melebihi yang diperlukan oleh pendengar kerana ia akan menyakiti dan mengganggu orang lain.
  8. Jauhi mengumpat orang lain dan mencela golongan tertentu serta jangan bercakap melainkan yang baik-baik.
  9. Berkenal-kenalanlah dengan saudara yang kamu temui sekalipun tidak diminta, kerana asas dakwah kita adalah kasih sayang dan perkenalan.
  10. Kewajipan adalah lebih banyak berbanding dengan masa. Maka bantulah orang lain memanfaatkan masanya, dan sekiranya kamu mempunyai tugas, maka ringkaskan dalam menyempurnakannya.

Kemenangan Parti Pro-Islam di Turki dan Cabaran Yang Menanti

Parti AK pimpinan Erdogan boleh jadi contoh kepada pergerakan radikal Islam

Berita Harian : 24 Julai 2007

ANKARA: Kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pada pilihan raya umum kelmarin, meletakkan parti pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan itu pada kedudukan kukuh dalam politik Turki – perubahan menakjubkan ke atas pergerakan pro-Islam itu yang pernah dianggap radikal.Penganalisis politik berkata, kemenangan parti AK boleh dianggap kejayaan sistem politik Turki. AK boleh menjadi contoh kepada pergerakan radikal Islam yang lain kerana berjaya membuktikan ia boleh berubah sebagai kuasa demokratik.
AK memenangi 46.3 peratus undi selepas 99.9 peratus pengiraan undi selesai. Ia adalah kemenangan terbesar pernah diraih sebuah parti Turki sejak pemilihan Parlimennya dimulakan pada 1969.Kemenangannya itu menyaksikan AK menguasai 339 daripada 550 kerusi Parlimen – mandat cukup bagi menubuhkan kerajaannya sendiri. Parti itu mempunyai 352 ahli Parlimen sebelum ini dan pencapaiannya kali ini meningkat 12 peratus berbanding 2002. Namun, bilangan kerusinya berkurangan disebabkan kehadiran ramai anggota daripada lebih banyak parti berbanding sebelumnya.
Parti Republikan Rakyat yang menjadi parti sekular utama (CHP) di tempat kedua dengan 20.9 peratus undi atau kira-kira 112 kerusi, mengikut keputusan tidak rasmi.Parti Tindakan Nasionalis (MHP) yang berhaluan kanan di tempat ketiga dengan 14.2 peratus (71 kerusi).Tiada parti lain melepasi syarat 10 peratus ditetapkan bagi menganggotai Parlimen biarpun 28 calon bebas, termasuk 24 mewakili puak Kurdis, turut menang.
Kemenangan parti pro-Islam itu turut memberi kemenangan bermakna bagi Erdogan yang memanggil pemilihan kelmarin selepas partinya dihalang melantik orang kuatnya, Menteri Luar Abdullah Gul sebagai presiden baru berikutan tercetusnya pertikaian dengan golongan elit yang sekular.“Sistem demokrasi kita berjaya melepasi satu ujian. Perpaduan, demokrasi dan negara ini terbukti menjadi lebih kukuh seperti yang dibuktikan menerusi undian itu,” katanya di luar bangunan ibu pejabat AK yang disambut tepukan gemuruh penyokong dan percikan bunga api.

“Kita akan meneruskan usaha pemulihan ekonomi dan demokrasi dengan penuh keazaman,” kata Erdogan sambil berikrar meneruskan komitmen terhadap sistem sekular dan memastikan Turki menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU). Erdogan sendiri berdepan krisis terburuk kariernya April lalu selepas pembangkang memboikot pemilihan Parlimen ketika Gul, yang juga orang kanannya hampir menduduki kerusi Presiden. Krisis itu mencapai kemuncaknya apabila pasukan tentera yang berpengaruh memberi amaran dalam satu kenyataan tegas yang ia bersedia melakukan apa saja demi melindungi sistem sekular dan berjuta-juta penduduk Turki menyertai bantahan jalan raya bagi menentang pemilihan calon AK sebagai presiden.

“Keputusan undian itu jelas membuktikan yang rakyat tidak menyalahkan AKP di atas ketegangan politik yang berlaku,” kata penganalisis politik, Taha Akyol.“Rakyat sebaliknya memberi kebenaran kepada AKP melantik presiden baru.”Wartawan veteran, Hasan Cemal pula berkata, pemilihan itu adalah ‘satu memorandum rakyat kepada tentera supaya tidak mencampuri urusan politik.’ - AFP

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan saya :


Perkembangan dunia hari ini menyaksikan kebangkitan umat Islam untuk kembali kepada Islam begitu meruap-ruap, walaupun musuh Islam menggunakan pelbagai cara untuk menutup kebenaran. Turki, bumi saksi kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah angkara Mustafa Kamal Attaturk pada hari ini menyaksikan perjuangan Islam masih lagi mampu bernafas sekalipun menghadapi pelbagai tekanan.

Pun begitu, saya melihat situasi dan cabaran yang bakal dihadapi oleh Parti AK di Turki agak hebat. Turki di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) mungkin terpaksa berpresidenkan seorang sekularis lantaran calon presiden dari Parti AK, Abdullah Gul ditolak oleh golongan yang menjunjung perlembagaan sekular Turki baru-baru ini. Jika ini berlaku, situasi mereka menjadi hampir sama (walaupun tidak serupa) dengan keadaan HAMAS, parti pro-Islam (baca : gerakan Islam) di Palestin ketika mendapat mandat membentuk kerajaan, yang terpaksa berpresidenkan seorang nasionalis sekular (Mahmud Abbas) yang akhirnya membuat onar dengan menjatuhkan kerajaan HAMAS yang dipilih oleh rakyat.

Parti AK merupakan kesinambungan Parti Refah (baca :gerakan Islam) yang pernah dinafikan hak memerintah oleh tentera yang mendokong sekular walaupun memenangi pilihanraya suatu masa dulu, hari ini berjaya membuktikan kejayaannya meraih sokongan rakyat setelah mengubah beberapa pendekatan mereka. Sistem republik ciptaan Barat ini sebenarnya tidak terjamin selamat untuk mendirikan kerajaan Islam kerana demokrasi ciptaan ini boleh diragut sewenang-wenangnya atas nama 'keluhuran' perlembagaan. Presiden boleh menggunakan kuasanya untuk mengganggu kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Apatah lagi, keadaan Turki di mana tentera mempunyai kuasa untuk menumbangkan kerajaan. (Dalam sistem republik , pilihanraya memilih ahli parlimen dan pilihanraya presiden dilakukan berasingan. Presiden (ketua negara) tidak semestinya daripada parti pemerintah yang menang pilihanraya, cuma Perdana Menteri (ketua kerajaan) dilantik daripada parti yang menang. )


Pun begitu, perlu difahami bahawa kebanyakan gerakan Islam sedunia memilih untuk menyertai pilihanraya kerana menggunakan wasilah pilihanraya yang merupakan bentuk 'muwajahah silmiyyah' (pertembungan secara aman) lebih baik daripada menggunakan pendekatan revolusi (secara kekerasan). Mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah menggunakan sistem 'himayah wal jiwar' yang merupakan sistem jahiliyah ketika baginda ingin masuk ke Mekah, gerakan Islam hari ini menggunakan pendekatan menyertai pilihanraya walaupun pilihanraya dan demokrasi bukan sistem Islam. Walaupun sukar, sekurang-kurangnya dengan kemenangan gerakan Islam dalam pilihanraya, kuasa pemerintahan tersebut dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan Islam secara aman dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang. Itu lebih baik daripada mengambil pendapat yang mengatakan pilihanraya tidak syar'ie lalu tidak menyertai pilihanraya langsung, natijahnya rakyat terpaksa akur apabila kerajaan yang naik memerintah melalui pilihanraya adalah kerajaan sekular yang menindas.

Menggunakan kaedah revolusi untuk menumbangkan kerajaan pula buat masa ini dilihat masih belum sesuai kerana masih banyak ruang untuk kita menggunakan cara aman. Kaedah kekerasan adakalanya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan apabila gerakan yang asalnya bertujuan menggulingkan kerajaan sekular dan menggantikannya dengan kerajaan Islam akhirnya menyebabkan tercetus perang saudara sesama Islam yang akhirnya menyebabkan musuh Islam yang mendapat keuntungan. Pun begitu, saya tidak menafikan Revolusi Iran mempunyai keunikan yang tersendiri apabila mendirikan Republik Islam Iran.

Apapun, yang pastinya, kita mendoakan Parti AK mampu merealisasikan cita-cita Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan. Musuh Islam tidak akan senang melihat Islam menjadi tuan, malah sentiasa mencari jalan agar Islam diperkotak-katikkan. Sesuatu yang dibuat atas nama Islam mestilah mengambilkira pelbagai aspek kerana kesilapan dalam mengatur tindakan akan mencemarkan nama baik Islam dan menguntungkan pihak musuh.

Pesanan buat para pejuang Islam , ingatlah bahawa memperjuangkan Islam mestilah atas dasar ilmu dan kefahaman, bukan atas dasar semangat dan ikut-ikutan yang lebih menghampirkan kita kepada kesesatan. Tambahkan ilmu, pergiatkan amal,tuluskan niat, gandakan jihad dan teguhkan istiqamah. Moga Allah menjadi saksi setiap pengorbanan yang dicurahkan. Yakinlah, Islam adalah penyelesai kepada semua masalah.

p/s : Saya tidak setuju penggunaan istilah radikal dalam artikel di atas. Anda pula bagaimana?





Harry Porter Jadi Bahan Pengajaran Penyebaran Kristian

Mengeksploitasi kejayaan novel dan filem Harry Porter yang digemari kanak-kanak, Gereja England telah menerbitkan satu panduan untuk pemimpin muda gereja menggunakan kejayaan tersebut dalam menyebarkan ajaran Kristian di kalangan kanak-kanak sepanjang program latihan gereja, mengikut laporan akhbar Britain 'Daily Telegraph'.

Penulis panduan tersebut, Owen Smith yang juga merupakan pemimpin muda di Gereja St Margaret di Rainham,Kent mengatakan," Sesi program tersebut bertujuan mengaitkan di antara peristiwa dalam dunia Harry dan kawan-kawannya dengan alam sebenar untuk digunakan bagi menasihati kanak-kanak berdasarkan ajaran Bible" .

Panduan berkenaan, 'Mixing Up with Harry Porter' menawarkan idea kreatif menggunakan buku-buku Porter sebagai bahan pengajaran Kristian. Ia menggunakan babak-babak filem untuk menarik perbincangan tentang pilihan moral dan petikan daripada buku bagi memaparkan kekuatan perkataan dan kesannya kepada orang lain.

Daripada konsep teologi seperti pengorbanan dan belas kasihan, hinggalah ke isu harian seperti ketakutan dan kesombongan. Setiap daripada 12 sesi memberikan ruang perbincangan dan aktiviti selama sejam.Setiap sesi memasukkan ayat-ayat Bible yang menunjukkan perspektif Kristian terhadap tema dan aktiviti sembahyang yang selari dengan topik.Panduan ini direka untuk kegunaan kepada kanak-kanak berusia 9 hingga 13 tahun dan boleh didapati untuk gereja-gereja di kedai buku utama dan kawasan Kristian.

Penerbitan ini muncul pada saat dunia menanti pelancaran buku 'Harry Porter and the Deathly Hallows' dalam siri ketujuh dan terakhir kisah tersebut pada Sabtu ,21 Julai nanti. Peminat kepada siri ini akan beratur di luar kedai-kedai buku di serata dunia untuk menerima naskhah mereka yang dijangkakan akan memecah rekod dan menjadi buku best-seller paling singkat apabila dilancarkan.

Sejak ia diterbitkan, buku-buku Harry Porter menjadi sangat popular hingga terjual lebih 320 juta naskhah di 200 buah negara dan diterjemahkan kepada lebih daripada 63 bahasa.

Dipetik daripada : http://www.islam-online.net/

----------------------------------------------------------------------------

Ulasan saya :
Islam telah lama mengajar para pendakwah dan pentarbiyah tentang kepentingan cerita sebagai bahan dalam mendidik, berdakwah dan menasihati orang lain. Banyak kisah-kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadith sebagai pengajaran kepada umat manusia. Kisah Nabi-nabi, Ashabul Ukhdud dan Ashabul Kahfi adalah antara kisah yang terkandung dalam Al-Quran dan Al-Hadith terkandung pengajaran yang terlalu banyak yang sepatutnya dijadikan bahan dalam pengajaran.

Kelebihan teknik cerita sebagai bahan dakwah dan tarbiyah ialah mesejnya dapat disampaikan secara tidak langsung dan tidak membosankan, di samping sesuai dengan tabiat manusia yang suka mendengar cerita dan bercerita. Dalam konteks hari ini, sastera Islam perlu diperluaskan dengan memperbanyak bahan-bahan cerita berunsurkan Islam, di samping penerbitan bahan-bahan bacaan yang mengujakan yang sesuai dengan peringkat remaja dan kanak-kanak yang masih rebung.

Umat Islam hari ini sepatutnya mengeksploitasi peranan media tidak kira media cetak, media elektronik dan sebagainya untuk menyebarkan Islam. Pihak musuh kian giat menggunakan senjata media ini untuk membunuh kita, malangnya di kalangan kita ada yang baru bertatih-tatih, baru tersedar dan yang paling malang ialah masih tenggelam dalam perangkap yang disediakan oleh pihak musuh!

Serangan pemikiran telah lama menjadi racun dalam masyarakat Islam. Gerakan dakwah perlu lebih proaktif dalam memperkasa peranan media dalam penyebaran dakwah dan menjawab serangan musuh. Ingat, kebenaran tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan berperancangan. Ayuh, apa ditunggu lagi berjihadlah dan didiklah masyarakat melalui media!

Raja Nazrin Iktiraf Sumbangan Ulama' PAS dalam Memperjuangkan Kemerdekaan

IPOH: Pengiktirafan negara kepada institusi bersejarah dan pahlawan bangsa harus mengatasi premis politik kepartian kerana negara bangsa yang menghargai sejarah bangsa akan dapat mencipta sejarah bangsa yang lebih gemilang, titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Berucap menyampaikan Titah Utama pada Majlis Muzakarah Ulama 2007, di sini, 5 Julai lalu, Raja Nazrin menamakan Maahad al-Ehya as-Shariff, Madrasah Diniah Padang Rengas, Madrasah al-Idrisiah Kuala Kangsar, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Kolej Perguruan Sultan Idris sebagai tapak-tapak awal kesedaran bangsa menentang penjajah.

Baginda turut menamakan Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Dr Zulkiflee Muhammad sebagai tokoh-tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa. Dr Burhanudin ialah bekas Yang Dipertua PAS, manakala Dr Zulkiflee pula timbalannya dan merupakan antara ahli Parlimen negara ini yang cukup diingati. Ustaz Abu Bakar pula ialah pengasas Hizbul Muslimin yang mana penubuhan PAS adalah untuk melanjutkan perjuangannya. Ustaz Baharuddin Abdul Latif ialah bekas Setiausaha Agung PAS, juga adik kepada penulis terkenal Subky Latif.

"Semua mereka adalah anak-anak negeri Perak," jelas Raja Nazrin dalam ucapan bertajuk "Gandingan Ulama dan Umara' dalam Pembinaan Negara: Sejarah, Realiti dan Masa Depan". Menurut baginda, peranan institusi pendidikan dan para ulama amat besar kepada negara dalam meniupkan semangat kesedaran kepada orang Melayu untuk bangun menentang penjajah Inggeris seterusnya menghalau penjajah dari negara ini. Negeri Perak, ujarnya, turut dijadikan tapak yang subur kepada Syeikh Junid Tola dan Syeikh Mohamad Tahir Jalaludin yang berasal dari Sumatera membantu menggemakan seruan menuntut kemerdekaan. Malah, menurut baginda, Mohamad Asri Muda meskipun dilahirkan di Kelantan telah mengasas dan memimpin Lembaga Pembangunan Sastera (LEPAS Perak) dan menjadi guru di Madrasah Ma'ahad al-Ehya As-Shariff Gunung Semanggol dan bertemu jodoh dengan Ustazah Sakinah Joned di madrasah tersebut. Allahyarham Asri ialah bekas Yang Dipertua PAS manakala isterinya, Sakinah merupakan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

"Dalam suasana dan semangat negara merayakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan, amatlah tepat Kerajaan Perak memikirkan pengiktirafan sewajarnya diabadikan kepada intitusi-institusi sejarah tersebut, juga kepada tokoh-tokoh yang layak diiktiraf sebagai pahlawan bangsa. "Pengiktirafan negara kepada institusi sejarah dan kepada pahlawan bangsa harus diasaskan mengatasi premis politik kepartian," tegas Raja Nazrin.

Sebelum itu baginda menekankan bahawa golongan ulama, melalui pendedahan pendidikan, terutama dari kalangan mereka yang pernah belajar di Asia Barat dan India, merupakan golongan terawal, memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Muzakarah Ulama' 2007 itu telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan dianjurkan Jabatan Mufti Perak sempena sambutan keputeraan ke-79 Sultan Perak.

Raja Nazri turut mengimbau beberapa peristiwa penting yang memberikan rasa bangga kepada negeri Perak dalam proses membina sebuah negara bangsa merdeka. Antaranya, titah baginda, "Pada Mac 1947, Persidangan Islam Se Malaya yang pertama telah berlangsung di Madrasah Maahad al-Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol. Penubuhan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) dihasilkan dari persidangan tersebut.
"Persidangan Islam Se Malaya kali kedua yang berlangsung pada 17 Mac 1948 telah merumuskan untuk menyusjn semula Majlis Agama Tertinggi Malaya, menjadi parti politik Islam, lalu lahirlah di bumi Gunong Semanggol, Hizbul Muslimin, parti politik pertama atas nama Islam di negara ini."


Dipetik dari : http://www.detikdaily.net

Cinta dan Erti Sebuah Perkahwinan

Perkara ini sangat penting untuk ditulis kerana di sekitar saya kelompok pemuda pemudi di ambang perkahwinan yang amat memerlukan bimbingan. Sebenarnya saya tidak pandai menulis tentang perkara ini dengan cara yang mengesankan, tetapi saya linkkan kepada anda satu pengalaman hidup yang amat menarik untuk dibaca oleh para generasi muda hari ini yang mencari-cari erti cinta dan sebuah perkahwinan. Pertama kali saya membaca artikel ini, air mata saya mengalir tanpa saya sedari dan hati saya sangat membenarkan pengalaman tersebut. Bacalah dari hati anda di : http://saifulislam.com/?p=75 . Juga sedikit peringatan bagi anda yang bercinta dengan 'kosmetik Islam' di : http://saifulislam.com/?p=691 . Semoga bermanfaat.

Inilah Universiti, tempat saya menadah ilmu daripada para doktor dan doktorah yang ikhlas, tempat saya bertungkus lumus menjawab kertas-kertas peperiksaan, tempat yang paling takut dijejaki setiap kali keputusan keluar, bahkan tempat kami menerima barang serta wang sedekah para dermawan Arab setiap kali Ramadan menjelma! Meskipun sedikit uzur (tapi sekarang dah banyak berubah) namun tetap setia menumpahkan jasanya kepada penuntut ilmu yang datang dari serata dunia Islam.

Tempat jatuh lagi dikenang, lagikan pula tempat menuntut ilmu. Terkenang sahabat-sahabat yang telah pulang ke tanahair menabur budi pada anak bangsa. Semoga terus istiqamah di jalan Allah. Dedikasi juga ucapan terima kasih buat semua pensyarah, guru dan sheikh yang ikhlas mengajar saya di Mansurah , sama ada di kuliah atau di Dewan Persada Jazirah Al-Ward. Hadiah Alfatihah buat Almarhum pensyarah Usul Fiqh saya yang buta tetapi terang hatinya, yang pulang ke rahmatullah selepas kami menamatkan Ijazah kami di Universiti Al-Azhar Mansurah tahun 2002. Semoga Allah menempatkan beliau bersama golongan anbiya', syuhada' dan solihin.

(Catatan sempena ziarah ke Bumi Mansurah 5 Julai 2007 yang lalu. Akhirnya rindu terubat setelah setahun tidak menjejakkan kaki ke sana, walaupun hadirku sekejap cuma.)


Pahlawan Terbilang : Salahuddin Al-Ayyubi

Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkanku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud bahawa Palestin adalah untukku." Ini menyebabkan beliau berjuang untuk memenangkan perjuangan Islam dan menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Beliau sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuatkan pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad, maka beliau akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini beliau lebih banyak berada di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama keluarga. Sesiapa yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Sesiapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila beliau telah memulakan jihad melawan tentera salib, beliau akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan, beliau bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh penjahat. Beliau akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Sebenarnya saya diminta memberi pengisian tentang tokoh Salahuddin Al-Ayyubi. Secebis kisah buah tangan saya buat tatapan anda di celah-celah kesibukan ini. Hayati semangat perjuangan beliau untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Menarik di ASEAN's Culture

Hari ini Hewi PMRAM (Malaysia) berkampung pula di Dewan Haflah Kubro, Kuliah Tibb Al-Azhar, Hayyu Sadis bersama WIHDAH-PPMI (Indonesia) dan PERKEMAS (Singapura) dalam hari kedua program ASEAN's Culture anjuran bersama ketiga-tiga persatuan pelajar mewakili negara masing-masing. Hari pertama semalam acara padang. Pengisian hari ini Talk Show (@Forum) dan persembahan kebudayaan dari setiap negara. Semalam saya tidak hadir ke padang kerana membuat persiapan bagi program hari ini. Menjadi panel talk show mewakili negara agak mencabar saya walaupun sudah biasa bercakap.Agak gementar dan rasa kurang bersedia walaupun tajuk telah diberi awal dan hadirat tidak ramai pada awalnya.

Lupakan saja soal persembahan saya dalam talk show tadi. Saya sebenarnya ingin berkongsi input yang diperolehi berkenaan Islam dan Muslimah di negara Indonesia dan Singapura. Tajuk Talk Show : Muslimah Mendepani Tantangan (Cabaran) Globalisasi. Antara ulasan menarik daripada Ukhti Wirdah FAchiroh ( cara bacanya : Wirdah Fakhiroh) dari Indonesia berkenaan cabaran ekonomi di Indonesia di mana masalah ekonomi atau kemiskinan muslim menjadi peluang untuk pihak missionari Kristian untuk 'membeli' akidah mereka. Hanya dengan sebungkus IndoMee saja mempu menggadaikan akidah kerana mereka tidak miliki ongkos untuk berbelanja. Bayangkan! Betullah kata-kata : kefakiran itu bisa saja buat manusia jadi kafir.

Menarik daripada Singapura dalam sesi soal jawab apabila ada seorang peserta Indonesia bertanyakan tentang Singapura yang digelar Yahudi Asia Tenggara.Dengan bersahaja Ukhti Nadia HAnim panelis Singapura menjawab :" Kami tidak terasa hati dengan persoalan itu. Cuma yang ingin saya katakan,memang Singapura itu negara kafir tetapi jangan lihat negaranya, lihat kami umat Islam di sana." Walaupun minoriti dan banyak kekangan , namun umat Islam Singapura tidak goyah dengan cabaran tersebut dan lebih banyak menggunakan pendekatan diplomasi berbanding pendekatan konfrantasi dengan kerajaan Singapura.

Banyak lagi yang menarik, tentu sahaja yang hadir tidak sama dengan yang tidak hadir. Lain kali boleh anjur lagi program pertukaran maklumat dan budaya seperti ni...Rantau Melayu walaupun berbeza negara , banyak persamaan juga kerana bersatu dalam soal aqidah dan budaya yang hampir sama.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger