assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Keajaiban Al-Quran



Al-Quran kitab Allah yang dibaca, manakala kejadian alam adalah bukti kekuasaan Allah yang dilihat. Banyak penemuan moden ditunjukkan oleh Al-Quran sebelum ia dibuktikan oleh manusia.

Fakta menarik untuk dikongsi bersama :

Perkataan "Al-Barru" yang bermaksud daratan disebut sebanyak 12 kali (26.67 %) , berbanding perkataan "Al-Bahru" yang bermaksud lautan disebut sebanyak 33 kali (73.33%). Ini menepati teori geografi yang mengatakan 3/4 bumi adalah terdiri daripada air.

Perkataan "Al-Yaum" bermaksud hari disebut sebanyak 365 kali sama seperti bilangan hari di dalam setahun. Begitu juga perkataan "Al-Syahru" yang bermaksud bulan disebut sebanyak 12 kali sama seperti bilangan bulan dalam setahun.

Dan ada banyak lagi fakta yang tidak sempat disebutkan di sini...

Kata-kata Hikmat



"Kebahagiaan adalah sebatang pohon. Air, makanan, udara dan cahayanya ialah iman kepada Allah dan hari akhirat."


"Maafkan orang yang menzalimimu, hubungkan slaturrahim dengan yang memutuskannya, berilah kepada yang tidak memberi kepadamu dan berlembutlah dengan orang yang menyakitimu, nescaya engkau akan mendapati kegembiraan dan keamanan."


"Bergembiralah dengan pilihan Allah untukmu. Sesungguhnya engkau tidak mengetahui kebaikan, kadangkala kesempitan itu lebih baik bagimu berbanding kemewahan."


"Jauhilah dosa kerana ia sumber kerungsingan dan kesedihan, sebab kepada bencana serta pintu musibah dan krisis."


"Matinya hati dapat diketahui dengan meninggalkan perkara ketaatan, ketagihan perkara dosa,  melewatkan taubat, memusuhi manusia, derhaka kepada ibubapa dan menyebarkan rahsia."


"Lazimi Ya Zal Jalal al Ikram dan biasakan Ya Hayyu ya Qayyum, birahmatika astaghith, nescaya akan datang kegembiraan , kelapangan dan ketenangan."



(Dipetik dari buku La Tahzan karangan Dr. 'Aid Al-Qarni)

Sebuah Penghijrahan

Tahun baru Hijrah 1431 kali ini telah pun bermula. Sama-samalah kita mendoakan agar tahun ini penuh dengan kebaikan dan kita semua terjauh daripada keburukan. Tahun lalu yang telah ditinggalkan diharapkan dapat menjadi muhasabah dan iktibar agar tahun ini terisi lebih baik berbanding sebelumnya.

Alhamdulillah, tahun baru hijrah kali ini bermula dengan baik. Selasa minggu pertama, saya mula mengajar kaum ibu secara mingguan di sebuah surau di Kota Bharu. Ini merupakan cabaran buat saya memandangkan audien kebanyakannya berpangkat kakak dan makcik, selain kanak-kanak kecil yang menyertai ibu mereka. Tambahan pula, terpaksa mengajar dalam loghat Kelantan. Apapun, alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Minggu ini pula, saya dan suami berpindah ke rumah sewa baru. Mudah-mudahan tiada lagi masalah di rumah ini. Semoga hijrah ini membawa makna buat kami sekeluarga.

Buat para pembaca sekelian, semoga semangat hijrah meresap di sanubari kita. Berhijrah daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik. Sama-samalah kita menghayati sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat baginda agar dapat menjadi panduan dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar ini.

Buat muslimah, contohilah ketabahan dan keberanian Asma' binti Abu Bakar dalam peristiwa hijrah. Walaupun dalam keadaan sarat mengandung, beliau sanggup menggadai nyawa memanjat bukit untuk membawa bekalan makanan untuk Rasulullah dan ayahandanya yang bersembunyi di Gua Thur. Peranan Asma' sangat penting untuk mengaburi musyrikin Quraisy yang sedang mencari-cari baginda berdua.

Muslimah tidak sepatutnya merasa rendah diri untuk menyumbang kepada perjuangan mendaulatkan Islam.. Setiap kita mempunyai peranan di posisi kita sendiri. Cuma soalnya, hendak atau tidak?

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger