Jika tiada penyerahan diri yang bulat dan ketaatan yang total kepada Tuhan Yang Maha Mencipta, Nabi Ibrahim pasti tidak sanggup menyembelih Nabi Ismail anak kesayangan baginda.Jika tidak kerana payahnya berkorban semata-mata mencari redha Allah, sudah tentu pahala berkorban tidak sebesar mana.
Dalam kehidupan ini, sering berlaku pertembungan antara kesayangan-kesayangan diri, mana satu yang terpaksa dikorbankan. Berkorban untuk orang tersayang, kesenangan hidup masa hadapan, sahabat, pemimpin, dan pelbagai lagi kepentingan yang memerlukan kita berkorban. Tetapi pengorbanan yang total tanpa bersalut kepentingan selain mendapat redha dan cinta Allah itu amat payah dibuktikan walaupun mudah untuk dituturkan dengan kata-kata.
Kadangkala pengorbanan itu 'kelihatan seperti untuk Allah' tetapi bercampur niat lain di sebaliknya. Seringkali manusia 'mengorbankan Allah' kerana lebih sayangkan manusia (isteri,suami, anak-anak, sahabat handai, keluarga, kekasih dll), harta, atau diri sendiri berbanding Allah yang lebih utama.Contohnya, manusia tidak sanggup melakukan amar makruf nahi mungkar semata-mata kerana menjaga hati orang tersayang. Lalu, siapakah yang 'berkorban' dan 'terkorban' dalam hal ini?
Justeru, marilah kita mencontohi Nabi Ibrahim yang memilih untuk mengorbankan kesayangan hatinya dan Nabi Ismail yang berkorban semata-mata kerana taatkan perintah Allah serta meyakini Allahlah yang paling berhak menerima pengorbanan yang mutlak, bukan makhlukNya yang lain. Marilah memuhasabah diri dan mendidik jiwa menghayati roh korban dengan sebenar-benarnya. Letakkan cinta kepada Allah melebihi segala-galanya, dalam masa yang sama tidak mengabaikan kasih sayang sesama makhlukNya yang merupakan asas terletaknya kasih sayang Ar-Rahman. Berkorban untuk perkara lain itu tidak salah, yang salah ialah 'mengorbankan Allah' dengan mengutamakan kepentingan lain apabila bertembung.
Menghayati Roh Korban Di Aidiladha
Dicatat oleh
Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi
at
19 Disember 2007
Label: tazkirah
0 ulasan:
Catat Ulasan