assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Wanita Pertama Turki Bertudung : Kejayaan Muslimah Turki



Pada 26 Ogos 2007 lalu agensi berita AP telah melaporkan kehadiran isteri Menteri Luar Turki, Abdullah Gul yang bakal menjadi Presiden negara ini telah menjadi pertikaian hebat di kalangan sesetengah penduduk di negara tersebut.

Pertikaian berlaku semata-mata isteri Menteri Luar ini, Hayrunnisa memakai tudung . Agensi berita Barat ini yang dipetik sebagai berkata, ini disebabkan 'tudung itu melambangkan imej Islam' yang bertentangan dengan pendirian sekular di negara majoriti penduduknya yang beragama Islam.

Agensi Berita ini menambah, kalangan sekular berang dengan hakikat yang mengenakan imej muslimah berkemungkinan menetap di Istana Presiden yang sebelum ini pernah didiami Bapa Turki Moden, Mustafa Kemal Ataturk.

Hayrunnnisa yang sememangnya bertudung sejak zaman remaja adalah pemimpin kempen hak wanita muslim yang mengenakan tudung. Hayrunnisa juga bukan calang wanita kerana pernah mengemukakan rayuan di Mahkamah Hak Asasi Manusia EU untuk kekal bertudung di universi.

28 Ogos lalu, Abdullah Gul telah memenangi pilihanraya dan sah menjadi Presiden Turki. Kini, Hayrunnisa menjadi First Lady Turki yang pertama mengenakan tudung. Ternyata, kemenangan tetap bersama para pejuang kebenaran. Syabas dan tahniah buat Presiden Turki Abdullah Gul, Hayrunnisa, pencinta Islam dan muslimah Turki!

p/s Raja Permaisuri Agong Malaysia juga bertudung, isteri Perdana Menteri Malaysia bila lagi?

Erti Sebuah Kemerdekaan


Esok Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-50. Adakah Malaysia telah benar-benar merdeka? Pada saat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50, bagi saya rakyat Malaysia masih belum merdeka. Mereka masih mewarisi pemikiran, perundangan, pentadbiran, ekonomi dan segala-galanya yang ditinggalkan penjajah, malah mengagungkan segala yang datang dari Barat. Apakah merdeka itu semata-mata dengan keluarnya penjajah dari tanahair?

Merdeka dalam Islam bukan merdeka dan bebas lepas sebebasnya tanpa sebarang ikatan. Menyambil sempena kata-kata Rab'ie bin 'Amir sahabat Nabi kepada bertemu Panglima Rom bernama Rustam ketika Rom jatuh ke tangan orang Islam bahawa yang dimaksudkan dengan kemerdekaan dalam Islam ialah kemerdekaan diri dari sebarang perhambaan sesama makhluk, dan meletakkan penghambaan secara total kepada Allah dan hukum-hakamNya.

Justeru, merdekakan jiwa dan minda rakyat agar selari dengan ajaran Islam!


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke -50!

Politik Diam Mahasiswa Malaysia di TV Indonesia

Saksikan rakaman tentang politik diam mahasiswa Malaysia dalam rancangan Metro Kampus di TV Indonesia. Fikir-fikirkan..

Kenyataan Hidup Di Sebalik Permainan Ini.....


Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Dia duduk mengadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya pula ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan. Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka katalah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"Murid-muridnya pun faham dan mengikut arahan yang diberikan. Guru itu pun mengangkat tangan kanan dan kirinya berganti-ganti , semakin lama semakin cepat.

Selan beberapa lama, kemudian guru itu berkata, "Baik, sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulang seperti tadi. Tentu saja mula-mula murid-murid menjadi keliru dan kekok, dan sukar untuk mengubahnya. Namun, lama-kelamaan mereka menjadi biasa dan tidak kekok lagi. Selang beberapa ketika, permainan itu berhenti.

Guru itu tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas boleh membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Permulaannya mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi oleh kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara yang menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu dan mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan etika.

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah tanpa rasa malu, seks sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa merasai bahawa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya guru kepada murid-muridnya. "Faham cikgu..."

"Baik, sekarang permainan kedua...Cikgu ada Al-Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri di luar karpet. Permainannya ialah bagaimana caranya anda dapat mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya pun berfikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat dan sebagainya. Akhirnya guru itu memberikan jalan keluar, iaitu digulungnya karpet lalu diambilnya Al-Qur'an. Ia memenuhi syarat, iaitu tidak memijak karpet .

"Murid-murid, begitulah umat Islam dan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina di hadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar."Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunkanlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dahulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang satu persatu, barulah rumah dihancurkan. .."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka.Dan itulah yang mereka inginkan.""Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh-musuh kita. "

"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak kita, cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi.""Begitulah umat Islam.Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak dan tersedar".

"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik tatkala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing...

Ulasan saya : Renungilah pembaca sekalian. Serangan musuh sedang menyelinap
masuk ke segenap sudut tanpa kita sedari. Diri kita, keluarga, sahabat handai,
jiran tetangga dan masyarakat kita dalam bahaya! Sedarkan diri kita dan mereka
agar tidak menjadi mangsa sebelum terlambat! Jika ditakdirkan anda menjadi guru, jadilah pendidik yang mendidik dengan benar serta sabar agar anak bangsa bukan sahaja celik akal, bahkan celik hati! Mampu mengenal diri, mengenal Tuhan dan mengenal hakikat kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Palestin dan Masjidil Aqsa

Sempena memperingati Isra' dan Mi'raj, mari kita saksikan klip tentang Palestin dan Masjidil Aqsa dalam episod 1 Jejak Rasul 12 yang ditayangkan di Malaysia pada Ramadan tahun lepas. Sekurang-kurangnya dapat mengubat rindu kepada Masjidil Aqsa dan menyemarakkan semangat juang kita untuk memerdekakan Palestin dari cengkaman Israel laknatullah.

Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa : Lambang Kesatuan Mahasiswa

( Catatan ini ditulis sempena Konvensyen DPM 3 (SEJAK) pada 4 dan 5 Ogos 2007 yang lalu)

Semalam, berakhirlah Konvensyen DPM ke-3 di Mansurah. Buat ke sekian kalinya Mansurah menjadi tuan rumah perhimpunan besar-besaran mahasiswa dari seluruh pelusuk muhafazah di Mesir. Walaupun saya tidak sempat merasai keperitan generasi terdahulu menjayakan Konvensyen DPM 1 pada 1995 yang dibatalkan pada saat-saat akhir hingga peristiwa itu digelar Dumu' Mansurah (Air Mata Mansurah), namun saya sempat terlibat menjayakan Konvensyen DPM ke-2 pada 1998 yang diadakan sebagai menebus pembatalan Konvensyen DPM kali pertama. Ketika itu, saya baru berada di Tahun Satu, tetapi saya telah ditugaskan dengan satu tugas berat iaitu mewakili DPM Mansurah membahaskan Ucaptema Presiden PMRAM sempena Konvensyen ke-2 tersebut. Alhamdulillah ketika saya mula-mula menjejakkan kaki di Mesir, saya masih sempat mendengar cerita daripada generasi terawal Mansurah tentang perit jerih mereka membangunkan DPM , merasai tarbiyah dan menjiwai semangat perjuangan figur-figur utama DPM terawal.

Kesatuan adalah suatu nikmat. Seperti nikmat Allah yang lain, seringkali hanya orang yang merasai kepayahan mendapatkannya yang betul-betul menghargainya. Sebagai manusia, kita yang punya kuasa memilih perlu memilih yang terbaik, antara menghargai nikmat atau menyesalinya bila ia sudah tiada. Namun, selaku mukmin kita sewajarnya tidak menjadi golongan yang kufur nikmat atau orang-orang yang menyesal. Apa guna penyesalan kerana nikmat yang pergi tidak akan kembali lagi.

Generasi masa kini yang tidak merasai perit jerih generasi terdahulu sepatutnya menghargai kesusahan kakak-kakak dan abang-abang terdahulu. Caranya ialah dengan memelihara kesatuan ini. DPM bukanlah seperti BKAN yang terletak di kota besar Kaherah. Muhafazah yang serba-serbi kurang dari sudut kemudahan, tentu saja melelahkan individu-individu yang mendokongnya. Namun , perlu diingat bahawa lelah fizikal bukan bererti lelah jiwa. Jiwa yang kental akan menyebabkan kelelahan fizikal menjadi ringan. Sebaliknya jiwa yang lelah (lemah) akan menjadikan fizikal yang kuat tiada ertinya. Justeru, untuk mengembalikan kehebatan silam, tidak dapat tidak, mestilah melalui beberapa prasyarat kejayaan iaitu, kekentalan iman, kesungguhan amal, istiqamah dan ukhuwah .

Sebagi orang yang pernah merasai perit jerih membangunkan DPM, saya sangat-sangat mengharap generasi baru DPM bersatu dan mempertahankan kesatuan yang ada dari diganggu gugat oleh pihak-pihak yang cuba melemahkan. Jika kita tidak mampu menjadi pendokong, jadilah sekurang-kurangnya penyokong. Jika menjadi penyokong pun tidak mampu, jangan sampai kita tidak menjadi penentang. Ini kerana jika kita menjadi penentang, kitalah musuh yang wajib diperangi. Merobek kesatuan adalah satu 'jenayah' yang berat dalam Islam. Ini terpancar melalui wujudnya hukuman Islam bagi 'bughah' iaitu golongan pemberontak menentang kerajaan Islam.

Oleh itu, pertahankanlah kesatuan demi ketuanan Islam di atas muka bumi ini. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Ingatlah ,bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Buat adik-adik di muhafazah, selamat berjuang!

Sila baca nostalgia Konvensyen DPM 1 di sini.


Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger