assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Syawal dan Kita


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!

Laungan takbir mengagungkan Allah berkumandang ke segenap ceruk dunia tanggal 1 syawal setiap tahun tanda kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Lalu setiap kali itulah juga kita mengimbau nostalgia kemenangan umat Islam dalam Perang Ahzab yang menjadi signifikan kemenangan perjuangan mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.
Laungan takbir seharusnya bukan sekadar diucapkan di bibir bahkan lebih jauh lagi rohnya mesti dihayati dan direalisasikan dalam bentuk amal. Ucapan membesarkan Allah mesti diselarikan dengan perbuatan yang membesarkan Allah melalui usaha mengamalkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang syumul (way of life) dan sumber penyelesaian terhadap sebarang masalah kehidupan (the solution of any problems in this life), tidak kira masalah peribadi, keluarga, sosial, ekonomi, politik, perundangan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Walaupun Perang Ahzab telah lebih 1400 tahun berlalu, suntikan semangatnya sentiasa diperbaharui setiap kali hari raya disambut. Apatah lagi, dalam situasi kaum muslimin hari ini berdepan dengan tentera Ahzab moden yang menyerang dengan senjata yang pelbagai, nampak dan tidak nampak, disedari ataupun tidak; laungan takbir seolah-olah menuntut kita menyedari bahawa kita semua adalah benteng pertahanan Islam walau apa jua situasi dan kondisi kita. Ustazkah kita, doktorkah kita, juruterakah kita, petanikah kita, suri rumahkah kita, pelajarkah kita, setiap kita punya peranan untuk mendaulatkan Islam hingga Islam kembali ke tempat tertinggi yang selayaknya.

Pun begitu, kita melihat ramai muslim yang tidak merasai tugas membentengi Islam sebagai tugas setiap individu muslim , walhal Rasulullah telah berpesan yang bermaksud : " Kamu adalah salah satu daripada benteng-benteng Islam. Maka janganlah kamu membiarkan musuh menerobos melalui sudut kamu."
Penyakit tidak merasai diri sebagai benteng Islam ini memberi impak yang sangat buruk kepada Islam. Bayangkan jika seorang tentera yang ditugaskan menjaga kubu pertahanan tiba-tiba meninggalkan tugas yang diarahkan dengan pergi berehat dan bersantai, apakah yang akan terjadi? Sudah tentulah kubu tersebut akan menjadi sasaran musuh dan menjadi pintu masuk 'free' kepada musuh yang sentiasa mengintai peluang.

Jika tidak mampu menginfakkan sesuatu untuk kerja-kerja mendaulatkan Islam, sekurang-kurangnya seseorang muslim boleh menjadi 'benteng Islam' dengan menjadi seorang muslim sejati yang berakhlak mulia, mengamalkan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Ramai muslim yang sanggup mengaku ' I'm not a good muslim' apabila ditanya mengapa dia tidak laksana suruhan dan tinggal larangan Tuhan seperti orang Islam yang lain. Sedangkan dengan menjadi ' a good muslim' bukan sahaja kebaikannya akan kembali kepada diri kita di dunia (dihormati kawan dan lawan dll) dan akhirat (pahala, ganjaran syurga dll), malah ia akan memberi imej yang baik kepada Islam dan merupakan 'dakwah bil hal' yang sangat berkesan kepada non muslim. Sebaliknya, muslim yang mengaku 'I'm not a good muslim' inilah yang akan menjadi 'point' untuk pihak musuh memperlekehkan Islam. Bagaimana tidak kerana kadangkala perangai individu muslim sendiri lebih buruk daripada non muslim. Di mana kebenaran Islam dapat dilihat jika tidak diamalkan oleh penganutnya? Di Bank Islam? Di Universiti Islam? Di Masjid? Fa'tabiru Ya Ulil Absor!

Saya percaya kita
sebenarnya mampu untuk membentengi Islam dengan peranan yang lebih baik selain daripada menjadi muslim sejati yang merupakan benteng asas, bahkan sebagai mujahid pun kita mampu. Pokok pangkalnya ialah kesedaran kita terhadap tugas dan peranan diri. Justeru, sempena roh Syawal yag masih segar, sama-samalah kita menginsafi bahawa tugas dan tanggungjawab yang cukup berat ini menuntut 1001 pengorbanan. Menjadi seorang muslim dan mukmin adalah nikmat terbesar yang tidak ternilai kerana nikmat inilah yang dapat menyelamatkan kita daripada api neraka Allah kelak. Sama-samalah kita perbaiki diri, perbaiki akidah, perbaiki ibadah, perbaiki akhlak, perbaiki tingkahlaku, perbaiki amal Islami. Semoga kita menjadi hamba Allah yang bersyukur dengan memenuhi hak-hak Allah sebagai pemberi anugerah teragung setiap masa dan setiap ketika!

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd!

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger