assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Renungan : IQ, EQ dan Soal Hati

Pemikir Barat, Goleman menyatakan bahawa 80% kejayaan seseorang adalah bergantung kepada EQ (kecerdasan emosi) berbanding dengan cuma lebih kurang 20% sahaja yang disebabkan oleh IQ (kecerdasan mental). Konsep EQ ( Emotional Intelligence) atau kecerdasan emosi ini adalah satu konsep kecerdasan yang lebih luas, ada kaitan dengan kesedaran terhadap emosi dan perasaan serta bagaimana perasaan boleh berinteraksi dengan kecerdasan mental atau IQ. Goleman menyatakan bahawa EQ mengandungi beberapa faktor iaitu: memahami emosi sendiri, kebolehan mengendalikan emosi , memotivasikan diri , menyedari emosi orang lain dan mengendalikan hubungan sillaturrahim dengan orang lain.

Justeru, kita boleh membuat kesimpulan bahawa peranan hati yang menjadi tunjang kepada perasaan dan emosi (EQ) itu mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan kejayaan manusia dalam melayari kehidupan, bukan bergantung semata-mata kepada kecerdasan akal yang menjadi buruan sesetengah orang. Hal ini bukanlah suatu yang asing di dalam Islam. Hakikat ini telah jelas sejak lebih 1400 tahun yang lalu apabila Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa : "Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada seketul daging. Sekiranya baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan sekiranya buruk daging itu,maka buruklah jasad keseluruhannya, dan daging itu adalah hati."


Hati yang dididik, dibenteng dengan iman, dihias dengan taqwa, akan mengarah pemiliknya ke jalan kebenaran. Manakala hati yang terbiar tanpa dididik, tidak diperkuat dengan antibodi iman, tidak mendapat vaksin taqwa akan cepat lemah berdepan dengan virus nafsu dan syaitan, lalu menyebabkan pemiliknya memilih jalan kebatilan. Akal anugerah Allah sepatutnya membantu hati untuk mengagungkan Allah, bukan diagungkan sehingga seolah-olah akallah yang menentukan segala-galanya hingga menafikan bahawa Allahlah yang menganugerahkan akal kepada manusia.Kemunculan ideologi sesat seperti pragmatisme, komunisme, marxisme dan isme-isme lain membuktikan betapa taksubnya manusia kepada akal dan kebendaan, lantaran kegagalan manusia mendidik hati untuk tunduk kepada kebenaran dan kuasa Allah.

Hari ini, kita melihat masyarakat terlalu mengambilberat soal mendidik akal, contohnya dengan memastikan anak-anak mendapat kecemerlangan akademik,masuk ke universiti, dan mendapat phD dalam bidang-bidang pilihan, tetapi mereka terlupa bahawa mendidik hati juga adalah tugas yang WAJIB dilaksanakan oleh para pendidik sama ada ibubapa, guru, pendakwah, malah setiap manusia terhadap dirinya sendiri. Lantaran itu, kita melihat hari ini orang yang cerdik dan punya ilmu sarat di dada, tetapi merekalah penentang kebenaran, kufur kepada Allah, mempergunakan ilmu untuk kepentingan diri, rosak akhlak dan tandus iman. Firman Allah SWT bermaksud :

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik (kalimah tauhid, amar ma'ruf nahi mungkar dan segala perbuatan yang baik) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit, pohon itu memberikan buah setiap musim seizin Tuhannya, Allah membuat perumpamaan itu untuk menusia supaya manusia selalu ingat.
Dan perumpamaan kalimah yang buruk (kalimah kufur,segala perbuatan yang tidak baik dan tidak benar) seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat tegak sedikitpun.Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh dalam kehidupan di dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki."
Tugas mendidik hati adalah tugas semua manusia terhadap dirinya dan orang lain. Sebab itulah Rasulullah menekankan soal nasihat menasihati dalam agama. Hati yang tidak diberi peringatan akan keras seperti kerasnya batu, malah lebih keras daripada itu. Lebih-lebih lagi bagi para da'ie yang membawa risalah Islam, soal penyucian hati (tazkiyatul anfus) mesti dititikberatkan. Para daie mesti mendidik dirinya sendiri sebelum mendidik orang lain. Jangan sampai 'doktor' yang mengubati pesakit sendiri yang berpenyakit. Memuhasabah diri , membedah siasat amalan harian sebelum tidur merupakan perkara paling simple yang wajib dilakukan. Taqwa tidak datang sendiri, tetapi ia mesti diusahakan, asasnya ialah mujahadah (melawan hawa nafsu), muhasabah (menghisab diri sendiri) mu'atabah (mencela kesalahan diri), mu'aqabah (menghukum diri sendiri), dan mu'ahadah (berjanji untuk melakukan perubahan).
Itu baru sedikit, banyak lagi yang nak dihuraikan tentang taqwa ni.. Jumpa lagi dalam entry akan datang ..nantikan sambungannya.

Jawapan Rasmi Majlis Fatwa Kerajaan Mesir kepada PMRAM Tentang Larangan Pemakaian Purdah

الحمد لله وحده والصلاة
والسلام على من لا نبي بعده سيدنا محمد رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

Kami telah meneliti tuntutan yang datang dari pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir bertarikh 29/5/2007 di bawah nombor rujakan 826 bagi tahun 2007 yang berbunyi:

"Kedutaan Besar Malaysia Kaherah di Mesir telah melarang para siswi Al-Azhar daripada berpakaian purdah di dalam bangunan Kedutaan dengan sebab keamanan dan sebagai langkah berjaga-jaga daripada ancaman keganasan (terrorist) sedangkan pihak Kedutaan boleh untuk hanya meminta para mahasiswi Malaysia yang memakai purdah untuk membuka purdah mereka sebelum mereka memasuki bangunan Kedutaan atas tujuan untuk mengenali identiti mereka. Adakah pihak Kedutaan dibenarkan dari sudut Syarak untuk memaksa para wanita yang memakai purdah agar para wanita tersebut berpegang dengan satu pandangan yang tertentu di dalam masalah yang berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama seperti masalah 'purdah'? Apakah tindakan yang mesti diambil oleh para wanita yang memakai purdah apabila berhadapan dengan ketetapan yang telah diputuskan oleh pihak Kedutaan?"

Jawapan

Sudah dikenali bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya berpegang dengan Mazhab Al-Imam Al-Syafie Radiallahu `Anhu. Di dalam mazhab ini, wanita yang merdeka yang telah baligh diwajibkan untuk menutup wajahnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.

Di dalam kitab Hasyiah Al-Jamal `Ala Syarh Al-Manhaj, ada satu petikan yang turut ada di dalam kitab Syarh Al-Mahalli `Ala Minhaj Al-Nawawi yang berbunyi:

Adapun aurat wanita ketika dia bersama dengan wanita muslim yang lain………..Adapun aurat wanita ketika dia bersama golongan lelaki yang bukan mahramnya, maka auratnya adalah seluruh badan.

Di dalam kitab Hawasyi Al-Syarwani `Ala Tuhfat Al-Muhtaj yang dikarang oleh Ibnu Hajar `Ala Minhaj Al-Nawawi, dinyatakan bahawa:

Diketahui daripada ulasan ini bahawa wanita yang merdeka mempunyai tiga aurat:

• Aurat semasa solat iaitu: sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini

• Aurat dari sudut apabila orang lelaki yang bukan mahram melihat kepada si wanita tersebut iaitu: Seluruh badannya sekalipun muka dan dua tapak tangan berdasarkan pandangan yang muktamad

• Aurat apabila si wanita berseorangan diri dan semasa bersama dengan mahram: iaitu seperti aurat seorang lelaki

Di dalam kitab Hasyiah Bijirmi `Ala Al-Khatib dinyatakan bahawa:

Adapun aurat wanita (yang baligh dan merdeka) di luar solat dari sudut pandangan lelaki yang bukan mahram terhadapnya, maka aurat wanita tersebut adalah seluruh badannya sekalipun wajah dan dua tapak tangan, sekalipun aman daripada fitnah.

Berdasarkan petikan di atas, maka berdasarkan situasi yang dinyatakan di dalam soalan, pihak yang berkuasa berhak untuk mengambil langkah-langkah untuk menjamin keselamatan, menyelidik, memerhati dan membuat pemeriksaan bagi memastikan keselamatan pihak berkuasa.

Antara langkah-langkah tersebut adalah meminta wanita yang berpurdah untuk menzahirkan wajahnya ketika wanita tersebut ingin masuk ke dalam bangunan pihak berkuasa tanpa pihak berkuasa memaksa wanita-wanita yang berpurdah untuk menanggalkan niqab mereka setelah mana mereka berada di dalam bangunan Kedutaan. Ini kerana bangunan kedutaan adalah tempat awam yang boleh dimasuki oleh setiap warganegara (Malaysia).

والله سبحانه وتعالى أعلم

Panel Fatwa
30/5/2007.

-------------------------------------------------

Komen saya : Harap-harapnya selepas ini tidak timbul lagi isu purdah di Mesir ini kerana fatwa telah dikeluarkan. Setiap individu ada hak yang dipelihara oleh Islam.Bertolak ansur dalam perkara khilaf adalah dituntut oleh syara'.

Ketegangan di Palestin

Dahlan Rancang Tawan Semula Gaza, Pembunuhan Beramai-ramai Di Gaza.

Seorang pemimpin politik Hamas di Gaza Isnin lalu mengatakan bahawa bekas orang kuat Gaza, Muhammed Dahlan sedang merancang untuk menghapuskan Hamas di Semenanjung Gaza dan melancarkan pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran.

“Kumpulan Dahlan dengan sokongan Amerika, Israel dan Presiden Mahmoud Abbas telah merancang kempen berdarah terhadap Hamas di Semenanjung Gaza yang melibatkan pembunuhan beratus-ratus pemimpin dan aktivis,” kata Yahya Mousa, Timbalan Ketua Hamas di Parlimen. Mousa berkata bahawa Dahlan sedang bersedia untuk menukarkan Gaza menjadi tanah perkuburan terbesar untuk Hamas dan penyokong-penyokongnya di samping memenuhi tuntutan perang Israel dan Bush ke atas Islam. “Para pembenteras telah merancang untuk melumpuhkan Hamas. Inilah yang memaksa Hamas untuk bertindak.”

Mousa menyifatkan “kerajaan darurat” yang diketuai oleh Salam Fayyadh adalah bertentangan dengan demokrasi Palestin. “Jelas bahawa Abbas telah bertindak dengan membelakangkan undang-undang, parlimen dan perlembagaan. Tindakannya membentuk kerajaan Fayyad adalah tidak sah dan tidak mempunyai perlembagaan.” Apabila ditanya mengenai pendapat beliau berkenaan jalan keluar kepada krisis yang sedia ada sekarang, Mousa berkata, satu-satunya jalan untuk mengatasi masalah sekarang adalah berpegang teguh kepada undang-undang Palestin dan berhenti daripada menjadi tali barut kepada Amerika dan Israel.

Ahli Parlimen Islam berkata “kejatuhan moral dan politik kerajaan baru di Ramallah telah membuktikan tindakan ganas dan vandalisma serta kekejaman di seluruh Tebing Barat”. “Abbas adalah orang terakhir yang boleh bersyarah kepada kami mengenai peraturan undang-undang. Seorang pemimpin yang membenarkan pasukan bertopeng dan bersenjata menyerang penduduk awam, memusnahkan harta mereka dan membakar perniagaan seta rumah-rumah bukanlah pemimpin yang sah. Sebaliknya beliau adalah ketua kepada geng yang jahat.”

Mousa berkata demikian selepas militan bersenjata Fatah membakar rumah Jurucakap Parlimen Palestin, Dr. Aziz Deweik di Ramallah. Deweik telah ditangkap oleh askar Israel tahun lepas dan terus ditahan kerana mengambil bahagian di dalam pilihan raya tahun lepas.

Note: sumber :
palestinkini

Komen saya : Kita mengharapkan Presiden Palestin Mahmood Abbas dan semua pihak di Palestin mengutamakan hak kemerdekaan dan kepentingan rakyat Palestin daripada mengikut telunjuk Amerika dan Israel yang sememangnya tidak pernah mahu umat Islam bersatu. Hormatilah perlembagaan Palestin dan persepakatan Mekah yang telah dipersetujui sebelum ini.

Belasungkawa

Inna lillah wa inna ilaihi raji'un. Takziah buat keluarga Mohamad bin Ishak, siswa tahun 3, Universiti Al-Azhar Mansurah atas kepulangan allahyarham ke rahmatullah dalam kejadian tragis di Mansurah baru-baru ini. Hanya Allah mengetahui hikmah yang tersirat di sebalik setiap perkara yang berlaku.Renungan buat kita yang masih hidup, jagalah iman, pertingkatkan amal , jauhilah maksiat kerana kita tidak tahu bila dan di mana kita akan dijemput oleh Allah kembali kepadaNya. Muda bukan alasan tidak beramal dan hidup berpoya-poya. Semoga Allah menempatkan allahyarham ke dalam golongan syuhada'dan solihin. Amin.

Mensyukuri Kehidupan

Sifat mensyukuri hidup tidak membuatkan kita takut kepada kematian, malah akan membuat kita memaksimumkan setiap detik kehidupan yang fana ini sebagai modal untuk meraih kebahagiaan hidup yang kekal abadi.Hayatilah pengorbanan seorang srikandi yang menjual dirinya untuk meraih syurga Allah swt dalam nasyid Sumayyah dendangan Hijjaz.

Meningkatkan Keyakinan Diri

Untuk mengatasi masalah ketiadaan keyakinan diri ini dan membina kembali keyakinan diri anda, beberapa langkah yang disarankan di bawah mungkin boleh membantu:

• Insafilah bahawa keyakinan diri itu pada asasnya ada pada setiap individu. Lawan segala perasaan dan sikap hidup yang negatif. Jangan biarkan lagi ia bertapak di dalam diri anda. Gantikannya dengan perasaan dan sikap yang positif. Berjanjilah pada diri anda bahawa mulai saat ini anda sudahpun mula memulihkan kembali keyakinan diri anda dan jangan teragak-agak. Anda kini tegak sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang telah dan yang sedang menempa nama di dalam sejarah kehidupan mereka

• Sedarilah bahawa anda mempunyai segala potensi dan kekuatan untuk berjaya di dalam hidup anda. Anda sekarang baru sahaja menggunakan 10 peratus daripada keseluruhan potensi yang ada pada diri anda. Dan kebanyakan orang tidak menyedari hakikat ini.

• Kenalilah diri, bakat dan minat anda. Asah dan kembangkan bakat dan minat anda supaya anda memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang lengkap di dalam bidang-bidang yang berkenaan.


• Jangan terlalu memikirkan diri sendiri, mengharapkan pujian atau penghargaan daripada orang lain. Daripada bersedih tidak mendapat perhatian daripada orang lain, lebih baik anda ikhlaskan hati, taburkan bakti untuk kebajikan dan kebahagiaan orang lain. Anda akan memperolehi keyakinan diri, seterusnya ia akan menjadi mangkin kejayaan hidup anda. Ingatlah, manusia mungkin mengecewakan anda tetapi Allah tidak akan sekali-kali mengecewakan anda!

• Cipta suasana ceria, menarik, kemas dan teratur di dalam persekitaran anda dan juga di tempat anda bekerja. Isi fikiran anda dengan harapan dan kebahagiaan. Dari suasana yang indah ini, lahirlah pula keyakinan diri yang sememangnya anda cari-cari selama ini.

• Tetapkan matlamat hidup anda yang utama. Apa yang harus anda lakukan ialah anda hendaklah semaikan matlamat itu di dalam fikiran anda. Kemudian berusahalah untuk mencapai matlamat itu.

• Jangan lakukan perkara buruk yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang murni. Tindakan itu bukan sahaja akan menjadikan anda mendapat kemurkaan Tuhan, bahkan semakin menjauhkan anda daripada impian anda. Berdoa dan mengadulah kepada Allah kerana Dia Maha Mendengar.Doa juga akan mendorong anda bertindak sewajarnya.

• Bertindaklah dengan penuh hati-hati, bijaksana dan berdiplomasi dalam segala urusan dengan orang lain. Jangan sekali-kali membuang masa memikirkan tentang orang yang anda benci kerana dengan berbuat demikian, anda akan lebih menderita daripada dirinya.

• Biarlah masa yang berlalu terus berlalu, jangan dikenang lagi, dan jangan risaukan apa yang akan terjadi pada masa hadapan kerana nasib kita telah ditentukan oleh Allah, tiada apa yang perlu dirisaukan. Oleh itu, jangan bersedih, sebaliknya lakukan yang terbaik pada masa sekarang.

• Apabila anda dikritik, terimalah kritikan yang jujur dan membina dengan berlapang dada dan berusahalah memperbaiki kelemahan. Namun, ada kalanya kritikan melulu dan tidak kena pada tempatnya ialah pujian yang tersembunyi. Ini kerana anda telah berjaya membuat orang lain iri hati.Oleh itu, carilah kritikan yang jujur, konstruktif dan berguna dan anggaplah kritikan itu sebagai cabaran.

Kesimpulannya, selaku mukmin, kita WAJIB mempunyai keyakinan diri, berjiwa besar, optimis dan tidak mudah berputus asa. Kita mesti yakin kita akan berjaya, walaupun hari ini kita gagal. Kita mesti yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam, walaupun saat ini umat Islam ditindas. Lihat bagaimana Rasulullah menjanjikan Suraqah bin Malik dengan gelang tangan Kisra dalam peristiwa hijrah, akhirnya terbukti selepas jatuhnya kerajaan Parsi pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Bayangkan sahabat, alangkah indahnya suatu hari nanti perundangan Islam didaulatkan dan dunia aman damai di bawah naungan Islam, walaupun mungkin bukan zaman kita, tapi anak cucu kita kelak! Kitalah batu-bata binaan kegemilangan Islam. Kita akan berjaya dan apa yang kita impikan akan tercapai, tetapi dengan syarat; mulakan dengan diri kita. Lalu, apalagi yang ditunggu?
FIKIR, RANCANG DAN BERTINDAK!--

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger