assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Rakyat tanggung risiko jika pilih pembangkang sepenggal ??

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa sebarang eksperimen untuk memilih parti pembangkang memerintah, walaupun hanya sepenggal, boleh mendatangkan risiko teruk kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Perdana Menteri menegaskan, proses menubuhkan kerajaan sebenarnya bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main sehingga memerlukan eksperimen politik.

Beliau berkata, jika eksperimen dalam tempoh lima tahun itu tidak menjadi kenyataan, risikonya pasti ditanggung oleh rakyat.

Dalam konteks ini, beliau mengingatkan rakyat hanya Barisan Nasional (BN) boleh memerintah negara dan telah pun menghasilkan kemajuan yang terbukti hari ini.

“Nak buat eksperimen lima tahun, kalau tak jadi, bukankah teruk? Risikonya tinggi dan saya harap (idea itu) tidak dapat sambutan,” katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Warga Pendidik Kepala Batas di Dewan Milenium di sini hari ini.


Ulasan saya :

Saya rasa ucapan PM ini tidak relevan dan tidak konsisten. Jika tidak, maka kita juga boleh katakan, tidak perlulah menyuruh rakyat Kelantan menukar kerajaan Tuan Guru Nik Aziz yang sudah memerintah selama 18 tahun dan terbukti mampu bertahan dan membangun bersama Islam walaupun ditekan.

Yang mana satu lebih penting, kerajaan Islam yang adil, amanah, menekankan pembangunan insan dan kebajikan rakyat atau negara maju dengan kekayaan berlegar di kalangan segolongan kecil rakyat sahaja, penipuan berleluasa, akhlak rosak seperti keadaan kerajaan umat terdahulu yang dimusnahkan Allah SWT? Yang mana satu sesuai dengan apa yang disebut dalam Al-Quran sebagai "Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur"? Bukankah Allah telah berfirman di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-A'raf ayat 96 yang bermaksud :

"Jikalau sekiranya penduduk negeri -negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya pastilah kami akan melimpahkan barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami,itu maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka."

Yakin-yakinkanlah diri terhadap janji Allah, ya ulil albab!

Selingan :

Sajak 100 fakta kelantan 17 tahun oleh Dinsman sempena 17 tahun pemerintahan PAS di bawah TG Nik Aziz

Ke Arah Malaysia sebagai Negara Berkebajikan

Setiap kerajaan mempunyai falsafah pentadbiran dan pemerintahannya masing-masing. Ia menjadi asas kepada semua keputusan dan tindakan yang diambil. Kerajaan Malayia sekarang ini menggunakan falsafah Negara Pembangunan (Development State) yang meletakkan pembangunan untuk kecemerlangan fizikal sebagai keutamaan.

PAS menawarkan sebuah pemerintahan menggunakan falsafah Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan untuk kebajikan rakyat awam. Bagi Pilihanraya Umum ke 12, PAS memperteguhkan tawarannya kepada rakyat untuk bersama-sama bersatu dan berjuang menegakkan sebuah Negara Berkebajikan.

Konsep dan definisi

Negara Berkebajikan didefinisikan sebagai:


"Sebuah Negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara". Negara Berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.


Ciri-ciri Negara Berkebajikan

Negara Berkebajikan:


1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam


2) Kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat


3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human centric)


4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat


5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan


6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara


7) Rakyat sejahtera, negara makmur


Negara Berkebajikan PAS selaku "ibu-bapa" kepada rakyat tidak akan menganggap program kebajikan dan subisidi rakyat, yang tidak mempunyai pulangan keuntungan (dalam bentuk wang ringgit) sebagai satu bebanan atau kerugian, bahkan ia merupakan satu tanggungajawab. Kerajaan Umno-BN pula menganggap program kebajikan dan subsidi sebagai satu bebanan yang seboleh mungkin mahu dipertangungkan ke atas bahu rakyat.


Sejarah

Dari segi sejarah, model Negara Berkebajikan sebenar yang menjadi rujukan dan panduan PAS telah dilaksanakan di sepanjang peradaban manusia. Ia termasuklah pemerintahan Mesir dari seerah Nabi Yusuf a.s, kerajaan Nabi Sulaiman a.s, dan pemerintahan Rasulullah saw, sehingga pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Kesemua ini menjadi asas kepada Negara Berkebajikan yang diperjuangkan PAS.


Walaupun negara-negara Eropah seperti Jerman, Belanda, Perancis, Sweden, dan United Kingdom mengenengahkan Konsep "Welfare State" selepas Perang Dunia Ke-2, namun ianya hanya bersesuaian dengan sebahagian daripada konsep Negara Berkebajikan PAS.


Konsep Negara Pembangunan yang dibawa oleh UMNO/BN terlalu mengutamakan pembangunan dan kemasyhuran fizikal. Ini dapat disaksikan dengan projek-projek mega seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal (bukan tempat ibadah tetapi untuk tarikan pelancong semata-mata) , Pertandingan Formula 1, Pesta Philharmonic Malaysia, 4 jet peribadi pemimpin tertinggi, dan Kompleks Bunga Raya di KLIA. Ini adalah antara banyak projek mega kerajaan Umno-BN yang jelas tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kebanyakan.


Bagi Negara Berkebajikan PAS, bukannya imej negara tidak penting, tetapi kebajikan semua rakyat lebih diutamakan.


Tawaran PAS menjadikan Malaysia sebuah Negara Berkebajikan

Sebagai memenuhi agenda pemerintahan PAS untuk Malaysia Negara Berkebajikan , PAS menawarkan kepada semua lapisan rakyat Malaysia pelbagai program berkebajikan berkonsepkan perkongsian sumber dengan kaedah perkhidmatan rakyat.


Antaranya ialah:


1. Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi (penghapusan semua yuran pengajian)


2. Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi setiap rakyat yang tidak mempunya perlindungan kesihatan majikan


3. Mengembalikan semula pemberian biasiswa seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan


4. Menurunkan harga petrol dan gas.


5. Merapatkan jurang agihan kekayaan antara golongan kaya-miskin


6. Melaksanakan akta gaji minima


7. Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan 7 hari


Dipetik dari : Harakahdaily.net

Tuntutan Pilihanraya Pertubuhan Islam



(Pilihanraya ke 12 akan dijalankan pada 8 hb Mac 2008 nanti. Lebih seratus pertubuhan-pertubuhan Islam bergabung di mana ALKIS (Alumni Kolej Islam, Klang) adalah salah satu daripadanya telah menyenaraikan tuntutan pilihan raya nanti. Diletakkan di sini untuk rujukan semua.)


PILIHANRAYA UMUM KE -12

TUNTUTAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

MENYEDARI bahawa nilai-nilai Islam yang luhur merupakan cirri terpenting dalam pembentukan masyarakat Islam yang bermaruah dan peranan pemimpin amat penting dalam membentuk dan mencorakkan masyarakat ini.

MENERIMA hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi berparlimen yang memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan melalui proses pilihanraya.

MENGINSAFI bahawa hak untuk memilih kerajaan melalui pilihanraya perlulah dilaksanakan dengan penuh rasa sedar dan tanggungjawab.

MEYAKINI bahawa rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih sebuah kerajaan yang baik dan berupaya untuk memenuhi aspirasi mereka.

Pertubuhan-pertubuhan Islam arus perdana, tokoh-tokoh masyarakat dan individu-individu yang prihatin mempertegaskan tuntutan-tuntutan berikut:

1.Mendaulatkan Islam Melalui Undang-Undang dan Pelaksanaannya

Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem politik dan undang-undang di Malaysia. Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan dan memperakui status institusi-institusi Islam serta memberikuasa kepada mahkamah-mahkamah syariah untuk melaksanakan undang-undang Islam. Kami menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih:-

1.1 Mempertegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majority Islam yang mengiktiraf peranan penting agama Islam dalam sistem politik , ekonomi dan undang-undang negara. Segala tuntutan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara secular mesti ditolak. Ini termasuk tuntutan untuk megujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang bertujuan mempromosi hak kebebasan beragama berlandaskanfaham secular-liberal dan saranan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam.

1.2 Mempertahan dan mendaulatkan kesucian Islam serta menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, cetak atau melalui media elektronik dan media siber, perlu ditangani secara tegas dan serius mengikut peruntukan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

1.3 Mempertahan dan memperkasa kedudukan kedudukan serta bidangkuasa Mahkamah Syariah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 121(1A) dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Sebarang pertikaian undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam hanya dibicarakan di Mahkamah Syariah. Kami juga menuntut:-

(a) Memperluaskan bidangkuasa jenayah dan mal Mahkamah Syariah di Malaysia melalui pindaan kepada Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.

(b) Menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil dari segi jawatan, penggajian dan kedudukan.

(c) Menyeragamkan undang-undang Islam seluruh negara.

(d) Mengujudkan Akta Profession Guaman Syarie bagi mengawalselia Peguam-Peguam Syarie seluruh negara.

1.4 Segera menggubal/mewartakan/melaksana undang-undang menghalang kegiatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Kami menyatakan kekecewaan atas kegagalan kerajan negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan yang sehingga kini masih gagal menggubal/mewarta undang-undang tersebut.

1.5 Meningkatkan tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi-agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Kami menuntut supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri/ Majlis Agama Islam Negeri menggunakan peruntukan yang diberikan secara lebih berkesan untuk tujuan ini.

1.6 Memandangkan pengiktirafan “halal” menjadi satu tanda aras kepada kualiti dan kebersihan makanan untuk umat Islam dan bukan Islam, serta membuka pasaran yang lebih luas, kami menuntut agar Akta Makanan dan Pemprosesan Halal atau seumpamanya digubal supaya penguatkuasaan perihal makanan halal diketatkan dan mereka yang menyalahgunakan tanda halal dikenakan hukuman berat, termasuk hukuman penamatan perniagaan dan pemiliknya dipenjara.

1.7 Mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lessen perniagaan mana-mana majikan yang menyukarkan atau menghalang pekerja-pekerja Islam daripada mengamalkan tuntutan Islam seperti pemakaian tudung, menutup aurat, solat Jumaat dan lain-lain syiar Islam. Kami menyeru supaya kempen dilakukanbagi memboikot syarikat-syarikat yang mengamalkan dasar diskriminasi ini.

2. Pendidikan dan Da’wah

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi seorang warganegara yang baik. Proses pembentukan peribadi dan jatidiri Muslim yang baik perlu dilaksanakan melalui system pendidikan yang mementingkan pendidikan Islam dan penerapan nilai-nilai Islam. Dengan itu umat Islam di negara ini menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih:

2.1 Memperkasa pendidikan Islam dalam system pendidikan nasional. Ini termasuk menambah sekali ganda waktu pengajaran Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan.


2.2 Menjadikan Malaysia pusat antarabangsa bagi kecemerlangan pendidikan Islam dan perkembangan keilmuan Islam. Bagi tujuan ini, kerajaan yang bakal dilantik digesa mewujudkan geran khas penyelidikan ilmu-ilmu Islam serta menubuhkan Universiti Pendidikan Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Islam Antarabangsa dan Universiti Pengurusan Islam Antarabangsa.

2.3 Mengembalikan serta menambah bantuan perkapita kepada Sekola-sekolah Agama Rakyat (SAR) dan memberikan bantuan buku teks secara percuma kepada pelajar SAR.

2.4 Menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang tidak memberi peluang kepada murid-murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah-sekolah agama swasta untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia dan MARA. Jabatan-jabatan pelajaran negeri juga digesa menghentikan diskriminasi terhadap murid-murid sekolah agama swasta dengan membenarkan mereka yang memenangi mana-mana pertandingan ko-kurikulum di peringkat negeri untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Ini memandangkan kecemerlangan dalam aktiviti ko-kurikulum turut diambilkira dalam kemasukan pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi tempatan.

2.5 Kemudahan biasiswa yang dinikmati oleh pelajar-pelajar Melayu perlu diberikan kepada pelajar-pelajar Islam yang bukan berketurunan Melayu. Di samping itu, kerajaan yang bakal dipilih nanti digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kalangan pelajar-pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan.

2.6 Menghentikan sikap apologetic Kementerian Pelajaran dalam menangani desakan kelompok secular dan bukan Islam yang menggesa supaya amalan-amalan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan dihentikan atas alasan untuk mengelak berlakunya pemisahan kaum dan agama. Amalan seperti bacaan doa dan sambutan Hari Kebesaran Islam perlu diteruskan kerana amalan-amalan murni ini sama sekali tidak menjejaskan keharmonian hubungan kaum dan agama, malah mendidik anak-anak menjadi insane yang berakhlak mulia.

2.7 Selaras dengan tanggungjawab menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar, kerajaan yang bakal dipilih dituntut untuk memperkasakan usaha-usaha da’wah Islamiah, terutamanya menerusi kerjasama erat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini dengan memberikan peruntukan khas dan ruang pemerkasaan untuk membantu aktiviti yang dijalankan.

2.8 Memastikan Kementerian Penerangan sentiasa memahami aspirasi dan sensitivity umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program yang mampu membina masyarakat berakhlak mulia.

2.9 Memperbanyakkan program-program berunsur pendidikan Islam dan moral di stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta. Program-program Islam hendaklah disiarkan di waktu puncak bukan waktu tengah malam atau awal pagi. Azan hendaklah disiarkan pada setiap waktu solat.

2.10 Menghentikan program-program hiburan yang mempromosi budaya hedonism Barat. Ini termasuklah program-program hiburan reality yang semakin mendapat tempat di stesen-stesen televsyen tempatan. Stesen televisyen khas untuk umat Islam perlu diujudkan.

2.11 Stesen televisyen swasta perlu mendukung aspirasi Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam pemilihan program mereka. Kami menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lessen penyiaran ke atas stesen televisyen yang melanggar etika ini.

3. Sistem Politik dan Tadbirurus yang Baik

Sistem politik dan tadbirurus yang baik merupakan syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kebakikan rakyat akan terbela dengan kewujudan system politik yang adil, tadbirurus yang baik dan sistem penyampaian yang cekap. Oleh yang demikian, usaha-usaha mewujudkan sistem politik dan tadbiurus yang baik perlu dipergiatkan melalui tindakan-tindakan berikut:-

3.1 Membanteras amalan rasuah dan salahguna kuasa di kalangan penjawat awam. Pihak swasta yang menawarkan rasuah sebagai suatu budaya perlu dihukum secara tegas dengan mengheret pihak syarikat untuk turut bertanggungjawab.

3.2 Melantik penjawat –penjawat awam dan pemimpin- pemimpin kanan kerajaan dari kalangan mereka yang terbukti bersih daripada amalan rasuah ,salah guna kuasa dan salah laku moral .3.3 Meningkatan penghayatan nilai – nilai Islam di kalangan kakitangan awam dengan memperbanyakkan program –program penghayatan Islam di Jabatan – jabatan kerajaan.

4. Memperkasa Masyarakat Sivil dan Menjamin Amalan Demokrasi

Negara demokrasi yang stabil wujd apabila dibentuk hasil daripada mandat rakyat dan institusi masyarakat sivil mempunyai ruang yang luas untuk berperanan aktif dalam memperkasakan masyarakat dan membangunkan negara. Keabsahan politik pemerintah bergantung kepada keterbukaan ruang demokrasi , kesediaan pemerintah untuk bersikap responsif terhadap tuntutan rakyat dan kemampuan pemerintah menjamin keselamatan dan keamanan dalam negara. Oleh yang demikian, upaya pemerkasaan masyarakat sivil perlu dilaksanakan dengan tindakan-tindakan berikut:-

4.1 Mewujudkan sistem pilihanraya yang benar-benar bersih, bebas dan adil. Pilihanraya mestilah berwibawa, bebas dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

4.2 Memilih calon-calon pilihanraya dari kalangan mereka yang berintegriti, berkemampuan dan bepekerti mulia.

4.3 Memastikan pemerintah melaksanakan kuasa berdasarkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

4.4 Membuka ruang yang luas kepada institusi-institusi masyarakat sivil untuk berperanan aktif dalam proses pemerkasaan masyarakat dan pembangunan negara.

5. Hubungan Kaum dan Agama

Sebagai sebuah negara majority Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama merupakan ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam. Kami mempertegaskan untuk menolak segala bentuk ekstremisme agama dan kaum yang sempit. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pemimpin politik dan rakyat negara ini:-

5.1 Mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan antara kaum dan agama.

5.2 Menolak parti-parti politik dan pemimpin politik yang tidak sensitive terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama. Ini termasuklah parti-parti politik dan pemimpin politik yang mempersendakan kedudukan istimewa Islam di Malaysia dan mempromosi hak individu dan kebebasan beragama tanpa batas yang bertentangan dengan nilai moral dan agama yang dipegang oleh majority masyarakat Islam di negara ini.

5.3 Menguatkuasa dengan tegas peraturan membina rumah ibadat tanpa mengira agama. Jika pihak berkuasa tegas melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat lain.

5.4 Memastikan pembinaan rumah-rumah ibadat mengambilkira sensitivity masyarakat setempat di samping mematuhi peruntukan undang-undang. Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil-wakil pertubuhan Islam dan pihak berkuasa tempatan perlu dibentuk untuk memperhalusi permohonan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti Islam.

6. Akidah dan Moral

Memelihara kesucian akidah dan ketinggian moral merupakan tanggungjawab paling utama setiap individu Muslim dan tanggungjawab kolektif masyarakat Islam. Pertubuhan-pertubuhan Islam menuntut kerajaan yang bakal dipilih:-

6.1 Menolak faham pluralism agama yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama dari segi kebenarannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat berbilang agama.

6.2 Menolak usaha-usaha pihak tertentu yang cuba mengelirukan umat Islam dengan pelbagai cara. Ini termasuklah dengan menggunakan perkataan-perkataan khusus seperti “Allah”, “Ka’abah”, “Baitullah” dan “Solat”, yang telah digunapakai secara meluas oleh masyarakat Islam, untu merujuk kepada konsep-konsep tertentu dalam agama bukan Islam.

6.3 Menambah bilangan pegawai penguatkuasa agama dan meningkatkan tahap profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral. Kerajaan yang bakal dipilh hendaklah melaksanakan undang-undang anti maksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Presiden ALKIS

Mesti Baca :Tuntutan Berbahaya Daripada Golongan Sekularis

Kenyataan Bersama: Kerajaan Tidak Berhak Mengawasi Akhlak

Berdasarkan beberapa perkara yang berlaku semenjak kebelakangan ini, nyata sekali kita, sebagai rakyat Malaysia, tidak lagi boleh berdiam diri dan terus membiarkan penglibatan kerajaan yang semakin meningkat dalam mengawasi akhlak rakyatnya.

Penangkapan seorang mak nyah oleh pihak berkuasa agama di Taiping semasa dia berada di perkarangan rumah seorang kawannya (The Star, 2 Mac 2005, ms 12); kempen mengintip kelakuan anak-anak muda oleh Gerakan Belia 4-B Melaka dengan alasan mengawasi akhlak mereka (Malaysiakini.com, 22 Febuari 2005); dan penahanan dan tindakan yang memalukan ke atas lebih daripada 100 orang muda mudi beragama Islam oleh JAWI berikutan satu serbuan ke atas sebuah kelab malam di Kuala Lumpur - semua ini merupakan peristiwa-peristiwa malang yang membuktikan bagaimana tindakan mengawasi akhlak boleh mencabuli kehormatan seseorang manusia serta hak asasi mereka sebagai rakyat.

Kami mempersoalkan peranan kerajaan, serta penggunaan undang-undang agama dan undang-undang munisipal oleh pihak kerajaan, untuk mendefinasi dan mengawal akhlak rakyatnya. Memaksa dan menakut-nakutkan rakyat supaya mematuhi undang-undang tersebut tidak akan membawa kepada masyarakat yang lebih berakhlak; sebaliknya tindakan tersebut akan menghasilkan masyarakat yang berada dalam ketakutan serta rakyat yang bersifat submisif dan hipokrit.

Kami bimbang apabila agama menjadi sebahagian besar daripada agenda politik negara, ianya akan menambah kecenderungan kerajaan untuk mengawasi kehidupan peribadi rakyatnya. Berdasarkan kepelbagaian bangsa dan agama masyarakat Malaysia, apa saja tindakan untuk mengawal nurani, kepercayaan dan kehidupan peribadi seseorang bukan sahaja membawa implikasi yang serius terhadap rakyat dan masyarakat, tetapi juga terhadap hubungan di antara pelbagai kaum.

Penggunaan agensi tertentu, contohnya pihak polis, pihak berkuasa agama dan pegawai-pegawai Rela, untuk mengawal akhlak rakyat bukanlah suatu perkara baru. Tetapi menggunakan belia-belia Islam untuk mengintip umat Islam yang lain adalah sesuatu yang belum pernah terjadi. Ini bukan sahaja melanggar perintah-perintah Al-Qur'an tetapi turut melanggar kepercayaan umum di dalam masyarakat. Tambahan lagi, ianya mengundang vigilantism, atau tindakan menghukum seseorang di luar batasan undang-undang. Lapuran yang menyatakan bahawa terdapatnya rancangan untuk menggunakan belia bukan Islam untuk mengintip pasangan bukan Islam menunjukkan betapa cepatnya dasar-dasar autoritarian ini dapat mempengaruhi rakyat Malaysia.

Kami menentang penggunaan aparatus kerajaan, serta individu dan kumpulan yang dilantik untuk membantu dalam mengawal akhlak. Cara seseorang berpakaian serta bagaimana, di mana dan dengan siapa mereka memilih untuk bergaul adalah perkara peribadi dan pilihan persendirian.

(Kenyataan penuh di sini : http://www.sistersinislam.org.my/BM/mamp/tandatangan.htm )

Sekitar PRU 12

Pesan Tuan Guru Nik Aziz : Mengundi Parti Yang Menegakkan Islam Satu Kewajipan

18 Tahun Diperintah PAS : Apa Kata Rakyat Kelantan

Andai Ku Tahu..

Perginya Sebutir Permata Ummah..


Maksud firman Allah SWT :
"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhai-Nya. Dan masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku"
( Al-Fajr : 27-30)

Hari ini genap sepuluh hari Allahyarham Dato' Ishak Baharom pulang ke rahmatullah. 30 Januari lalu, saya mendapat SMS daripada sahabat di tanah air mengkhabarkan tentang berita pemergian beliau. Waktu itu, pelbagai rasa menyesak di dada.

Seingat saya, kali pertama saya melihat Allahyarham secara 'live' ialah semasa saya di Tingkatan 6, ketika menghadiri Ceramah Perdana anjuran Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) , Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Ketika itu , beliau masih lagi menjadi Mufti Selangor Darul Ehsan. Butir-butir bicara yang keluar daripada beliau begitu tulus dan menyentuh rasa. Cara beliau menjawab soalan yang diajukan begitu berhikmah dan menampakkan mendalamnya ilmu beliau,terutama semasa
menjawab soalan yang agak kontroversi. Kagum sungguh melihat keperibadian beliau.

Selepas itu (1997), saya dikejutkan dengan berita pemecatan beliau daripada jawatan mufti Selangor gara-gara ketegasan beliau menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik. Selepas pemecatan beliau, ceramah beliau disekat di media massa perdana. Masa itu terfikir, hendak kiamat sangatkah dunia ini, pembuat maksiat dibela, pencegah maksiat pula yang dipersalahkan! Setelah itu, beliau mewakafkan diri bersama perjuangan PAS di Malaysia sehinggalah hari-hari terakhir usia beliau sebelum beliau mengadap Tuhan.

Semoga Allah mengurniakan rahmat, kasih sayang dan keampunanNya kepada roh Allahyarham Dato' Ishak Baharom dan menempatkan Allahyarham di syurga Allah SWT bersama golongan syuhada', anbiya' dan siddiqin . Pergilah sudah sebutir permata ummah. Semoga kita yang ditinggalkan akan meneruskan tugas amar ma'ruf nahi mungkar yang diwariskan dan tega menegakkan kebenaran walaupun apajua yang rintangan yang mendatang. Qulil haq walau kana murra..


Al-Fatihah!

Jangan Bersedih

Puas hati dapat membeli buku yang saya idamkan untuk memilikinya sendiri sejak beberapa tahun lalu. Sebenarnya saya sudah membacanya sebelum ini, tetapi terasa rugi tidak memilikinya sendiri. Tambah teruja kerana saya pernah dikhabarkan bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga membaca buku ini ketika beliau terlantar di hospital akibat serangan jantung beberapa ketika dahulu. Buku motivasi Islam yang sangat menarik untuk dibaca sebagai bahan motivasi, pemujuk hati dalam mengharungi gelombang kehidupan yang mencabar.

Seringkali manusia kecundang dalam hidup kerana tenggelam dalam perasaan 'frust'dan sedih sedangkan dunia masih belum berakhir dengan ujian yang bertalu-talu. Hakikatnya, ujian merupakan sunnatullah. Tiada manusia yang tidak diuji. Muslim, non muslim, kaya, miskin, semuanya akan mengalami ujian yang tersendiri dalam kehidupan. Ketidakfahaman tentang hakikat ujian menjadikan manusia mudah hilang arah apabila diuji. Gejala 'stress' atau tekanan jiwa begitu merebak dalam masyarakat dunia moden hari ini. Justeru, buku 'best seller' yang ditulis oleh Dr. 'Aid Al-Qarni ini seumpama ubat penawar yang datang tepat pada masanya. Dikuatkan dengan ayat Al-Quran, hadith, kata-kata cendekiawan Islam dan Barat serta kisah-kisah yang bolah dijadikan pedoman dalam menjalani kehidupan.

Buku yang dicetak berjuta-juta naskhah di Dunia Arab ini juga diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Di Malaysia pun sudah ada terjemahannya dalam bahasa Malaysia.Hmm..jadi promosi bukulah pula. Baca, jangan tak baca :-).

La Tahzan, Don't Be Sad, Jangan Bersedih.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger