assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Sedikit Coretan : Ada Apa Pada Nama..

Banyak orang bertanya, "Kenapa nama awak ada Raden?" "Raden ni maksudnya apa ye?" Seolah-olah satu soalan wajib ditanyakan setiap kali perkenalan dihulurkan. Kadang-kadang letih juga nak menjawabnya..Baiklah, bagi sesiapa yang inginkan jawapannya, saya akan khabarkan di sini saja.

Mengikut laman web wikipedia, Raden adalah gelar kebangsawanan di kebudayaan Jawa, Madura dan Sunda. Gelar ini sejak abad ke-14 juga dipakai di Kalimantan dan masih dipakai pada sebagian keraton misalnya Kesultanan Sambas. (Ulasan saya : seperti juga nama Wan, Nik, Tengku dan lain-lain yang pada asalnya gelaran bagi keturunan bangsawan).

Arwah datuk saya datang dari tanah Jawa, berhijrah ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan membuka kampung tempat tinggal saya sekarang. Saya tidak pasti mengapa beliau berhijrah tetapi setahu saya ramai orang dari rantau Melayu sama ada Acheh, Sumatera, Patani dan sebagainya yang berhijrah ke Tanah Melayu. Barangkali mencari kehidupan yang lebih selesa ataupun berdakwah (saya kurang pasti).

Arwah ayah saya dilahirkan di Tanah Melayu, begitu juga adik-beradiknya yang lain kecuali abang sulungnya lahir di Jawa. Mereka membuka sekolah pondok atau persantren di kampung saya
yang menjadi tumpuan penuntut ilmu dari merata tempat, dekat dan jauh di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada keluarga arwah ayah saya. Masa berlalu, lama-kelamaan pondok tersebut semakin surut penuntutnya dan akhirnya hari ini hanya berfungsi sebagai sekolah rendah agama rakyat yang mengajar KAFA pada waktu petang. Saya diberitahu bahawa saya masih lagi mempunyai saudara mara di Pulau Jawa, tetapi saya tidak pernah mengenali mereka. Dengarnya ada pakcik dan sepupu saya yang pernah pergi ke Indonesia mencari saudara mara yang masih hidup dan menziarahi mereka.

Timbul lagi satu soalan. Mengapa nama ayah saya tiada Raden? Jawapannya : kerana tidak diletakkan di dalam surat beranak dan kad pengenalan walaupun sepatutnya ada. Lagi? Adakah semua adik-beradik ada nama Raden? Tidak. Sebabnya abang sulung saya tidak diletakkan Raden, akhirnya kesemua nama adik-beradik lelaki tidak diletakkan Raden di dalam surat beranak walaupun sebenarnya ada. Hanya saya dan kakak sahaja ada Raden. Tetapi bagi mengelakkan terputusnya keturunan, abang-abang saya telah meletakkan Raden di pangkal nama semua anak-anak mereka, lelaki dan perempuan.

Cuma barangkali kombinasi nama saya yang agak pelik dari yang lain. Setakat ini saya belum pernah berjumpa dengan orang yang mempunyai nama yang sama dengan saya. Kalau ada pun hampir sama tetapi tidak serupa. Nabahah ( نباهه ) maksudnya "kecerdasan atau kemasyhuran". Kalau dieja dengan bahasa Arab, dengan huruf Ha' bulat' (ه ), bukan Ha 'pedas' (ح ). Kesilapan membaca akan menukar erti kepada "salakan anjing".

Teringat semasa saya di Tingkatan Empat ada salah seorang sahabat sekelas saya bertanya kepada Ustazah semasa belajar Bahasa Arab, bagaimana jika orang yang bernama Nabahah, sebab ustazah membuat contoh ayat ada perkataan Nabiha yang bermaksud menyalak. Haru, haru..tersentak juga saya. Ustazah pun terangkan, kalau nama orang tu Nabahah maksudnya Zaka' (kecerdikan), bukan menyalak. Bila diingat-ingat balik, kebanyakan ustaz dan ustazah yang mengajar saya Bahasa Arab akan memanggil saya Nabahah
berbanding dengan panggilan Raden, kerana maknanya yang elok.

Terima kasih tidak terhingga buat arwah bapa saya yang memberikan anak-anaknya nama yang baik walaupun kadang-kadang saya menjadi takut kerana nama itu juga menyebabkan saya jadi terkenal! Apapun, pesanan saya, sama-samalah kita berikan nama yang baik-baik kepada anak-anak kita, bukan melihat kepada sedapnya sebutan, tetapi yang lebih penting ialah makna yang terkandung kerana nama itu adalah doa yang mendorong kita membentuk peribadi berdasarkan nama tadi, dan akhirnya nanti kita akan dipanggil dengan nama tersebut pada hari Qiamat. Mudah-mudahan anak-anak kita tidak menempelak kita seperti yang berlaku kepada seorang lelaki yang datang berjumpa Saidina Umar mengadu tentang anaknya menderhaka padanya. Kata si anak menjawab: Ayahku lebih dahulu berbuat buruk padaku, dipilih ibuku dari keturunan yang hamba Majusi, diberikanku dengan nama yang bererti lipas dan tidak mengajar aku dengan didikan Al-Quran.

5 ulasan:

Qurratu'Aini Disember 09, 2007 3:33 PTG  

lek rina...

lek rina ada e-mail tak?

lek rina berapa tahun lagi kat sana? bila nak balik? sekarang lek rina dah hafaz sampai juzu' berapa?

Otu dah sampai juz 11 ^____^

nak dengar cerita daripada lek rina lagi mcm entry yang satu ni..

bls ye~

Qurratu'Aini Disember 09, 2007 3:34 PTG  

ana musytaq ilaiki jiddan ya 'ammati!~

http://ahmedabduh01.wordpress.com/ Disember 10, 2007 10:23 PG  

salamuLLAH alaiki,
pada ana nama mainkan peranan penting dari sudut perwatakan seseorang individu it dan penampilannya.
jika dia seorang lelaki yang bernama "abdrahman" -sekadar contoh- perlulah dia menonjolkan sifat-sifat kemurahannya (waktu tgh kaya lagi2 la kene belanja)....
tapi pada saya nama "raden" tu unik, bukan pada orang melayu je, arab tentu terbelit lidah nak sebut....

syakirah al-hafizah Disember 10, 2007 4:19 PTG  

Qurratu Aini @ Otu,
emel Lek Rina dah bagi kat blog Otu.

doakan Lek nak balik tahun depan, insyaAllah. sekarang sibuk sangat la.. Mabruk, Tahniah dah hafaz juzuk 11, moga-moga jadi hafizah ye. Lek tengah ulang hafazan lama. mungkin akan mula hafaz balik lepas raya haji.

Sekarang Lek tasmi' anak murid hafaz Quran, dia sebaya Otu, baru juz 2.

Ana Musytaqah Ilaiki aidhon, Ya Ibnata Akhi..

syakirah al-hafizah Disember 10, 2007 4:25 PTG  

Btul, nama sepatutnya menggambarkan peribadi.Kita kena berusaha untuk menjadi seperti maksud nama kita. Tapi sesetengah orang tak pernah ambil kira semua tu. Kadang-kadang nama elok, perangai pulak tah apa2.Na'uzubillahi min zalik. Orang Arab sebut Raden, "Rodin", :-). Biasa taaruf dengan Arab sebut Nabahah je, dia pun angguk2 dan senyum sebab tahu makna.

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut