assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sempena 1 Syawal yang menjelang tiba,
saya mengucapkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
Kullu 'Am wa Antum bi Khair

kepada

Keluarga di tanah air,
Sahabat-sahabat,
Kenalan,
Pembaca budiman,
dan
Semua muslimin dan muslimat.

Semoga Aidilfitri yang disambut menambah lagi rasa kehambaan dan ketaqwaan.

Dunia Hanyalah Alat, Bukan Matlamat !


Allah berfirman yang bermaksud ;

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau . Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.Maka tidakkah kamu memahaminya?" - Al-An'am : 32

Allah memberikan nikmat tidak terhitung banyaknya kepada manusia. Keluasan harta, banyaknya pengikut, ramainya anak, suami / isteri yang saling mencintai, kekuatan tubuh badan, kecerdikan akal fikiran dan sebagainya, sebenarnya hanyalah alat untuk digunakan bagi mendapat keredhaanNya, bukan sebagai matlamat kehidupan. Namun, sayang seribu kali sayang apabila alat bertukar menjadi matlamat, lalu jatuhlah martabat seseorang manusia itu di sisi Tuhannya, malah manusia yang sepatutnya membawa kemakmuran akan bertukar menjadi makhluk perosak di atas muka bumi ini.


"Dan apabila dikatakan kepada mereka : "Janganlah membuat kerosakan di muka bumi", mereka menjawab :"Sesungguhnya kami orang-orang yang membuat pembaikan." Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang yang membuat kerosakan , sedangkan mereka tidak sedar."
- Al-Baqarah : 11-12

Krisis politik, sosial dan ekonomi di seluruh dunia begitu dahsyat. Belum lagi bala bencana yang menimpa beberapa tempat di dunia. Apakah isyarat ini tidak cukup kuat untuk manusia kembali menyuluh diri, mencari punca kefasadan yang berlaku? Alternatif Islam telah wujud sekian lama, bukan sebagai alternatif sebenarnya, malah sebagai penyelesaian mutlak yang wajib dirujuk.

"Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah?"- Al-Baqarah : 138

Penguasa berlumba-lumba merebut kekayaan dan meluaskan pengaruh di saat rakyat marhain semakin terdesak dan tertindas hidup mereka. Nafsu meraja menjadikan menusia makin sengsara. Kefakiran pula kadang kala menyebabkan manusia menjadi kufur apabila ada tangan-tangan yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh menghulur bantuan atas nama agama (Kristian terutamanya).

Apapun , yang pasti, selagi mana manusia meletakkan kepentingan diri di hadapan mengatasi perkara lain , selagi itulah penyelesaian yang dicita hanyalah ilusi semata-mata!

Kembalilah kepada Allah, wahai manusia ! Jangan menjadi pengikut kepada Firaun yang mengaku Tuhan tetapi saat nyawa sampai ke halkum baru ingin bertaubat, kerana pada waktu itu segala-galanya telah terlambat dan tiada berguna.

"Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas mereka, hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia :" Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai Bani Israil dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri kepada Allah.

Apakah sekarang baru kamu percaya, padahal sesungguhnya kamu telah durhaka sejak dahulu , dan kamu termasuk orang yang berbuat kerosakan.

Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada tanda-tanda kekuasaan Kami"
-Yunus : 90- 92

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"- Ar-Rahman : 16

(p/s : Artikel yang menerawang di celah-celah gelodak rasa melihat kefasadan dunia. Ops..sebelum terlupa, sama-sama kita hidupkan munajat , mengintai Lailatul Qadr di hujung Ramadhan yang masih berbaki.Moga Allah mengabulkan segala doa-doa kita.)

Kita dan Al-Quran : Muhasabah di Mihrab Ramadhan


Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"Bulan Ramadhan , bulan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang hak dan batil"

Ramadhan merupakan semulia-mulia bulan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. dengan pensyariatan puasa dan pelbagai kelebihan,termasuklah kelebihan Lailatul Qadr yang boleh diumpama bagai 'annual grand sale' yang mesti direbut. Pada malam ini juga, Al-Quran mula diturunkan kepada baginda s.a.w. di Gua Hira'pada tahun pertama kenabian. Bermula detik itulah, Al-Quran dibaca dan disampaikan kepada umat manusia sebagai dustur Ilahi yang lengkap dan panduan hidup umat akhir zaman.

Pun begitu,Al-Quran yang kita gandakan pembacaan di bulan yang mulia ini bukan setakat perlu dibaca, malah yang lebih penting ialah dihayati dan diamalkan isi kandungan dan ajarannya dalam kehidupan.Penurunan Al-Quran di bulan mulia ini seharusnya menyentak daya fikir dan hati kita untuk memuhasabah sejauh mana pengamalan kita terhadap isi kandungan Al-Quran.Ayat-ayat yang dibaca saban hari, berapa banyakkah diamalkan? Bila dibaca ayat-ayat tentang nikmat syurga , mengapa hati kita tidak meronta-ronta untuk mendapatkannya? Bila dibaca ayat tentang azab neraka, mengapa hati kita masih belum gerun dengan sebenar-benarnya?

Bulan ini bulan kita bermuhasabah, mengikis mazmumah, menyental daki-daki yang telah berkerak hingga terhijabnya sinaran nur petunjuk Al-Quran daripada menembusi hati. Sedangkan nur Al-Quran sepatutnya membuat hati orang beriman bergetar dan keimanan mereka semakin bertambah sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."

Justeru, di samping membaca Al-Quran sebanyak-banyaknya pada bulan ini, sama-samalah kita mengambil sedikit masa bertadabur, menangisi kekerasan hati, ketumpulan daya fikir dan kelembapan daya juang kita hasil terhijabnya hati kita dari sinar nur Al-Quran. Pohonkan petunjuk Allah agar Allah membantu kita menjernihkan hati yang kelabu dek titik-titik noda dan dosa yang tidak terkira bilangannya. Semoga Allah memberikan petunjuk Al-Quran untuk kita membezakan antara yang hak dan batil serta memberi jalan keluar kepada permasalahan ummah di zaman yang penuh dengan fitnah ini.

Semoga mu'ahadah (berjanji dengan diri dan Allah), mujahadah (melawan hawa nafsu), muraqabah (rasa diri diawasi Allah),dan muhasabah (menghitung silap dan dosa) yang merupakan intipati taqwa dapat direalisasikan dengan bersungguh-sungguh agar manifestasi taqwa benar-benar terhasil dengan berakhirnya Ramadhan.

Ya Allah, padamu kami mengadu kekerasan hati kami,Ya Allah. Lembutkanlah hati kami,Ya Allah. Sinarilah hati kami dengan hidayahMu sepertimana kau sinari bumi ini dengan sinaran mentari. Ya Allah , selamatkan kami daripada fitnah dunia dan bebaskan kami daripada api nerakaMu. Anugerahkan kami taqwa yang engkau janjikan buat hamba-hambaMu yang berpuasa. Amin Ya Rabbal 'Alamin.Salam mujahadah!

Uniknya Ramadhan Kali Ini

Ramadhan datang lagi. Uniknya Ramadhan kali ini berbanding Ramadhan yang lepas-lepas ialah 1 Ramadhan (bulan ke-9 di dalam kalender Hijrah @ Qamariah) bersamaan 1 September (bulan ke-9 di dalam kalendar Masihi @ Syamsiah). Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengaturkan perjalanan bulan dan matahari mengikut ketetapanNya.

Cuaca di Mesir juga agak unik. Bermula 1 Ramadhan, suhu menurun sedikit menyambut datangnya Ramadhan. Angin dingin lembut menyapa pada pagi hari. Berbeza pada akhir Sya'ban yang lepas, cuaca begitu panas berbahang walaupun waktu pagi. Alhamdulillah Allah permudahkan kita beribadah di bulan yang mulia ini.

Bagi ahli-ahli Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, tahun ni mencatat sejarah kita bermesyuarat agung tahunan dalam suasana berpuasa. Moga musyawarah dan muhasabah lebih harmoni dan membawa natijah yang terbaik buat semua.

Buat semua pembaca budiman, selamat menuntut di madrasah tarbiyah Ramadhan. Banyakkan ibadah dan mujahadah di bulan mulia ini. Semoga Allah menerima taubat dan amalan kita. Rabbana taqabbal minna, ya Karim. Amin.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger