Assalamualaikum wrt wbt
Salam rindu buat sahabat-sahabiat dan adik-adik di Mesir serta seantero dunia. Sedar tak sedar sudah sebulan saya berada di Malaysia. Buat yang masih belum menerima perkhabaran daripada saya, saya sekarang berada di Perak. Masih dalam proses selesaikan urusan peribadi dan keluarga. Sudah melawat abang di Kedah sebanyak 2 kali. Abang saya disahkan mengidap penyakit kanser yang kritikal sejak akhir tahun lepas. Walaupun doktor seakan-akan surrender, namun kami sekeluarga terus berusaha dengan perubatan alternatif. Macam-macam ubat sudah dicuba, namun nampaknya ada tindakbalas positif dengan ubat terakhir yang dicuba dari luar negara. Doa-doalah keadaan beliau semakin sembuh. Betullah kata orang, kanser adalah penyakit psikologi. Semangat dan keyakinan pesakit mesti dibangunkan. Yang mendatangkan penyakit dan yang menyembuhkan adalah Allah. Keyakinan, usaha, doa dan tawakkal kena sentiasa beriringan. Ajal manusia di tangan Tuhan. Selagi belum sampai masanya, kita seharusnya tidak mengalah dan berputus asa untuk terus beramal dan berusaha.
Dalam kesempatan ini juga, ucapan takziah dititipkan buat keluarga Allahyarham Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin, mantan Penasihat PMRAM atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah semalam kerana denggi berdarah. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 2 orang anak serta anak ketiga yang masih di dalam kandungan isterinya. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama para syuhada', anbiya' dan solihin.
Beliau telah pergi mengadap Allah, Pemilik Yang Dicintai, kelak giliran kita pula menyusul selepas ini, entah bila tidak kita ketahui. Justeru, sama-samalah kita beramal untuk akhirat tanpa bertangguh lagi. Inna lillah wa inna ilaihi raji'un...Al-Fatihah!
Dari Bumi Malaysia..
Label: coretan
Krisis Di Perak

Krisis di Perak masih belum selesai. Macam-macam ulasan kita dengar, lihat dan baca di media. Belum pernah berlaku ada dua Menteri Besar di dalam satu negeri. Apapun, kita doakan krisis ini dapat selesai sebaik mungkin. Yang pasti, kebenaranlah yang sepatutnya kita junjung dan kita cari, barulah kita temui siapa orang yang membawa kebenaran itu. Kebenaran walaupun diselaputi debu tebal, ia tetap kebenaran. Begitu juga kebatilan tetap kebatilan sekalipun dipakaikan dengan pakaian indah berkilauan.
Ia bukan soal menderhaka atau tidak, ia soal keabsahan perlantikan Menteri Besar baru mengikut undang-undang kerana Menteri Besar lama belum meletakkan jawatan. Ia juga soal bidang kuasa sultan untuk melucutkan jawatan Menteri Besar yang enggan meletakkan jawatan. Ia juga berkaitan tiga orang ADUN yang sepatutnya terlucut jawatan ADUN kerana melompat parti berdasarkan akujanji yang ditandatangani oleh semua ADUN Pakatan Rakyat selepas pilihanraya umum yang lalu. Ia krisis yang kompleks, krisis perlembagaan, krisis politik, krisis kehakiman dan krisis paling besar ialah krisis nilai , seperti kata Ustaz Nik Abduh di sini. Sedikit pencerahan untuk memahami mengapa Ir. Hj. Nizar tidak meletakkan jawatan MB, boleh baca di sini.
Banyak-banyakkanlah berdoa, semoga penyelesaian yang terbaik adalah bersama kebenaran, bukan bersama siapa yang berkuasa, bijak menipu daya atau banyak wang!
Blog oh Blog!
Hari ini mencipta sejarah tersendiri buat diriku yang tiada apa-apa ini. Hal yang mungkin sudah lali dilalui oleh sebilangan ahli akademik, orang-orang yang popular, penulis-penulis yang prolifik, tetapi tidak bagiku. Apa kisahnya? Kisahnya, seorang mahasiswi dari Indonesia meminta riwayat hidupku untuk dimuatkan dalam assignmentnya yang mengulas tentang tulisan ilmiah di blogku. Betapa dunia tanpa sempadan ini telah menemukan aku dan dia yang terpisah antara benua atas dasar perkongsian ilmu, bahkan diabadikan di alam ilmiah pula.
Sejenak aku seolah-olah baru tersedar bahawa blog peribadi berupaya mencipta sejarah yang tersendiri. Hakikatnya, blog ialah medan penulisan yang terbuka. Setiap orang boleh menulis apa sahaja yang diinginkan. Ada orang meluahkan perasaan di blog-blog peribadi mereka, ibarat diari terbuka yang dikongsi dengan khalayak pembaca. Ada pula yang melakukan kempen menentang kezaliman, mengkritik dan menuntut hak kebebasan bersuara melalui tulisan mereka. Yang lain menjadikan blog sebagai medan dakwah. Ada juga yang menjadikan blog medan mencari makan dan meluaskan perniagaan. Bak kata orang zaman sekarang, macam-macam ada..
Pun begitu, sebagai muslim, kita mempunyai etika penulisan yang tersendiri. Ini kerana persoalan dosa dan pahala tetap terpakai di arena penulisan terbuka ini. Setiap kebaikan yang dipaparkan, lalu diikuti oleh para pembaca blog, akan mendatangkan pahala kepada penulis. Begitu jua sebaliknya, jika keburukan yang ditonjolkan, lalu mendatangkan dosa kepada pembaca sama ada dengan menayangkan gambar wanita yang tidak menutup aurat, penulisan yang mendorong kepada perbuatan jahat, akan diberi dosa oleh Allah swt.
Rasululah bersabda :
"Barangsiapa yang menunjukkan kepada suatu perbuatan baik, baginya pahala orang yang mengikutnya, tanpa berkurang sedikitpun. Barangsiapa yang menunjukkan suatu perbuatan jahat, baginya dosa orang yang mengikutnya, tidak berkurang sedikitpun."
Pendek kata, alam blog ini mampu menjadi sungai pahala yang mengalirkan jernih pahala yang membawa pembaca kepada kebaikan emosi, akal, jasad dan roh hingga melaut di lautan amal soleh, atau sebaliknya menjadi sungai dosa yang mengalirkan sampah sarap dosa ke lautan amalan kejahatan kita. Oleh itu , sama-samalah kita saling memperingatkan, sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan apa yang kita lakukan, malaikat raqib dan atid sentiasa setia bertugas tanpa kita menyedarinya. Fikir baik-baik sebelum menulis ya!
Apapun, Alhamdulillah atas limpahan kebaikan dariMu ya Allah buat hamba-hambaMu ini. Mudah-mudahan blog mampu terus menjadi wadah untuk saya dan anda semua melahirkan rasa syukur atas anugerah nikmatNya yang tidak terhitung, lagi tidak termampu untuk dibalas setimpalnya. Semoga amal yang kerdil ini diterima sebagai amal soleh di sisiNya.
Label: coretan
Muharram, Khaibar, Palestin dan Kita
"Bilakah berlaku peperangan Khaibar?" saya bertanya teman-teman dengan soalan seumpama kuiz.
"Tak ingatlah, mungkin 8 Hijrah," jawab teman saya.
Setepatnya, peperangan Khaibar berlaku pada akhir Muharram tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan ini, tentera muslimin berjaya mengalahkan Yahudi Khaibar, 60 - 80 batu di selatan Madinah dengan bilangan tentera muslimin yang sedikit berbanding Yahudi.
Ketika serangan Israel dibuat ke atas Ghaza baru-baru ini, saya mencari-cari maklumat sejarah peperangan Rasulullah bersama kaum Yahudi. Saya teruja apabila mendapati kemenangan Rasulullah dan umat Islam di Khaibar berlaku pada bulan Muharram. Dalam hati saya berdoa, mudah-mudahan Allah mengurniakan kemenangan kepada muslimin di Ghaza ke atas rejim Zionis pada bulan Muharram tahun ini sebagaimana Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah di Khaibar 1422 tahun yang lalu.
Dalam masa yang sama, tanpa saya sedari, selera makan saya menurun sejak krisis di Ghaza bermula. Makan nasi pun kerana lapar. Saya tersedar hal ini apabila menziarahi jiran saya, seorang rakyat Britain keturunan Bangladesh. Dia menceritakan dia tidak mampu untuk menghabiskan makanan yang dimakan kerana terlalu sedih, bahkan juga takut! Betapa isu Ghaza menyayat hati kebanyakan kita yang masih punya hati dan perasaan.
Semalam, Ismail Haneyyah , Perdana Menteri Palestin mengumumkan kemenangan HAMAS ke atas Israel selepas pengumuman genjatan senjata dan pengunduran berperingkat tentera Israel oleh Ehud Olmert. Walaupun peperangan di Ghaza telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Ghaza, namun itu bukan bermakna kemenangan bagi rejim Zionis Israel. Ini kerana mereka yang terkorban kebanyakannya adalah rakyat awam yang tidak bersenjata, wanita dan kanak-kanak, bukannya pejuang HAMAS, Jihad Islami dan lain-lain kumpulan pejuang Palestin.
Hakikatnya, Israel sebenarnya cuba menyembunyikan kegagalannya melumpuhkan HAMAS yang menjadi tujuan utama serangan ke atas Ghaza. Mereka menghadapi tentangan hebat daripada pejuang Palestin, bahkan media mereka menyifatkan peperangan ini sebagai tersengit dan paling dahsyat dalam sejarah Israel. Sebaliknya, sokongan terhadap HAMAS semakin kuat, bukan setakat di Ghaza , malah di seluruh dunia. Kita melihat Vanezuela dan Bolivia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Qatar dan Mauritania juga memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel (walaupun sepatutnya dari dulu lagi semua negara umat Islam berbuat demikian).
Cuma, agak dikesali sikap beberapa pemimpin negara Arab yang memilih untuk berbaik-baik dengan Israel dan Amerika Syarikat setelah apa yang dilakukan Israel terhadap Ghaza. Buta hatikah mereka? Apakah maslahah ekonomi lebih utama daripada maslahah umat Islam di Palestin, wahai pemimpin Arab?!!
Hati ini sejuk semula membaca berita Ikhwan Muslimin Jordan telah melancarkan projek mempersaudarakan keluarga-keluarga di Ghaza dengan keluarga-keluarga di Negara Arab dan seluruh dunia. Persaudaraan ini akan membolehkan keluarga-keluarga ini berhubung untuk memberi bantuan kewangan, pendidikan dan sebagainya secara berterusan. Bagai mengimbau semangat Muhajirin dan Ansar, usaha ini jelas menunjukan kecintaan saudara seIslam terhadap muslimin di Palestin. Sekurang-kurangnya rakyat Ghaza tidak rasa bersendirian menghadapi mehnah ini setelah mereka kehilangan orang-orang tersayang dan harta benda musnah sama sekali.
Oh ya! Kalau anda nak tahu, kempen boikot barangan Israel yang dilakukan oleh masyarakat dunia telah mula menampakkan kesannya. Kerugian besar dilaporkan berlaku kepada industri pertanian Israel apabila syarikat-syarikat pengimport hasil pertanian dari Israel menarik balik kontrak pembelian. Oleh itu, jangan pandang enteng usaha dan kempen boikot yang dilakukan! Boikot akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada Israel dan sekutunya.
Sesungguhnya, Allah tidak akan mensia-siakan darah syuhada' yang mengalir. Walaupun HAMAS kehilangan tokoh-tokoh besar mereka seperti Nizar Rayyan, Said Siyam dan ramai lagi yang syahid dalam peperangan ini, yakinlah akan bangkit lagi beribu pejuang seumpama mereka. Walaupun Israel pernah membunuh Sheikh Ahmad Yasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi dan ramai lagi, mereka tidak boleh menyekat semangat jihad yang mengalir di dalam jasad ummah.
Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 55 :
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Justeru, di awal tahun 1429 Hijrah ini, sama-sama kita berazam untuk kembali berpegang teguh kepada ajaran agama Allah kerana taqwa itu merupakan syarat kemenangan yang dijanjikan Allah. Sebagaimana kita melihat hal ini difahami begitu mendalam oleh Briged Izzuddin Al-Qassam yang memilih anggotanya dengan mencari pemuda-pemuda yang solat Subuh berjemaah di masjid. Inilah medan muhasabah dan medan bertindak kita tanpa kecuali. Kembalikan kewarakan Umar Al-Khattab, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh di dalam diri kita. Tiada keizzahan dan kemuliaan melainkan dengan berpegang teguh kepada kepada Islam. Teruskan berdoa, berkempen, memboikot, menderma, misi bantuan kemanusiaan dan sebagainya, tetapi segalanya perlu bertitik tolak daripada TAQWA .
Yakinlah dengan janji Allah, bahawa kemenangan itu dekat, cuma tidak kita ketahui bila dan bagaimana. Berusahalah dengan apa jua kemampuan yang kita ada. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan Allah tidak sekali-kali memungkiri janji. Semoga Allah akan membebaskan Bumi Isra' Mi'raj dan Masjidil Aqsa kembali ke tangan umat Islam..
Bulan Mengambang Di Kuala Terengganu
Ada orang jangkakan bulan gerhana, rupa-rupanya bulan mengambang!
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd!
Anda tidak faham maksud saya? Baca di sini.
