Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Catatan
* Catatan 1 *
1 Ogos mencatat sejarah rakyat Malaysia bangkit menyatakan penentangan terhadap perlaksanaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri @ Internal Security Act). Teringat saya pada suatu amanah yang tidak kesampaian. Pada tahun 2001, saya pernah ditugaskan oleh Fellow MANHAL PMRAM untuk membuat kajian tentang ISA menurut perspektif Islam. Saya sempat draf kajian, meminjam dan membeli beberapa buku berkaitan untuk tujuan rujukan. Malangnya , selepas itu saya terpaksa 'passing' tugas tersebut kepada seorang senior kerana kondisi saya ketika itu tidak mengizinkan.
Kerja-kerja kajian ilmiah memang menjadi minat saya sejak dahulu walaupun pada peringkat awal saya tidak mempunyai sebarang panduan. Pun begitu, saya tidak mahu mengulas panjang. Saya kira sebagai gantinya, kertas kerja yang saya jumpai dengan carian di internet ini boleh dijadikan salah satu bahan untuk penilaian dan perbincangan pembaca.
* Catatan 2*
Tidak kira lelaki atau perempuan, kebolehan memandu, memiliki lesen memandu dan memiliki kenderaan sendiri bukan lagi menjadi suatu kelebihan (tahsinat), bahkan menjadi suatu keperluan (hajiat). Bahkan dalam keadaan kecemasan, ia menjadi suatu kewajipan (doruriyat). Apa tidaknya, banyak urusan tidak dapat dilakukan tanpanya, lebih-lebih lagi di kawasan yang perkhidmatan pengangkutan awam berkurangan dan tidak memuaskan.
Oleh itu, saya mencadangkan para pelajar di Mesir yang ingin pulang ke tanah air tetapi masih tidak memiliki lesen memandu untuk belajar memandu dan mendapatkan lesen sejak di Mesir lagi kerana kos mendapatkan lesen memandu di Mesir jauh lebih murah berbanding Malaysia. Jika anda telah memiliki lesen memandu, SILA MINTA KELUARGA DI TANAH AIR UNTUK PERBAHARUI LESEN ANDA SEBELUM TAMAT TEMPOH supaya anda tidak perlu mengambil ujian memandu sekali lagi semata-mata kerana lesen anda tamat tempoh! Inilah yang berlaku kepada saya.
Apa yang anda perlu lakukan jika lesen anda tamat tempoh?
Anda perlu buat rayuan di e-rayuan di laman web www.jpj.gov.my. Jawapan akan diberikan dalam tempoh 2 minggu hari bekerja. Setelah itu, sila print surat penerimaan rayuan dan bawa surat itu untuk membuat lesen L di Pejabat JPJ. Anda akan dikecualikan daripada kursus L, ujian L dan tidak wajib menghabiskan 13 jam belajar. Selepas mendapat Lesen L, anda bolehlah mendaftar di Sekolah Memandu, belajar ikut prestasi anda dan menempah ujian praktikal memandu. Selepas lulus ujian praktikal jalan raya dan dalam litar, anda akan diberikan Lesen Memandu Percubaan. Itulah lesen anda, dan jangan lupa menukarkannya kepada Lesen Kompeten selepas 2 tahun. Kalau tidak anda akan menghabiskan masa dan wang untuk mengambil lesen sekali lagi!
p/s : Alhamdulillah saya dah dapat lesen P :-).
* Catatan 3 *
Masih bertatih mengenal dunia kerjaya, ilmu dan dakwah di lapangan hidup.
Bersiap Sedia Menanti Hadirnya Ramadhan
Ramadhan adalah peluang keemasan yang datang hanya setahun sekali. Namun adakah umat Islam menghadapinya dengan sikap yang sama.
Ada manusia yang menganggap kedatangan Ramadhan sebagai bebanan yang berat yang diharapkan agar ia segera berlalu. Mereka melihat bulan ini sebagai bulan yang menghalangnya berbuat apa yang diingini. Mereka masuk dan keluar dari Ramadan tanpa memperoleh sebarang kesan pada diri mereka, apatah lagi untuk mengingatinya.
Selain itu, ada golongan lain yang merasai nilai Ramadhan, lalu mereka bersungguh-sungguh sedaya mungkin untuk melakukan seberapa banyak amal ibadat, seperti membaca Al-Quran, menunaikan solat, dan ibadah yang lain. Namun malangnya mereka tidak mengambil berat soal kehadiran hati di dalam melakukan ibadah. Golongan ini melihat ibadah yang banyak itu sebagai matlamat. Tidak dinafikan mereka akan merasai kesan yang baik di hati mereka tetapi kesan itu akan segera hilang selepas berlalunya Ramadhan.
Golongan yang ketiga ialah orang yang menganggap Ramadhan sebagai peluang yang jarang diperoleh untuk menghidupkan hati, menyedarkan daripada kelalaian, serta menyemarakkan sifat taqwa dan perasaan takut kepada Allah.
Oleh itu kita melihat matlamat puasa itu jelas dinyatakan di dalam firman Allah SWT : (Al-Baqarah : 183). Justeru, taqwalah yang sebenarnya menjadi matlamat di dalam perlaksanaan sesuatu ibadah. (Al-Baqarah : 21).
(Terjemahan petikan risalah Dr. Majdi Al-Hilali : Maza Nurid Min Ramadhan?)
Rejab datang menandakan Ramadhan semakin hampir. Sempatkah kita menyambutnya? Marilah kita bersedia menyambut Ramadhan dengan hati yang tulus dan tunduk kepada Allah semata-mata mengharapkan redha dan keampunan dariNya. Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan. Amin.
Label: tazkirah
Detik Waktu Yang Berlalu...
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." -Surah Al-Asr :1-3
Masa merupakan anugerah tidak ternilai buat manusia. Masa adalah kehidupan. Detik masa yang berlalu akan mengundang penyesalan jika tidak dimanfaatkan ke jalan kebaikan. Bahkan di dalam senarai kebaikan yang boleh dilakukan, kita perlu memilih pula kebaikan yang paling utama berbanding yang lain. Inilah yang diajar Islam melalui cabang ilmu Fiqh Awlawiyat (Keutamaan).
Kesempatan begitu terbatas untuk saya menulis. Buat sahabat-sahabat yang menanti berita daripada saya, saya akan mula bertugas di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu beberapa hari lagi. Terima kasih kepada sahabat yang membantu saya mendapat kerja ini. Kerja-kerja amal Islami terus berjalan seiringan. Doakan saya dikurnia nusrah untuk mendidik anak bangsa mengenal Islam, beramal soleh seterusnya mencintai Pencipta mereka sepenuh hati. Tidak kira di mana kita dicampakkan, jadilah kita manusia yang berguna kerana pesan Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik kamu adalah yang paling bermanfaat untuk manusia."
Akhirnya, salam juang buat sahabat walau di mana jua antum berada!
Label: coretan
Dari Bumi Malaysia..
Assalamualaikum wrt wbt
Salam rindu buat sahabat-sahabiat dan adik-adik di Mesir serta seantero dunia. Sedar tak sedar sudah sebulan saya berada di Malaysia. Buat yang masih belum menerima perkhabaran daripada saya, saya sekarang berada di Perak. Masih dalam proses selesaikan urusan peribadi dan keluarga. Sudah melawat abang di Kedah sebanyak 2 kali. Abang saya disahkan mengidap penyakit kanser yang kritikal sejak akhir tahun lepas. Walaupun doktor seakan-akan surrender, namun kami sekeluarga terus berusaha dengan perubatan alternatif. Macam-macam ubat sudah dicuba, namun nampaknya ada tindakbalas positif dengan ubat terakhir yang dicuba dari luar negara. Doa-doalah keadaan beliau semakin sembuh. Betullah kata orang, kanser adalah penyakit psikologi. Semangat dan keyakinan pesakit mesti dibangunkan. Yang mendatangkan penyakit dan yang menyembuhkan adalah Allah. Keyakinan, usaha, doa dan tawakkal kena sentiasa beriringan. Ajal manusia di tangan Tuhan. Selagi belum sampai masanya, kita seharusnya tidak mengalah dan berputus asa untuk terus beramal dan berusaha.
Dalam kesempatan ini juga, ucapan takziah dititipkan buat keluarga Allahyarham Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin, mantan Penasihat PMRAM atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah semalam kerana denggi berdarah. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 2 orang anak serta anak ketiga yang masih di dalam kandungan isterinya. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama para syuhada', anbiya' dan solihin.
Beliau telah pergi mengadap Allah, Pemilik Yang Dicintai, kelak giliran kita pula menyusul selepas ini, entah bila tidak kita ketahui. Justeru, sama-samalah kita beramal untuk akhirat tanpa bertangguh lagi. Inna lillah wa inna ilaihi raji'un...Al-Fatihah!
Label: coretan
