assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Muharram, Khaibar, Palestin dan Kita

"Bilakah berlaku peperangan Khaibar?" saya bertanya teman-teman dengan soalan seumpama kuiz.
"Tak ingatlah, mungkin 8 Hijrah," jawab teman saya.

Setepatnya, peperangan Khaibar berlaku pada akhir Muharram tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan ini, tentera muslimin berjaya mengalahkan Yahudi Khaibar, 60 - 80 batu di selatan Madinah dengan bilangan tentera muslimin yang sedikit berbanding Yahudi.

Ketika serangan Israel dibuat ke atas Ghaza baru-baru ini, saya mencari-cari maklumat sejarah peperangan Rasulullah bersama kaum Yahudi. Saya teruja apabila mendapati kemenangan Rasulullah dan umat Islam di Khaibar berlaku pada bulan Muharram. Dalam hati saya berdoa, mudah-mudahan Allah mengurniakan kemenangan kepada muslimin di Ghaza ke atas rejim Zionis pada bulan Muharram tahun ini sebagaimana Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah di Khaibar 1422 tahun yang lalu.

Dalam masa yang sama, tanpa saya sedari, selera makan saya menurun sejak krisis di Ghaza bermula. Makan nasi pun kerana lapar. Saya tersedar hal ini apabila menziarahi jiran saya, seorang rakyat Britain keturunan Bangladesh. Dia menceritakan dia tidak mampu untuk menghabiskan makanan yang dimakan kerana terlalu sedih, bahkan juga takut! Betapa isu Ghaza menyayat hati kebanyakan kita yang masih punya hati dan perasaan.

Semalam, Ismail Haneyyah , Perdana Menteri Palestin mengumumkan kemenangan HAMAS ke atas Israel selepas pengumuman genjatan senjata dan pengunduran berperingkat tentera Israel oleh Ehud Olmert. Walaupun peperangan di Ghaza telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Ghaza, namun itu bukan bermakna kemenangan bagi rejim Zionis Israel. Ini kerana mereka yang terkorban kebanyakannya adalah rakyat awam yang tidak bersenjata, wanita dan kanak-kanak, bukannya pejuang HAMAS, Jihad Islami dan lain-lain kumpulan pejuang Palestin.

Hakikatnya, Israel sebenarnya cuba menyembunyikan kegagalannya melumpuhkan HAMAS yang menjadi tujuan utama serangan ke atas Ghaza. Mereka menghadapi tentangan hebat daripada pejuang Palestin, bahkan media mereka menyifatkan peperangan ini sebagai tersengit dan paling dahsyat dalam sejarah Israel. Sebaliknya, sokongan terhadap HAMAS semakin kuat, bukan setakat di Ghaza , malah di seluruh dunia. Kita melihat Vanezuela dan Bolivia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Qatar dan Mauritania juga memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel (walaupun sepatutnya dari dulu lagi semua negara umat Islam berbuat demikian).

Cuma, agak dikesali sikap beberapa pemimpin negara Arab yang memilih untuk berbaik-baik dengan Israel dan Amerika Syarikat setelah apa yang dilakukan Israel terhadap Ghaza. Buta hatikah mereka? Apakah maslahah ekonomi lebih utama daripada maslahah umat Islam di Palestin, wahai pemimpin Arab?!!

Hati ini sejuk semula membaca berita Ikhwan Muslimin Jordan telah melancarkan projek mempersaudarakan keluarga-keluarga di Ghaza dengan keluarga-keluarga di Negara Arab dan seluruh dunia. Persaudaraan ini akan membolehkan keluarga-keluarga ini berhubung untuk memberi bantuan kewangan, pendidikan dan sebagainya secara berterusan. Bagai mengimbau semangat Muhajirin dan Ansar, usaha ini jelas menunjukan kecintaan saudara seIslam terhadap muslimin di Palestin. Sekurang-kurangnya rakyat Ghaza tidak rasa bersendirian menghadapi mehnah ini setelah mereka kehilangan orang-orang tersayang dan harta benda musnah sama sekali.

Oh ya! Kalau anda nak tahu, kempen boikot barangan Israel yang dilakukan oleh masyarakat dunia telah mula menampakkan kesannya. Kerugian besar dilaporkan berlaku kepada industri pertanian Israel apabila syarikat-syarikat pengimport hasil pertanian dari Israel menarik balik kontrak pembelian. Oleh itu, jangan pandang enteng usaha dan kempen boikot yang dilakukan! Boikot akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada Israel dan sekutunya.

Sesungguhnya, Allah tidak akan mensia-siakan darah syuhada' yang mengalir. Walaupun HAMAS kehilangan tokoh-tokoh besar mereka seperti Nizar Rayyan, Said Siyam dan ramai lagi yang syahid dalam peperangan ini, yakinlah akan bangkit lagi beribu pejuang seumpama mereka. Walaupun Israel pernah membunuh Sheikh Ahmad Yasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi dan ramai lagi, mereka tidak boleh menyekat semangat jihad yang mengalir di dalam jasad ummah.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 55 :

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Justeru, di awal tahun 1429 Hijrah ini, sama-sama kita berazam untuk kembali berpegang teguh kepada ajaran agama Allah kerana taqwa itu merupakan syarat kemenangan yang dijanjikan Allah. Sebagaimana kita melihat hal ini difahami begitu mendalam oleh Briged Izzuddin Al-Qassam yang memilih anggotanya dengan mencari pemuda-pemuda yang solat Subuh berjemaah di masjid. Inilah medan muhasabah dan medan bertindak kita tanpa kecuali. Kembalikan kewarakan Umar Al-Khattab, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh di dalam diri kita. Tiada keizzahan dan kemuliaan melainkan dengan berpegang teguh kepada kepada Islam. Teruskan berdoa, berkempen, memboikot, menderma, misi bantuan kemanusiaan dan sebagainya, tetapi segalanya perlu bertitik tolak daripada TAQWA .

Yakinlah dengan janji Allah, bahawa kemenangan itu dekat, cuma tidak kita ketahui bila dan bagaimana. Berusahalah dengan apa jua kemampuan yang kita ada. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan Allah tidak sekali-kali memungkiri janji. Semoga Allah akan membebaskan Bumi Isra' Mi'raj dan Masjidil Aqsa kembali ke tangan umat Islam..

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut