assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Blog oh Blog!

Hari ini mencipta sejarah tersendiri buat diriku yang tiada apa-apa ini. Hal yang mungkin sudah lali dilalui oleh sebilangan ahli akademik, orang-orang yang popular, penulis-penulis yang prolifik, tetapi tidak bagiku. Apa kisahnya? Kisahnya, seorang mahasiswi dari Indonesia meminta riwayat hidupku untuk dimuatkan dalam assignmentnya yang mengulas tentang tulisan ilmiah di blogku. Betapa dunia tanpa sempadan ini telah menemukan aku dan dia yang terpisah antara benua atas dasar perkongsian ilmu, bahkan diabadikan di alam ilmiah pula.

Sejenak aku seolah-olah baru tersedar bahawa blog peribadi berupaya mencipta sejarah yang tersendiri. Hakikatnya, blog ialah medan penulisan yang terbuka. Setiap orang boleh menulis apa sahaja yang diinginkan. Ada orang meluahkan perasaan di blog-blog peribadi mereka, ibarat diari terbuka yang dikongsi dengan khalayak pembaca. Ada pula yang melakukan kempen menentang kezaliman, mengkritik dan menuntut hak kebebasan bersuara melalui tulisan mereka. Yang lain menjadikan blog sebagai medan dakwah. Ada juga yang menjadikan blog medan mencari makan dan meluaskan perniagaan. Bak kata orang zaman sekarang, macam-macam ada..

Pun begitu, sebagai muslim, kita mempunyai etika penulisan yang tersendiri. Ini kerana persoalan dosa dan pahala tetap terpakai di arena penulisan terbuka ini. Setiap kebaikan yang dipaparkan, lalu diikuti oleh para pembaca blog, akan mendatangkan pahala kepada penulis. Begitu jua sebaliknya, jika keburukan yang ditonjolkan, lalu mendatangkan dosa kepada pembaca sama ada dengan menayangkan gambar wanita yang tidak menutup aurat, penulisan yang mendorong kepada perbuatan jahat, akan diberi dosa oleh Allah swt.

Rasululah bersabda :
"Barangsiapa yang menunjukkan kepada suatu perbuatan baik, baginya pahala orang yang mengikutnya, tanpa berkurang sedikitpun. Barangsiapa yang menunjukkan suatu perbuatan jahat, baginya dosa orang yang mengikutnya, tidak berkurang sedikitpun."


Pendek kata, alam blog ini mampu menjadi sungai pahala yang mengalirkan jernih pahala yang membawa pembaca kepada kebaikan emosi, akal, jasad dan roh hingga melaut di lautan amal soleh, atau sebaliknya menjadi sungai dosa yang mengalirkan sampah sarap dosa ke lautan amalan kejahatan kita. Oleh itu , sama-samalah kita saling memperingatkan, sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan apa yang kita lakukan, malaikat raqib dan atid sentiasa setia bertugas tanpa kita menyedarinya. Fikir baik-baik sebelum menulis ya!

Apapun, Alhamdulillah atas limpahan kebaikan dariMu ya Allah buat hamba-hambaMu ini. Mudah-mudahan blog mampu terus menjadi wadah untuk saya dan anda semua melahirkan rasa syukur atas anugerah nikmatNya yang tidak terhitung, lagi tidak termampu untuk dibalas setimpalnya. Semoga amal yang kerdil ini diterima sebagai amal soleh di sisiNya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut