assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Salam 'Eidulfitri


Dozen Roses Love Note


Salam 'Eidulfitri 1430 H bagi semua pengunjung blog ini, muslimin dan muslimat seluruhnya.

Semoga Ramadhan yang berlalu menambah ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dosa-dosa kita diampunkan olehNya. Mudah-mudahan kita akan terus diberikan kekuatan untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Maaf zahir dan batin.

Mengintai Lailatul Qadar di Akhir Ramadhan

Lailatul Qadar merupakan satu malam pada bulan Ramadhan yang lebih baik daripada seribu bulan. Ada pendapat mengatakan Al-Quran diturunkan oleh Allah melalui Jibril dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam ini secara sekaligus. Selepas itu barulah Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun. Ada pendapat lain pula mengatakan bahawa Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah pada malam Lailatul Qadar.

Pada malam ini, Allah menurunkan Jibril dan para malaikat ke bumi untuk membawa keberkatan dan mendoakan kesejahteraan orang-orang mukmin yang beribadat kepadaNya. Selain itu, Jibril dan para malaikat turut membawa perkara yang ditakdirkan akan berlaku pada masa hadapan.

Allah Azza Wajalla berfirman di dalam Surah Al-Qadr ayat 1- 5 maksudnya :

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar,
2. Dan engkau mengetahui apa (kebesaran) malam Lailatul Qadar itu?
3. Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.
Allah mengulang perkataan Lailatul Qadar sebanyak 3 kali bagi menunjukkan kebesaran dan kemuliaan malam ini.

Bila berlakunya malam Lailatul Qadar?

Para ulama' berbeza pendapat tentang waktu berlakunya Lailatul Qadar. Terdapat beberapa hadith Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan, iaitu :

Salah satu malam daripada 10 malam terakhir

Daripada Aishah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda :
تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Salah satu daripada 7 malam terakhir
أن رجلا من أصحاب رسول الله أروا في المنام في السبع الأواخر فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر.

Maksudnya : Seorang sahabat Rasululah bermimpi di dalam tidurnya pada 7 malam terakhir bulan Ramadhan. Maka Rasulullah bersabda : Aku berpendapat mimpimu itu menepati 7 malam terakhir. Sesiapa yang ingin mencarinya (Lailatul Qadar), maka carilah di 7 malam terakhir.
Malam yang ganjil antara sepuluh malam terakhir iaitu 21, 23, 25, 27, 29

Daripada Aishah r.a. bahawa Rasulullah bersabda :
تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar di malam ganjil antara sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Hikmah Allah tidak memberitahu secara jelas waktu berlakunya Lailatul Qadar ialah supaya umat Islam memperbanyakkan ibadah pada bulan ini, tidak tertumpu pada malam-malam tertentu sahaja.Imam Al-Qurtubi telah menyatakan bahawa Lailatul Qadar boleh berlaku pada mana-mana malam dibulan Ramadhan kemungkinan di awalnya atau pertengahan atau diakhir Ramadhan. Pun begitu, kita dituntut memperbanyakkan ibadah pada 10 malam terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Kelebihan Lailatul Qadar

1. Lailatul Qadar bererti malam kemuliaan iaitu malam nuzul (turun) Al-Quran.
2. Beramal pada Lailatul Qadar lebih baik daripada 1000 bulan yang lain.
3. Setiap doa dimakbulkan kerana diaminkan oleh para malaikat
4. Ibadat diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda.
5. Diampunkan dosa orang yang memohon dengan ikhlas.
6. Rahmat Lailatul Qadar sehingga terbit fajar pagi.
7. Jibrail mendoakan kebahagiaan orang yang beribadat.

Persoalan Puasa

Soalan : Apakah hukum sekiranya seseorang makan kerana terlupa dia berpuasa? Adakah batal puasanya dan apa yang perlu dia lakukan?

Jawapan : Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

من نسي وهو صائم فأكل وشرب فليتم صومه , فإنما أطعمه الله وسقاه .

Maksudnya : Sesiapa yang terlupa dia berpuasa lalu dia makan dan minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allahlah yang telah memberikannya makan dan minum.

Jumhur ulama' berpendapat bahawa puasa orang yang makan dan minum dalam keadaan dia terlupa yang dia berpuasa adalah sah, maka dia hendaklah menahan diri daripada makan minum dan meneruskan puasa.

Soalan : Adakah terbatal puasa sekiranya mendapat rawatan perubatan dengan suntikan?

Jawapan : Tidak terbatal puasa dengan suntikan di kulit kerana cecair tidak masuk melalui rongga biasa yang terbuka.

Soalan : Adakah pemindahan darah membatalkan puasa?

Jawapan : Pemindahan darah dari penderma tidak membatalkan puasa penderma sama seperti berbekam yang juga tidak membatalkan puasa. Manakala penerima darah, hukumnya sama seperti suntikan.

Soalan : Saya terbangun dari tidur dan menyangka fajar belum menyingsing lalu makan dan minum, kemudian saya mendapati sebenarnya hari sudah siang. Adakah sah puasa saya?

Jawapan : Puasa terbatal, namun wajib menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari tersebut kerana menghormati bulan Ramadhan dan mengqadha puasa hari itu pada hari yang lain.

Soalan : Fajar menyingsing (masuk subuh) pada bulan Ramadhan ketika saya masih dalam keadaan junub dan saya mandi junub sejam selepas itu. Adakah puasa saya sah?

Jawapan : Wanita yang masih dalam keadaan haid dan nifas ketika masuk Subuh haram berpuasa. Jika dia berpuasa, hukumnya haram dan berdosa. Tetapi sekiranya darah haid dan nifas telah kering sepenuhnya sebelum Subuh, namun wanita itu mandi hadas selepas Subuh, maka puasanya sah.

Dalam masalah junub, puasa sah walaupun mandi junub selepas Subuh kerana mandi hadas adalah wajib untuk menunaikan solat, bukan untuk berpuasa. Rasulullah SAW pernah bangun pagi (selepas Subuh) dalam keadaan berjunub dan baginda berpuasa, maka baginda bersegera mandi junub untuk solat Subuh berjamaah di masjid.

(Petikan fatwa Almarhum Sheikh 'Atiyyah Saqar)

Marhaban Ya Ramadhan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Catatan

* Catatan 1 *

1 Ogos mencatat sejarah rakyat Malaysia bangkit menyatakan penentangan terhadap perlaksanaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri @ Internal Security Act). Teringat saya pada suatu amanah yang tidak kesampaian. Pada tahun 2001, saya pernah ditugaskan oleh Fellow MANHAL PMRAM untuk membuat kajian tentang ISA menurut perspektif Islam. Saya sempat draf kajian, meminjam dan membeli beberapa buku berkaitan untuk tujuan rujukan. Malangnya , selepas itu saya terpaksa 'passing' tugas tersebut kepada seorang senior kerana kondisi saya ketika itu tidak mengizinkan.

Kerja-kerja kajian ilmiah memang menjadi minat saya sejak dahulu walaupun pada peringkat awal saya tidak mempunyai sebarang panduan. Pun begitu, saya tidak mahu mengulas panjang. Saya kira sebagai gantinya, kertas kerja yang saya jumpai dengan carian di internet ini boleh dijadikan salah satu bahan untuk penilaian dan perbincangan pembaca.

* Catatan 2*

Tidak kira lelaki atau perempuan, kebolehan memandu, memiliki lesen memandu dan memiliki kenderaan sendiri bukan lagi menjadi suatu kelebihan (tahsinat), bahkan menjadi suatu keperluan (hajiat). Bahkan dalam keadaan kecemasan, ia menjadi suatu kewajipan (doruriyat). Apa tidaknya, banyak urusan tidak dapat dilakukan tanpanya, lebih-lebih lagi di kawasan yang perkhidmatan pengangkutan awam berkurangan dan tidak memuaskan.

Oleh itu, saya mencadangkan para pelajar di Mesir yang ingin pulang ke tanah air tetapi masih tidak memiliki lesen memandu untuk belajar memandu dan mendapatkan lesen sejak di Mesir lagi kerana kos mendapatkan lesen memandu di Mesir jauh lebih murah berbanding Malaysia. Jika anda telah memiliki lesen memandu, SILA MINTA KELUARGA DI TANAH AIR UNTUK PERBAHARUI LESEN ANDA SEBELUM TAMAT TEMPOH supaya anda tidak perlu mengambil ujian memandu sekali lagi semata-mata kerana lesen anda tamat tempoh! Inilah yang berlaku kepada saya.

Apa yang anda perlu lakukan jika lesen anda tamat tempoh?
Anda perlu buat rayuan di e-rayuan di laman web www.jpj.gov.my. Jawapan akan diberikan dalam tempoh 2 minggu hari bekerja. Setelah itu, sila print surat penerimaan rayuan dan bawa surat itu untuk membuat lesen L di Pejabat JPJ. Anda akan dikecualikan daripada kursus L, ujian L dan tidak wajib menghabiskan 13 jam belajar. Selepas mendapat Lesen L, anda bolehlah mendaftar di Sekolah Memandu, belajar ikut prestasi anda dan menempah ujian praktikal memandu. Selepas lulus ujian praktikal jalan raya dan dalam litar, anda akan diberikan Lesen Memandu Percubaan. Itulah lesen anda, dan jangan lupa menukarkannya kepada Lesen Kompeten selepas 2 tahun. Kalau tidak anda akan menghabiskan masa dan wang untuk mengambil lesen sekali lagi!

p/s : Alhamdulillah saya dah dapat lesen P :-).

* Catatan 3 *

Masih bertatih mengenal dunia kerjaya, ilmu dan dakwah di lapangan hidup.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger