assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Kata-kata Hikmat



"Kebahagiaan adalah sebatang pohon. Air, makanan, udara dan cahayanya ialah iman kepada Allah dan hari akhirat."


"Maafkan orang yang menzalimimu, hubungkan slaturrahim dengan yang memutuskannya, berilah kepada yang tidak memberi kepadamu dan berlembutlah dengan orang yang menyakitimu, nescaya engkau akan mendapati kegembiraan dan keamanan."


"Bergembiralah dengan pilihan Allah untukmu. Sesungguhnya engkau tidak mengetahui kebaikan, kadangkala kesempitan itu lebih baik bagimu berbanding kemewahan."


"Jauhilah dosa kerana ia sumber kerungsingan dan kesedihan, sebab kepada bencana serta pintu musibah dan krisis."


"Matinya hati dapat diketahui dengan meninggalkan perkara ketaatan, ketagihan perkara dosa,  melewatkan taubat, memusuhi manusia, derhaka kepada ibubapa dan menyebarkan rahsia."


"Lazimi Ya Zal Jalal al Ikram dan biasakan Ya Hayyu ya Qayyum, birahmatika astaghith, nescaya akan datang kegembiraan , kelapangan dan ketenangan."



(Dipetik dari buku La Tahzan karangan Dr. 'Aid Al-Qarni)

Sebuah Penghijrahan

Tahun baru Hijrah 1431 kali ini telah pun bermula. Sama-samalah kita mendoakan agar tahun ini penuh dengan kebaikan dan kita semua terjauh daripada keburukan. Tahun lalu yang telah ditinggalkan diharapkan dapat menjadi muhasabah dan iktibar agar tahun ini terisi lebih baik berbanding sebelumnya.

Alhamdulillah, tahun baru hijrah kali ini bermula dengan baik. Selasa minggu pertama, saya mula mengajar kaum ibu secara mingguan di sebuah surau di Kota Bharu. Ini merupakan cabaran buat saya memandangkan audien kebanyakannya berpangkat kakak dan makcik, selain kanak-kanak kecil yang menyertai ibu mereka. Tambahan pula, terpaksa mengajar dalam loghat Kelantan. Apapun, alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Minggu ini pula, saya dan suami berpindah ke rumah sewa baru. Mudah-mudahan tiada lagi masalah di rumah ini. Semoga hijrah ini membawa makna buat kami sekeluarga.

Buat para pembaca sekelian, semoga semangat hijrah meresap di sanubari kita. Berhijrah daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik. Sama-samalah kita menghayati sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat baginda agar dapat menjadi panduan dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar ini.

Buat muslimah, contohilah ketabahan dan keberanian Asma' binti Abu Bakar dalam peristiwa hijrah. Walaupun dalam keadaan sarat mengandung, beliau sanggup menggadai nyawa memanjat bukit untuk membawa bekalan makanan untuk Rasulullah dan ayahandanya yang bersembunyi di Gua Thur. Peranan Asma' sangat penting untuk mengaburi musyrikin Quraisy yang sedang mencari-cari baginda berdua.

Muslimah tidak sepatutnya merasa rendah diri untuk menyumbang kepada perjuangan mendaulatkan Islam.. Setiap kita mempunyai peranan di posisi kita sendiri. Cuma soalnya, hendak atau tidak?

Bercakap Tentang Persepsi...

Terasa baru semalam meninggalkan bumi Mesir, sedar tak sedar sudah 10 bulan saya berada di tanahair. Kepulangan kali ini memberi pengalaman baru buat saya kerana tidak menetap di bumi kelahiran sendiri (Perak), tapi bumi Kelantan yang sebenarnya agak asing bagi saya, walaupun orang-orangnya tidaklah asing.

Sebelum saya menetap di sini, banyak juga persepsi (ah, lagi-lagi persepsi!) yang menakut-nakutkan saya. Namun, alhamdulillah persepsi tidak mempengaruhi saya dan terbukti setakat ini persepsi itu bukan realiti.  Saya tidak beriman dengan persepsi (ops, macam pernah dengar ayat ini, tapi di mana ya?). Persepsi tanpa bukti tidak boleh diterimapakai. Kes-kes terpencil tidak boleh dijadikan hujah untuk pukul rata semua keadaan. Cuma barangkali persepsi boleh dijadikan sempadan untuk lebih berhati-hati.

Hari ini orang bercakap tentang persepsi. Manusia itu tabiatnya suka berpersepsi. Menanggapi sesuatu mengikut pemikirannya sendiri. Persepsi dibentuk apa yang ada di dalam pemikiran dan hati. Jernih pemikiran dan hati seseorang, maka jernihlah persepsinya. Sebaliknya jika keruh pemikiran dan hati, maka keruhlah persepsinya. Ibarat memakai kaca mata hitam, semua yang dilihat dikatakan gelap dan hitam belaka.

Persepsi itu az-zon atau tanggapan. Allah berfirman di dalam Surah Al-Hujurat yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian daripada sangkaan kerana sebahagian sangkaan adalah dosa (kerana tersalah).

Minta jauhlah daripada tersilap tanggapan agar tidak terjerumus ke dalam dosa tanpa disedari.

 

Belajar Alif Ba Ta...

Lama tak menulis di sini. Dunia pendidikan berterusan dari buaian hingga liang lahad. Sesiapa nak mengajar kanak-kanak huruf hijaiyyah bersama bahasa arab, boleh manfaatkan video ni.

p/s : Tengok video ni, rindu amat pada Umar, anak Ukhti Natrah yang keletah, peminat video ni.

Sedikit Coretan Tentang Dakwah Fardiyyah

"Terima kasih atas bantuan selama ini. Sekarang saya sudah tidak 'gila' lagi."

Saya menerima email daripada seorang mad'u (R). Sebelum ni dia sering dilanda kekeliruan fikrah. Uniknya hubungan kami bukan berlangsung semata-mata atas dasar hubungan kekeluargaan dan satu institusi sahaja, bahkan turut melibatkan perkongsian masalah penentuan pendirian yang sering bercelaru akibat pelbagai aliran pemikiran di kalangan masyarakat pelajar.

Seringkali tersebar pelbagai aliran pemikiran di dalam masyarakat sekeliling menyebabkan sesetengah kita mengambil sikap mengasingkan diri. Alasannya kerana fed-up dengan pertembungan aliran-aliran pemikiran ini dan keliru untuk menentukan pendirian. Hakikatnya, sepatutnya kekeliruan tersebut perlu diatasi dengan mengkaji, membandingkan, menganalisa dan membuat keputusan berdasarkan ilmu, bukan ikut-ikutan. Saya memuji sikap R yang bertindak bijak bagi mengatasi kekeliruannya itu.

Hidup ibarat berada di suatu jalan menuju ke suatu destinasi yang terdapat banyak persimpangan.Kita kadang kala jadi keliru yang mana satukah yang menyampaikan kita kepada destinasi tersebut. Adakah kita terus masuk ke mana-mana persimpangan dengan agak-agak sahaja? Ataupun keliru lalu mengambil keputusan untuk berhenti di situ sahaja? Ataupun cuba bertanya kepada mana-mana orang yang lalu yang diyakini tahu jalan ke destinasi itu, melihat peta dan akhirnya memilih satu jalan untuk meneruskan perjalanan?

Dalam jalan dakwah yang berliku, seseorang pendakwah tidak boleh hanya menumpukan dakwah kepada bentuk umum seperti ceramah, kuliah dan usrah. Pendekatan secara individu @ dakwah fardiyyah mamainkan peranan sangat penting dalam perubahan sikap dan pembentukan peribadi muslim mujahid pada diri seseorang mad'u. Hubungan yang akrab memungkinkan segala masalah dan kekeliruan diluahkan secara telus dan berterus terang, lalu dapat dicari jalan penyelesaiannya.Banyak perkara yang tidak dpat diselesaikan di dalam ceramah, dapat diselesaikan melalui dakwah fardiyyah.

Oleh itu, sebagai pendakwah, jangan sekali-kali mengabaikan tugas berdakwah dengan pendekatan individu. Mungkin banyak masa, tenaga, wang yang perlu dikorbankan, namun yakinlah anda akan merasai kemanisannya apabila mad'u yang kita bimbing menjadi seorang muslim/ah yang teguh keperibadiannya,tulus akhlaknya, hingga mereka pula memimpin organisasi yang menjalankan dakwah Islam. Alangkah indahnya bia melihat mereka bangun sebagai mujahid- mujahidah dakwah yang kelak akan mengubah dunia dengan usaha mereka dan pertolongan Allah jua.

Setakat pengalaman sedikit sebanyak di pinggiran medan dakwah ini, kepuasan melihat anak didik kita menjadi penerus kesinambungan perjuangan dakwah tidak dapat ditukar ganti. Meskipun, adakalanya matlamat tidak kesampaian, sekurang-kurangnya kita telah berusaha. Kita hanya dituntut untuk berusaha, Allahlah yang memberi hidayah. Ambillah iktibar burung yang cuba meadamkan api dengan membawa air di paruhnya untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Walaupun air itu mungkin tidak dapat memadamkan api, namun itulah bukti ia telah melakukan sesuatu untuk membantu Nabi Allah Ibrahim alaihissalam. Itu seekor burung, apatah lagi kita seorang manusia yang dikurnia nikmat akal, tentu banyak yang boleh kita usahakan di jalan dakwah ini tanpa merendah diri mengatakan 'aku ini siapa untuk berdakwah'.Fikir-fikirkan...

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger