
Media Israel Akui Kekuatan HAMAS

Label: palestin
Sedikit Coretan : Ada Apa Pada Nama..
Banyak orang bertanya, "Kenapa nama awak ada Raden?" "Raden ni maksudnya apa ye?" Seolah-olah satu soalan wajib ditanyakan setiap kali perkenalan dihulurkan. Kadang-kadang letih juga nak menjawabnya..Baiklah, bagi sesiapa yang inginkan jawapannya, saya akan khabarkan di sini saja.
Mengikut laman web wikipedia, Raden adalah gelar kebangsawanan di kebudayaan Jawa, Madura dan Sunda. Gelar ini sejak abad ke-14 juga dipakai di Kalimantan dan masih dipakai pada sebagian keraton misalnya Kesultanan Sambas. (Ulasan saya : seperti juga nama Wan, Nik, Tengku dan lain-lain yang pada asalnya gelaran bagi keturunan bangsawan).
Arwah datuk saya datang dari tanah Jawa, berhijrah ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan membuka kampung tempat tinggal saya sekarang. Saya tidak pasti mengapa beliau berhijrah tetapi setahu saya ramai orang dari rantau Melayu sama ada Acheh, Sumatera, Patani dan sebagainya yang berhijrah ke Tanah Melayu. Barangkali mencari kehidupan yang lebih selesa ataupun berdakwah (saya kurang pasti).
Arwah ayah saya dilahirkan di Tanah Melayu, begitu juga adik-beradiknya yang lain kecuali abang sulungnya lahir di Jawa. Mereka membuka sekolah pondok atau persantren di kampung saya yang menjadi tumpuan penuntut ilmu dari merata tempat, dekat dan jauh di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada keluarga arwah ayah saya. Masa berlalu, lama-kelamaan pondok tersebut semakin surut penuntutnya dan akhirnya hari ini hanya berfungsi sebagai sekolah rendah agama rakyat yang mengajar KAFA pada waktu petang. Saya diberitahu bahawa saya masih lagi mempunyai saudara mara di Pulau Jawa, tetapi saya tidak pernah mengenali mereka. Dengarnya ada pakcik dan sepupu saya yang pernah pergi ke Indonesia mencari saudara mara yang masih hidup dan menziarahi mereka.
Timbul lagi satu soalan. Mengapa nama ayah saya tiada Raden? Jawapannya : kerana tidak diletakkan di dalam surat beranak dan kad pengenalan walaupun sepatutnya ada. Lagi? Adakah semua adik-beradik ada nama Raden? Tidak. Sebabnya abang sulung saya tidak diletakkan Raden, akhirnya kesemua nama adik-beradik lelaki tidak diletakkan Raden di dalam surat beranak walaupun sebenarnya ada. Hanya saya dan kakak sahaja ada Raden. Tetapi bagi mengelakkan terputusnya keturunan, abang-abang saya telah meletakkan Raden di pangkal nama semua anak-anak mereka, lelaki dan perempuan.
Cuma barangkali kombinasi nama saya yang agak pelik dari yang lain. Setakat ini saya belum pernah berjumpa dengan orang yang mempunyai nama yang sama dengan saya. Kalau ada pun hampir sama tetapi tidak serupa. Nabahah ( نباهه ) maksudnya "kecerdasan atau kemasyhuran". Kalau dieja dengan bahasa Arab, dengan huruf Ha' bulat' (ه ), bukan Ha 'pedas' (ح ). Kesilapan membaca akan menukar erti kepada "salakan anjing".
Teringat semasa saya di Tingkatan Empat ada salah seorang sahabat sekelas saya bertanya kepada Ustazah semasa belajar Bahasa Arab, bagaimana jika orang yang bernama Nabahah, sebab ustazah membuat contoh ayat ada perkataan Nabiha yang bermaksud menyalak. Haru, haru..tersentak juga saya. Ustazah pun terangkan, kalau nama orang tu Nabahah maksudnya Zaka' (kecerdikan), bukan menyalak. Bila diingat-ingat balik, kebanyakan ustaz dan ustazah yang mengajar saya Bahasa Arab akan memanggil saya Nabahah berbanding dengan panggilan Raden, kerana maknanya yang elok.
Terima kasih tidak terhingga buat arwah bapa saya yang memberikan anak-anaknya nama yang baik walaupun kadang-kadang saya menjadi takut kerana nama itu juga menyebabkan saya jadi terkenal! Apapun, pesanan saya, sama-samalah kita berikan nama yang baik-baik kepada anak-anak kita, bukan melihat kepada sedapnya sebutan, tetapi yang lebih penting ialah makna yang terkandung kerana nama itu adalah doa yang mendorong kita membentuk peribadi berdasarkan nama tadi, dan akhirnya nanti kita akan dipanggil dengan nama tersebut pada hari Qiamat. Mudah-mudahan anak-anak kita tidak menempelak kita seperti yang berlaku kepada seorang lelaki yang datang berjumpa Saidina Umar mengadu tentang anaknya menderhaka padanya. Kata si anak menjawab: Ayahku lebih dahulu berbuat buruk padaku, dipilih ibuku dari keturunan yang hamba Majusi, diberikanku dengan nama yang bererti lipas dan tidak mengajar aku dengan didikan Al-Quran.
Label: coretan
BERSIH : Gabungan Pilihanraya Yang Adil dan Bersih
Jom tonton klip video Perhimpunan BERSIH 10 November 2007..
Kawasan Istana Negara
Laporan Berita TV Al-Jazeera
Banyak lagi di sini.
Label: tanahair
Syawal dan Kita

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Laungan takbir mengagungkan Allah berkumandang ke segenap ceruk dunia tanggal 1 syawal setiap tahun tanda kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Lalu setiap kali itulah juga kita mengimbau nostalgia kemenangan umat Islam dalam Perang Ahzab yang menjadi signifikan kemenangan perjuangan mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. Laungan takbir seharusnya bukan sekadar diucapkan di bibir bahkan lebih jauh lagi rohnya mesti dihayati dan direalisasikan dalam bentuk amal. Ucapan membesarkan Allah mesti diselarikan dengan perbuatan yang membesarkan Allah melalui usaha mengamalkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang syumul (way of life) dan sumber penyelesaian terhadap sebarang masalah kehidupan (the solution of any problems in this life), tidak kira masalah peribadi, keluarga, sosial, ekonomi, politik, perundangan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.
Walaupun Perang Ahzab telah lebih 1400 tahun berlalu, suntikan semangatnya sentiasa diperbaharui setiap kali hari raya disambut. Apatah lagi, dalam situasi kaum muslimin hari ini berdepan dengan tentera Ahzab moden yang menyerang dengan senjata yang pelbagai, nampak dan tidak nampak, disedari ataupun tidak; laungan takbir seolah-olah menuntut kita menyedari bahawa kita semua adalah benteng pertahanan Islam walau apa jua situasi dan kondisi kita. Ustazkah kita, doktorkah kita, juruterakah kita, petanikah kita, suri rumahkah kita, pelajarkah kita, setiap kita punya peranan untuk mendaulatkan Islam hingga Islam kembali ke tempat tertinggi yang selayaknya.
Pun begitu, kita melihat ramai muslim yang tidak merasai tugas membentengi Islam sebagai tugas setiap individu muslim , walhal Rasulullah telah berpesan yang bermaksud : " Kamu adalah salah satu daripada benteng-benteng Islam. Maka janganlah kamu membiarkan musuh menerobos melalui sudut kamu." Penyakit tidak merasai diri sebagai benteng Islam ini memberi impak yang sangat buruk kepada Islam. Bayangkan jika seorang tentera yang ditugaskan menjaga kubu pertahanan tiba-tiba meninggalkan tugas yang diarahkan dengan pergi berehat dan bersantai, apakah yang akan terjadi? Sudah tentulah kubu tersebut akan menjadi sasaran musuh dan menjadi pintu masuk 'free' kepada musuh yang sentiasa mengintai peluang.
Jika tidak mampu menginfakkan sesuatu untuk kerja-kerja mendaulatkan Islam, sekurang-kurangnya seseorang muslim boleh menjadi 'benteng Islam' dengan menjadi seorang muslim sejati yang berakhlak mulia, mengamalkan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Ramai muslim yang sanggup mengaku ' I'm not a good muslim' apabila ditanya mengapa dia tidak laksana suruhan dan tinggal larangan Tuhan seperti orang Islam yang lain. Sedangkan dengan menjadi ' a good muslim' bukan sahaja kebaikannya akan kembali kepada diri kita di dunia (dihormati kawan dan lawan dll) dan akhirat (pahala, ganjaran syurga dll), malah ia akan memberi imej yang baik kepada Islam dan merupakan 'dakwah bil hal' yang sangat berkesan kepada non muslim. Sebaliknya, muslim yang mengaku 'I'm not a good muslim' inilah yang akan menjadi 'point' untuk pihak musuh memperlekehkan Islam. Bagaimana tidak kerana kadangkala perangai individu muslim sendiri lebih buruk daripada non muslim. Di mana kebenaran Islam dapat dilihat jika tidak diamalkan oleh penganutnya? Di Bank Islam? Di Universiti Islam? Di Masjid? Fa'tabiru Ya Ulil Absor!
Saya percaya kita sebenarnya mampu untuk membentengi Islam dengan peranan yang lebih baik selain daripada menjadi muslim sejati yang merupakan benteng asas, bahkan sebagai mujahid pun kita mampu. Pokok pangkalnya ialah kesedaran kita terhadap tugas dan peranan diri. Justeru, sempena roh Syawal yag masih segar, sama-samalah kita menginsafi bahawa tugas dan tanggungjawab yang cukup berat ini menuntut 1001 pengorbanan. Menjadi seorang muslim dan mukmin adalah nikmat terbesar yang tidak ternilai kerana nikmat inilah yang dapat menyelamatkan kita daripada api neraka Allah kelak. Sama-samalah kita perbaiki diri, perbaiki akidah, perbaiki ibadah, perbaiki akhlak, perbaiki tingkahlaku, perbaiki amal Islami. Semoga kita menjadi hamba Allah yang bersyukur dengan memenuhi hak-hak Allah sebagai pemberi anugerah teragung setiap masa dan setiap ketika!
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd!
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.


