assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Zulhijjah dan Lambaian Baitullah

Islamic Greeting Card by Alhabib. Visit al-habib.tripod.com for more greeting cards like this!



Kedatangan Zulhijjah menggamit syahdu di hati. Rasa rindu kepada Rumah Allah datang tanpa diundang. Kerinduan itu merupakan suatu anugerah Allah buat orang beriman, hasil doa tulus Nabi Ibrahim kepada Allah SWT sewaktu menempatkan anaknya Ismail dan isterinya Hajar di tengah padang pasir kontang itu.

Allah SWT berfirman :

"Dan ingatlah , ketika Ibrahim berkata: "Ya Allah, jadikanlah negeri ini (Mekah) , negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ya Allah, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa mengikutku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tdak mempunyai tanaman-tanaman berdekatan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami(yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka dari buah-buahan , mudah-mudahan mereka bersyukur."
- Surah Ibrahim: ayat 35-37

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahaian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir" - Surah Al-Hajj : 27-28


Haji merupakan rukun Islam kelima, diwajibkan sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Haji adalah bukti ketundukan hati dan jiwa seorang hamba buat Tuannya, membersihkan sisa-sisa mazmumah dalam diri melalui kesusahan dalam penyempurnaan ibadah itu, dengan pengorbanan harta, keselesaan hidup, dan meninggalkan orang-orang tersayang.

Melalui ibadah haji, para hujjaj dapat menghayati bagaimana taatnya para Malaikat yang sentiasa tawaf di Baitul Ma'mur melalui ibadah Tawaf di Baitullah. Juga menghayati bagaimana redha dan pasrah Hajar mencari air untuk Ismail di tempat yang tandus melalui ibadah Sa'ie. Bahkan turut merasai kekerdilan diri di celahan jutaan manusia ketika Wuquf di Arafah, sekaligus membayangkan dahsyatnya perhimpunan di Padang Mahsyar dengan kehadiran semua umat manusia sejak zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Alangkah mendalamnya makna ibadah yang mulia ini jika dapat dijiwai sebenar-benarnya.

Ibadah haji disyariatkan bukan untuk berbangga-bangga dengan gelaran haji atau hajjah.Bukan juga untuk pergi melancong atau membeli-belah. Haji muktamar tahunan sedunia untuk umat Islam. Di sana , terbukti keluasan rahmat Islam buat seluruh alam di mana seluruh manusia beribadah bersama tanpa mengira warna kulit, bangsa, pangkat, keturunan mahupun negara.

Banyak lagi kelebihan dan hikmah ibadah haji jika diteliti. Semoga Allah mengurniakan haji mabrur kepada kaum muslimin yang menjadi tetamuNya pada tahun ini. Sampaikan salam rindu kami buat Rasulullah SAW, moga mendapat syafaat baginda di Yaum Al-Qiamah kelak. Semoga saya dan antum yang belum menjejakkan kaki ke sana akan terpilih menjadi tetamu Allah suatu hari nanti. Allahumma Amin.

Akhir kata, Selamat Hari Raya Idul Adha. Bersamalah kita menghayati roh pengorbanan di hari yang mulia ini.

(Lihat fatwa Dr Yusuf Al-Qardhawi di dalam Bahasa Arab tentang ibadah korban di sini .)

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut