assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Tuntutan Pilihanraya Pertubuhan Islam



(Pilihanraya ke 12 akan dijalankan pada 8 hb Mac 2008 nanti. Lebih seratus pertubuhan-pertubuhan Islam bergabung di mana ALKIS (Alumni Kolej Islam, Klang) adalah salah satu daripadanya telah menyenaraikan tuntutan pilihan raya nanti. Diletakkan di sini untuk rujukan semua.)


PILIHANRAYA UMUM KE -12

TUNTUTAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

MENYEDARI bahawa nilai-nilai Islam yang luhur merupakan cirri terpenting dalam pembentukan masyarakat Islam yang bermaruah dan peranan pemimpin amat penting dalam membentuk dan mencorakkan masyarakat ini.

MENERIMA hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi berparlimen yang memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan melalui proses pilihanraya.

MENGINSAFI bahawa hak untuk memilih kerajaan melalui pilihanraya perlulah dilaksanakan dengan penuh rasa sedar dan tanggungjawab.

MEYAKINI bahawa rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih sebuah kerajaan yang baik dan berupaya untuk memenuhi aspirasi mereka.

Pertubuhan-pertubuhan Islam arus perdana, tokoh-tokoh masyarakat dan individu-individu yang prihatin mempertegaskan tuntutan-tuntutan berikut:

1.Mendaulatkan Islam Melalui Undang-Undang dan Pelaksanaannya

Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem politik dan undang-undang di Malaysia. Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan dan memperakui status institusi-institusi Islam serta memberikuasa kepada mahkamah-mahkamah syariah untuk melaksanakan undang-undang Islam. Kami menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih:-

1.1 Mempertegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majority Islam yang mengiktiraf peranan penting agama Islam dalam sistem politik , ekonomi dan undang-undang negara. Segala tuntutan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara secular mesti ditolak. Ini termasuk tuntutan untuk megujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang bertujuan mempromosi hak kebebasan beragama berlandaskanfaham secular-liberal dan saranan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam.

1.2 Mempertahan dan mendaulatkan kesucian Islam serta menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, cetak atau melalui media elektronik dan media siber, perlu ditangani secara tegas dan serius mengikut peruntukan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

1.3 Mempertahan dan memperkasa kedudukan kedudukan serta bidangkuasa Mahkamah Syariah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 121(1A) dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Sebarang pertikaian undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam hanya dibicarakan di Mahkamah Syariah. Kami juga menuntut:-

(a) Memperluaskan bidangkuasa jenayah dan mal Mahkamah Syariah di Malaysia melalui pindaan kepada Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.

(b) Menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil dari segi jawatan, penggajian dan kedudukan.

(c) Menyeragamkan undang-undang Islam seluruh negara.

(d) Mengujudkan Akta Profession Guaman Syarie bagi mengawalselia Peguam-Peguam Syarie seluruh negara.

1.4 Segera menggubal/mewartakan/melaksana undang-undang menghalang kegiatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Kami menyatakan kekecewaan atas kegagalan kerajan negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan yang sehingga kini masih gagal menggubal/mewarta undang-undang tersebut.

1.5 Meningkatkan tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi-agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Kami menuntut supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri/ Majlis Agama Islam Negeri menggunakan peruntukan yang diberikan secara lebih berkesan untuk tujuan ini.

1.6 Memandangkan pengiktirafan “halal” menjadi satu tanda aras kepada kualiti dan kebersihan makanan untuk umat Islam dan bukan Islam, serta membuka pasaran yang lebih luas, kami menuntut agar Akta Makanan dan Pemprosesan Halal atau seumpamanya digubal supaya penguatkuasaan perihal makanan halal diketatkan dan mereka yang menyalahgunakan tanda halal dikenakan hukuman berat, termasuk hukuman penamatan perniagaan dan pemiliknya dipenjara.

1.7 Mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lessen perniagaan mana-mana majikan yang menyukarkan atau menghalang pekerja-pekerja Islam daripada mengamalkan tuntutan Islam seperti pemakaian tudung, menutup aurat, solat Jumaat dan lain-lain syiar Islam. Kami menyeru supaya kempen dilakukanbagi memboikot syarikat-syarikat yang mengamalkan dasar diskriminasi ini.

2. Pendidikan dan Da’wah

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi seorang warganegara yang baik. Proses pembentukan peribadi dan jatidiri Muslim yang baik perlu dilaksanakan melalui system pendidikan yang mementingkan pendidikan Islam dan penerapan nilai-nilai Islam. Dengan itu umat Islam di negara ini menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih:

2.1 Memperkasa pendidikan Islam dalam system pendidikan nasional. Ini termasuk menambah sekali ganda waktu pengajaran Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan.


2.2 Menjadikan Malaysia pusat antarabangsa bagi kecemerlangan pendidikan Islam dan perkembangan keilmuan Islam. Bagi tujuan ini, kerajaan yang bakal dilantik digesa mewujudkan geran khas penyelidikan ilmu-ilmu Islam serta menubuhkan Universiti Pendidikan Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Islam Antarabangsa dan Universiti Pengurusan Islam Antarabangsa.

2.3 Mengembalikan serta menambah bantuan perkapita kepada Sekola-sekolah Agama Rakyat (SAR) dan memberikan bantuan buku teks secara percuma kepada pelajar SAR.

2.4 Menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang tidak memberi peluang kepada murid-murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah-sekolah agama swasta untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia dan MARA. Jabatan-jabatan pelajaran negeri juga digesa menghentikan diskriminasi terhadap murid-murid sekolah agama swasta dengan membenarkan mereka yang memenangi mana-mana pertandingan ko-kurikulum di peringkat negeri untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Ini memandangkan kecemerlangan dalam aktiviti ko-kurikulum turut diambilkira dalam kemasukan pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi tempatan.

2.5 Kemudahan biasiswa yang dinikmati oleh pelajar-pelajar Melayu perlu diberikan kepada pelajar-pelajar Islam yang bukan berketurunan Melayu. Di samping itu, kerajaan yang bakal dipilih nanti digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kalangan pelajar-pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan.

2.6 Menghentikan sikap apologetic Kementerian Pelajaran dalam menangani desakan kelompok secular dan bukan Islam yang menggesa supaya amalan-amalan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan dihentikan atas alasan untuk mengelak berlakunya pemisahan kaum dan agama. Amalan seperti bacaan doa dan sambutan Hari Kebesaran Islam perlu diteruskan kerana amalan-amalan murni ini sama sekali tidak menjejaskan keharmonian hubungan kaum dan agama, malah mendidik anak-anak menjadi insane yang berakhlak mulia.

2.7 Selaras dengan tanggungjawab menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar, kerajaan yang bakal dipilih dituntut untuk memperkasakan usaha-usaha da’wah Islamiah, terutamanya menerusi kerjasama erat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini dengan memberikan peruntukan khas dan ruang pemerkasaan untuk membantu aktiviti yang dijalankan.

2.8 Memastikan Kementerian Penerangan sentiasa memahami aspirasi dan sensitivity umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program yang mampu membina masyarakat berakhlak mulia.

2.9 Memperbanyakkan program-program berunsur pendidikan Islam dan moral di stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta. Program-program Islam hendaklah disiarkan di waktu puncak bukan waktu tengah malam atau awal pagi. Azan hendaklah disiarkan pada setiap waktu solat.

2.10 Menghentikan program-program hiburan yang mempromosi budaya hedonism Barat. Ini termasuklah program-program hiburan reality yang semakin mendapat tempat di stesen-stesen televsyen tempatan. Stesen televisyen khas untuk umat Islam perlu diujudkan.

2.11 Stesen televisyen swasta perlu mendukung aspirasi Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam pemilihan program mereka. Kami menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lessen penyiaran ke atas stesen televisyen yang melanggar etika ini.

3. Sistem Politik dan Tadbirurus yang Baik

Sistem politik dan tadbirurus yang baik merupakan syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kebakikan rakyat akan terbela dengan kewujudan system politik yang adil, tadbirurus yang baik dan sistem penyampaian yang cekap. Oleh yang demikian, usaha-usaha mewujudkan sistem politik dan tadbiurus yang baik perlu dipergiatkan melalui tindakan-tindakan berikut:-

3.1 Membanteras amalan rasuah dan salahguna kuasa di kalangan penjawat awam. Pihak swasta yang menawarkan rasuah sebagai suatu budaya perlu dihukum secara tegas dengan mengheret pihak syarikat untuk turut bertanggungjawab.

3.2 Melantik penjawat –penjawat awam dan pemimpin- pemimpin kanan kerajaan dari kalangan mereka yang terbukti bersih daripada amalan rasuah ,salah guna kuasa dan salah laku moral .3.3 Meningkatan penghayatan nilai – nilai Islam di kalangan kakitangan awam dengan memperbanyakkan program –program penghayatan Islam di Jabatan – jabatan kerajaan.

4. Memperkasa Masyarakat Sivil dan Menjamin Amalan Demokrasi

Negara demokrasi yang stabil wujd apabila dibentuk hasil daripada mandat rakyat dan institusi masyarakat sivil mempunyai ruang yang luas untuk berperanan aktif dalam memperkasakan masyarakat dan membangunkan negara. Keabsahan politik pemerintah bergantung kepada keterbukaan ruang demokrasi , kesediaan pemerintah untuk bersikap responsif terhadap tuntutan rakyat dan kemampuan pemerintah menjamin keselamatan dan keamanan dalam negara. Oleh yang demikian, upaya pemerkasaan masyarakat sivil perlu dilaksanakan dengan tindakan-tindakan berikut:-

4.1 Mewujudkan sistem pilihanraya yang benar-benar bersih, bebas dan adil. Pilihanraya mestilah berwibawa, bebas dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

4.2 Memilih calon-calon pilihanraya dari kalangan mereka yang berintegriti, berkemampuan dan bepekerti mulia.

4.3 Memastikan pemerintah melaksanakan kuasa berdasarkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

4.4 Membuka ruang yang luas kepada institusi-institusi masyarakat sivil untuk berperanan aktif dalam proses pemerkasaan masyarakat dan pembangunan negara.

5. Hubungan Kaum dan Agama

Sebagai sebuah negara majority Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama merupakan ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam. Kami mempertegaskan untuk menolak segala bentuk ekstremisme agama dan kaum yang sempit. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pemimpin politik dan rakyat negara ini:-

5.1 Mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan antara kaum dan agama.

5.2 Menolak parti-parti politik dan pemimpin politik yang tidak sensitive terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama. Ini termasuklah parti-parti politik dan pemimpin politik yang mempersendakan kedudukan istimewa Islam di Malaysia dan mempromosi hak individu dan kebebasan beragama tanpa batas yang bertentangan dengan nilai moral dan agama yang dipegang oleh majority masyarakat Islam di negara ini.

5.3 Menguatkuasa dengan tegas peraturan membina rumah ibadat tanpa mengira agama. Jika pihak berkuasa tegas melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat lain.

5.4 Memastikan pembinaan rumah-rumah ibadat mengambilkira sensitivity masyarakat setempat di samping mematuhi peruntukan undang-undang. Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil-wakil pertubuhan Islam dan pihak berkuasa tempatan perlu dibentuk untuk memperhalusi permohonan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti Islam.

6. Akidah dan Moral

Memelihara kesucian akidah dan ketinggian moral merupakan tanggungjawab paling utama setiap individu Muslim dan tanggungjawab kolektif masyarakat Islam. Pertubuhan-pertubuhan Islam menuntut kerajaan yang bakal dipilih:-

6.1 Menolak faham pluralism agama yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama dari segi kebenarannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat berbilang agama.

6.2 Menolak usaha-usaha pihak tertentu yang cuba mengelirukan umat Islam dengan pelbagai cara. Ini termasuklah dengan menggunakan perkataan-perkataan khusus seperti “Allah”, “Ka’abah”, “Baitullah” dan “Solat”, yang telah digunapakai secara meluas oleh masyarakat Islam, untu merujuk kepada konsep-konsep tertentu dalam agama bukan Islam.

6.3 Menambah bilangan pegawai penguatkuasa agama dan meningkatkan tahap profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral. Kerajaan yang bakal dipilh hendaklah melaksanakan undang-undang anti maksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Presiden ALKIS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut