assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Memori Tarbiyah dan Cita-cita Generasi Sufi Haraki

Tiba-tiba hati dipagut rindu pada indahnya zaman remaja itu , kami berebut-rebut datang ke musolla awal untuk menjadi orang pertama yang membuka lampu musolla dan menjadi 'tok siak tak rasmi' untuk membentang sejadah sof-sof hadapan. Tidak kira apa jua solat, apatah lagi Subuh. Hingga kadang-kadang timbul cemburu apabila orang lain datang lebih awal. Masa tu terfikir juga , ni ikhlas ke riya'? Cepat-cepat istighfar dalam hati takut-takut terlintas tanpa sedar.

Barangkali telah dilatih agar sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, maka hal solat sentiasa menjadi keutamaan kami. Solat dhuha sempat juga kami lakukan di celah waktu rehat, malah tahajjud kalau boleh saban hari, lebih-lebih lagi apabila hampir dengan peperiksaan. Setiap sudut musolla penuh dengan muslimah yang bermunajat memohon pertolongan Allah untuk menghadapi hari 'pertempuran' itu. Sampai berjanji dengan sahabat karib dari dorm sebelah, "kalau nak bangun qiam , tolong kejut ye, kita qiam sama-sama". Kadang-kadang merajuk jika ada sahabat yang bangun qiam seorang , terlupa kejutkan sahabat yang lain sebab ingatkan dia yang terlewat bangun, rupanya dia yang paling awal.

Asrama itu sudah terlalu uzur walaupun berstatus asrama penuh, hingga digelar Utusan Malaysia "TERSOHOR DALAM KEDAIFAN". Tiada apa yang dibanggakan dari segi infrastrukturnya, fizikalnya, cuma yang membezakannya dengan yang lain ialah roh tarbiyah yang mengalir di dalam diri setiap penghuninya. Senakal manapun pelajar itu, sebenci manapun dia dengan tarbiyah, di hati kecilnya, dia tetap mengakui bumi itu ada keindahannya. Pada ukhuwahnya, biah solehahnya, tarbiyahnya, para murabbinya.

Terngiang-ngiang kata-kata kakak-kakak senior, jika ingin melantik pemimpin , lihatlah pada solatnya. Jika hal-ehwal solatnya sempurna, layaklah dia menjadi pemimpin kita.Sebab solat itu mengikat hamba dengan Tuhannya. Jika dia mengambil berat soal hubungan dia dan Tuhan, dia tentu sepatutnya sangat mengambil berat soal hubungan dia dengan manusia.

Bumi itu mengajar saya mencintai kebaikan, merindukan tarbiyah, menghargai ikatan kasih-sayang kerana Allah. Saya bertatih menjadi pemimpin kecil serba tak tahu, mengenal apa itu mehnah dan tribulasi, mengikis karat mazmumah, dan mencita-citakan kesinambungan generasi Sufi Haraki, generasi Rabbani, generasi Qurani di seluruh bumi Allah yang luas ini.

Hari terus berlalu. Bumi Mesir menjadi destinasi kembara tarbiyah saya seterusnya. Saya meletakkan keinginan untuk ditarbiyah, bukan mentarbiyah kerana berasa kurang layak. Namun, takdir Allah menentukan, akhirnya saya akur dengan satu kesimpulan bahawa walau di mana kita berada, di situlah medan kita untuk ditarbiyah dan mentarbiyah. Selagi manusia hidup, proses tarbiyah akan tetap berterusan. Walaupun pahit, walaupun perit, akhirnya kan terasa kemanisannya, bahkan kita akan merindukannya pula.

Ya Allah, suburkanlah muka bumiMu dengan generasi ulama' murabbi, pemimpin bertaqwa, generasi Al-Quran yang Rabbani yang mencintaiMu, mencintai agamaMu dan saling mencintai keranaMu. Berilah kami kekuatan mencontohi generasi sahabat, salafussoleh seperti Salahuddin Al-Ayyubi,Muhammad Al-Fateh serta bala tentera mereka agar kemenangan yang Engkau janjikan buat Islam menjadi realiti. Jadikanlah kami hamba-hamba yang istiqamah menjalankan amanah agamaMu sepertimana yang Kau firmankan :"Maka tetaplah kamu pada apa yang diperintahkan"- Surah Hud : 112.Amin Ya Rabbal 'Alamin.

2 ulasan:

Ibnurashidi Julai 11, 2008 2:37 PG  

salam..

pentarbiyahan sejati melahirkan insan seperti para sahabat tabi' tabien..hasil gabungan akidah,syariah dan tasawuf..

Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi Julai 13, 2008 3:31 PTG  

salam.. benar, tarbiyyah sejati syumul, merangkumi semua aspek tanpa meninggalkan aspek yang lain.artikel ini sekadar mengingatkan aspek ruhiyyah yang dipandang enteng berbanding aspek yang lain.adakala pendakwah sibuk bicara tentang perjuangan tetapi jiwa kontang dari kekuatan roh.tazkirah untuk diri sendiri juga.

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger