assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Cerpen : Air Mata Al-Quds



"Assalamualaikum.Ukhti,boleh saya duduk di sini?" Kedengaran satu suara lembut menyapa di kiriku.

Aku mendongakkan kepala.Kelihatan seraut wajah gadis bertudung coklat muda tersenyum memandangku sambil menunjukkan isyarat di sebelah kiriku.

"Waalaikumussalam. Duduklah, tempat ini bukan khas untuk sesiapa" jelasku dengan membalas senyumannya.

Ya,itulah detik awal perkenalanku dengan Asma'. Asma', gadis Palestin yang kukenali lewat pengajianku di Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar itu akhirnya menjadi sahabat baikku. Kesederhanaannya, keluhuran budinya dan keteguhan jiwanya membuatkanku tertarik untuk akrab dengannya, bukan sahabat-sahabat bangsa Arab yang lain.

Asma' bukan setakat seorang sahabat yang memahami, malah dia ibarat guru bagiku.Dia banyak membantuku memahami pelajaran di kuliah, bahkan yang lebih penting ialah melaluinya, kukenal erti tabah dengan ujian Allah , syukur atas nikmat Allah dan menyelami jerih-perih perjuangan hidup rakyat Palestin. Mengapa tidak? Sejarah hidupnya amat memilukan. Dia anak yatim piatu. Ibunya meninggal dunia semasa melahirkannya. Bapanya pula syahid dalam satu serangan tentera Zionis di Semenanjung Gaza 15 tahun lalu. Dia membesar di bawah jagaan bapa saudaranya, Ammu Khalid, seorang peniaga dan pejuang Hamas. Ammu Khalid begitu mengambil berat tentang dirinya, malah selama hidup bersama keluarga itu dia tidak pernah rasa terasing. Ammu Khalid melayannya seperti anak kandung sendiri. Beliaulah yang banyak menitipkan semangat perjuangan dalam diri Asma'.

Kata Asma, media massa terlalu memutar belitkan fakta. Hamas bukanlah kumpulan militan atau pengganas. HAMAS ditubuhkan atas kesedaran rakyat Palestin untuk membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkaman Zionis. HAMAS, semenjak hari pertama penubuhannya telah menjadikan jihad sebagai jalan utama untuk memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga telah menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga telah berjanji dengan rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam untuk terus komited dengan perjuangan mereka. HAMAS juga berjanji untuk memerdekakan masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji mereka.

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan HAMAS. Mereka diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah Palestin. Kemenangan ini, walaupun indah, namun ianya merupakan ujian yang getir bagi mereka. Pelbagai tekanan telah dikenakan ke atas HAMAS sebaik sahaja dipilih rakyat menerajui pemerintahan buat kali pertama dalam pilihanraya yang lalu. Bantuan yang sebelum ini diberikan oleh Kesatuan Eropah dan kuasa besar lain ditarikbalik seolah-olah hukuman ke atas rakyat Palestin kerana memilih HAMAS sebagai pemerintah secara demokrasi. Mereka mahu melihat HAMAS gagal, lalu akhirnya mengiktiraf Israel, sedangkan dunia terlupa kesengsaraan rakyat Palestin. Israel penjajah celaka itulah yang sepatutnya dihalau keluar, bukannya menambahkan lagi penderitaan warga Palestin.

Pelbagai bentuk kesengsaraan telah dilalui oleh rakyat Palestin. Pengusiran dari rumah, kampung halaman, dan juga tanahair sendiri. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih hanyalah sebahagian daripada perbuatan tidak bertamadun yang telah dihadapi oleh mereka . Berapa ramai rakyat Palestin terpaksa menjadi pelarian ke Jordan, Syria dan Lubnan. Ya, hidup sebagai pelarian tentu saja amat memeritkan. Di kem-kem pelarian , rakyat Palestin tidak ubah seperti anai-anai membina busut. Mereka membina rumah berlapis-lapis, daripada setingkat kepada bertingkat-tingkat tetapi bukanlah rumah dalam erti kata yang sebenar. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited untuk terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka." Ini adalah jihad, kemuliaan, dan bukti yang ingin kami bawa sebagai mahar ke syurga nanti. "Tergambar jelas keteguhan dan keyakinan Asma' dengan janji Allah melalui cerlang sinar matanya tatkala menuturkan kalimah itu. Aku kagum.

Sejak mengenali Asma', aku mula mengakrabi isu-isu semasa berkaitan Palestin. Suratkhabar, majalah, buku-buku, laman-laman web, semuanya aku terokai. Aku seolah-olah baru tersedar bahawa isu Palestin bukanlah hanya isu perjuangan rakyat Palestin memerdekakan negaranya, atau isu bangsa Arab semata-mata. Malah isu Palestin adalah isu umat Islam seluruh dunia. Palestin, bumi tanahair umat Islam, bumi berlakunya Isra' dan Mi'raj. Di situlah terletaknya Masjid Al-Aqsa, masjid agung ketiga umat Islam dan kiblat pertama sebelum Masjidil Haram.

Semangat yang menyala di dadanya dikongsi bersamaku. Dia menyedarkanku bahawa bahawa pejuang Islam perlu cemerlang dalam segenap aspek. Dia membuktikan kata-katanya apabila memperolehi Imtiyaz dalam imtihan lalu, manakala aku pula hanya berpuas hati dengan Jayyid Jiddan. Semenjak itu, aku berusaha keras dalam pengajianku. Ibadahku juga kutingkatkan secara konsisten. Aku turut menjinak-jinakkan diri menulis artikel dalam suara kampus, dan majalah di tanah air, terutama tentang Palestin dan terlibat aktif dalam aktiviti persatuan. Aku juga terlibat menggerakkan kempen kesedaran tentang Palestin dan kempen boikot barangan Yahudi dan musuh Allah yang dianjurkan oleh persatuan. Aku harus bersyukur dengan nikmat Allah yang terlalu banyak dan memanfaatkannya dengan membantu umat Islam yang lain. Bukankah Nabi Muhammad bersabda:"Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin, maka dia bukan daripada kalangan mereka"?

Dalam diam, aku memasang niat dan perancanganku tersendiri. Pada Asma' kutunjukkan gambar abang kesayanganku, Asyraf. Aku menggiatnya supaya menjadi kakak iparku. Kataku, aku mahu mengabadikan hubungan persahabatan ini sebagai ikatan kekeluargaan. Bagiku, abangku sesuai menjadi pasangan hidupnya. Sifat mereka mempunyai banyak persamaan. Lagipun, aku yakin abangku Asyraf akan menjaga Asma', puteri syuhada' yang telah banyak berjasa padaku itu dengan baik. Asma' perlukan seorang lelaki untuk melindungi dan menemaninya menempuh perjuangan hidup ini. Tambahan pula, dalam keadaan bumi Palestin yang tidak menentu, sejuta kemungkinan boleh terjadi. Dan sekiranya mereka pulang ke Palestin sekalipun, abangku yang merupakan bakal doctor itu tentu saja dapat memberikan khidmatnya di sana. Abangku bukan setakat bakal doctor yang berhemah, bahkan dia juga hafiz Al-Quran sejak di Malaysia lagi. Darah kami adalah darah pejuang. Ayah sebenarnya keturunan Haji Abdul Rahman Limbong , tokoh ulama' penentang penjajah yang tersohor dalam sejarah Tanah Melayu. Aku juga berharap andainya aku disoal di hadapan Allah di hari akhirat kelak tentang apa yang telah kulakukan bagi membela saudara seakidahku, setidak-tidaknya aku masih punya jawapan.

Pada mulanya, Asma' hanya membiarkan usikanku berlalu begitu sahaja tanpa memberikan sebarang komen. Namun, apabila aku selalu sangat mengusiknya, lama-kelamaan dia memberikan isyarat positif. "Asma' ni kan perempuan, takkanlah Asma' nak kata 'ya', sedangkan tuan empunya diri tak pernah berkata apa-apa. Lagipun, soal jodoh ni perkara besar, Asma' perlu berbincang dengan Ammu Khalid dulu." Aku tahu sebenarnya Asma' tidak menolak, cuma memikirkan dia masih punya wali yang berhak ke atas dirinya, apatah lagi abangku bukan rakyat Palestin berbangsa Arab, tentulah dia harus berfikir panjang.

Sebenarnya, abangku pernah melihat Asma' sebelum ini. Ketika itu, aku yang sedang meronda-ronda mencari buku di Pameran Buku Antarabangsa bersama abangku Angah Asyraf. Kami terserempak dengan Asma' dan teman serumahnya di hadapan sebuah kedai buku.Abangku cuma memerhatikan daripada jauh kami berbual mesra. Dalam perjalanan pulang, Asyraf bertanya tentang mereka. Lalu kuceritakan tentang mereka dan keakraban persahabatanku dan Asma', dan pastinya aku tidak lupa menggiat Angah. Kataku, "Wah, hebat Angah! Sekali pandang terus terpikat ke? Kalau nak, boleh Nuha 'rekemen'kan." Angah hanya tersenyum. Pucuk dicita, ulam yang dating. Apa lagi, semakin teruklah dia kuusik. Angah menggeleng-gelengkan kepala melihat telatahku.Tidak mengapa, usaha tangga kejayaan, bisik hatiku sambil ketawa di dalam hati. Aku tidak putus-putus berdoa moga Allah memelihara ukhuwah antara diriku dan Asma' dan merealitikan impianku membawa Asma' ke dalam keluarga kami.

Suatu petang, tiba-tiba Angah Asyraf menelefonku. "Tunggu Angah di mahattoh utubis Hayyu Sabi'. Nanti Angah dating ambil Nuha. Ada hal penting," katanya. Aku tertanya-tanya. Namun kuturutkan sahaja permintaannya.Selalunya Angah memberitahu sekurang-kurangnya sehari lebih awal jika ingin keluar denganku. Jadi, aku siapkan masakan yang sedap-sedap untuknya. Yalah, orang bujang. Tentu biasa makan masakan 'cincai-cincai' sahaja. Kalau tidak pun beli saja di restoran. Petang itu, Angah membawaku ke rumah sewanya di Tahrir. Teman-teman serumahnya awal-awal lagi sudah keluar apabila mengetahui aku akan bertandang ke rumah mereka. Angah sudah siap menempah makanan segera daripada restoran berdekatan, Tentu sahaja bukan KFC yang muqato'ah itu!

Sambil makan, aku bertanya,"Hal apa yang penting sangat ni,Angah. Sampai tak menyempat-nyempat?"

"Angah nak minta pendapat adik Angah yang bijak ni. Nuha pandai tak tafsir mimpi? Kan hari tu beli kitab Tafsir Ahlam di ma'rad."

"Kenapa, Angah mimpi apa?" tanyaku kehairanan.

"Entahlah, mimpi aneh sangat. Nak kata mainan syaitan, Angah biasa ambik wudhu' dan baca doa sebelum tidur. Angah tersedar pun, waktu tu sekitar jam 3 pagi. Bukan sekali, tapi tiga malam Angah bermimpi perkara yang sama."

Aku tahu , keakrabanku dengan Angah menyebabkan Angah memilih untuk menceritakan masalah peribadinya denganku walaupun memiliki rafiq lain yang tidak kurang akrab dengannya. Angah pun menceritakan mimpinya. Katanya, dia bermimpi melihat dirinya berjalan bersendirian ke Masjidil Aqsa yang kami rindui. Keadaan begitu nyaman dan syahdu. Dia masuk ke masjid lalu solat 2 rakaat di mihrab sekhusyuk-khusyuknya. Usai solat dia berpaling. Dia terlihat seorang perempuan, di sampingnya seorang kanak-kanak kecil. Selepas itu, terus Angah tersedar.

"Angah cam ke muka perempuan tu?"tanyaku dengan perasaan berdebar.

"Angah rasa macam pernah tengok… " Angah menggantungkan ayatnya.

" Siapa?" tanyaku lagi. Angah tidak menjawab. Tiba-tiba terlintas seseorang di hatiku.

" Asma' sahabat Nuha tu ke Angah?" tanyaku tidak sabar-sabar.

Angah menganggukkan kepalanya perlahan.

Oh Tuhan! Adakah ini petunjuk darimu? Bibirku tidak putus-putus mengucap tahmid. Rupa-rupanya, Angah telah membuat keputusan untuk melamar Asma' setelah banyak kali beristikharah, cuma dia ingin meminta pendapatku sebelum berbincang dengan Abi dan Ummi. Aku yakin Abi dan Ummi tidak akan menolak terus hal ini kerana kami telah dididik supaya berbincang untuk menyelesaikan satu-satu masalah dan mengutamakan kepentingan Islam melebihi segalanya. Kata Abi, "Islam tertegak dengan pengorbanan umatnya". Cuma, aku masih tidak dapat mentafsirkan kaitan kanak-kanak kecil di dalam mimpi Angah dengan perkara ini.

Keesokkannya, aku bertemu dengan Asma' seperti biasa. Dengan berhati-hati, aku menyampaikan hasrat suci Angah untuk memperisterikannya. Lama Asma' terdiam. Kemudian, lambat-lambat dia memberitahu dia akan pulang menziarahi Ammu Khalid sekeluarga di Ramallah selepas imtihan fasa pertama setelah sekian lama meninggalkan bumi kecintaannya itu. Dia sudah terlalu rindu kepada mereka semua.

Asma' memandang jauh ke dalam mataku. Kulihat matanya berkaca-kaca.

"Doakan keselamatan Asma' . Insya-Allah, sekembalinya Asma' ke sini, akan Asma' khabarkan keputusannya padamu. Kalau ada jodoh tentu tidak ke mana. Tapi, andai maut menjemput Asma' terlebih dahulu, kenang Asma' dalam doa Nuha selalu. Semoga Allah mempertemukan kita di taman syurgaNya yang indah kelak. "

Aku jadi terharu apabila Asma' berkata begitu. Kami berpelukan erat. Aku tidak pernah meninggalkan doa untukmu Asma' setiap kali usai solat. Begitu juga untuk bumi Al-Quds tercinta dan umat Islam seluruhnya. Bisikku.

Masa berlalu begitu pantas. Cuti pendek fasa pertama kuisi dengan mengikuti pengajian di Masjid Al-Azhar, di samping pengajian dan program peningkatan diri yang lain. Sementara itu, Angah telah menghubungi Abi dan Ummi. Ternyata, Abi merestui pilihan Angah, malah lebih memeranjatkan kami, Abi kata, kalau Asma' setuju, Abi minta walimah dijalankan secepat mungkin. Abi dan Ummi juga berjanji akan mengambil cuti dan hadir ke Ardhul Kinanah untuk walimah tersebut. Akulah orang paling gembira mendengar khabar tersebut. Rasanya tidak sabar-sabar lagi menunggu cuti berakhir untuk bertemu Asma' dan mendengar jawapan 'ya' daripada bibirnya.

Hari pertama kuliah dibuka kusambut dengan rasa gembira. Namun, keghairahanku mati serta-merta apabila mendapati Asma' tidak hadir ke kuliah. Ku tanya khabarnya daripada teman serumahnya. Jawab mereka,"Asma' belum pulang ke Kaherah. Mungkin dia masih di Ramallah." Hatiku bertambah gawat. Adakah berlaku perkara yang tidak baik terhadapnya atau keluarganya? Seminggu aku lalui dengan perasaan risau tidak keruan. Hari ketujuh, aku menerima sepucuk surat dari Ramallah. Kubuka surat bersampul biru itu dengan perasaan berdebar. Dengan lafaz basmalah aku membaca satu-persatu bait-bait kalimah yang bertulis dalam bahasa Arab itu.

Assalamualaikum wrt.wbt.

Nuha sahabatku,

Semoga dirimu sentiasa berada dalam perlindungan dan kasih sayang Allah. Saat ini aku masih berada di kota suci ini. Aku rindukanmu dan pengajian kita,namun banyak perkara yang perlu kulangsaikan sebelum aku pulang ke kota Kaherah. Untuk pengetahuanmu, kepulanganku ke sini tidak seperti yang kuimpikan. Sesampainya aku ke sini tempoh hari, aku disambut dengan berita yang amat menyayat hati.


Aku terasa nafasku seolah-olah terhenti saat ini. Namun, ku teruskan pembacaan.

Nuha,
Ammu Khalid sekeluarga terbunuh dek bedilan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kapal marin Israel ketika mereka berkelah di pantai Ghaza. Tidak kusangka, berita yang kubaca dalam akhbar tempoh hari adalah tentang mereka. Betapa kejamnya rejim Zionis laknatullah itu! Tubuh mereka berkecai, Nuha! Tiada siapa yang selamat kecuali sepupu perempuanku Fatimah yang baru berusia 3 tahun. Ammu Khalid, isterinya Makcik Sumayyah dan anak-anak yag lain semuanya terkorban, termasuk anak bongsunya yang masih bayi. Hatiku remuk, Nuha! Kekejaman mereka tidak mengenal kasihan.


Ya Allah! Tabahkanlah sahabatku. Mutiara jernih mula membasahi pipiku.

Yang pasti, aku perlu belajar untuk lebih tabah mulai saat ini. Aku perlu memikul tanggungjawab baru sebagai ibu dan ayah buat Fatimah. Mengapa tidak? Si kecil yang malang itu sudah tidak miliki sesiapa selain aku! Kau pun tahu, betapa aku amat terhutang budi kepada Ammu Khalid sekeluarga. Mujur Ammu Khalid ada meninggalkan sedikit harta untuk kami meneruskan hidup. Berkemungkinan aku akan kembali semula ke kota Kaherah sedikit masa lagi. Pengajianku perlu kulangsaikan kerana tanggungjawabku makin berat. Tapi kembalinya aku kali ini bukan berseorangan Nuha, tapi bersama si kecil Fatimah itu! Doakan aku tabah, Nuha! Dugaan Allah semakin berat, tatkala hati ini mula ingin mengecap sedikit bahagia.

Air mataku semakin laju. Kugagahi diri untuk terus membaca.

Tentang lamaran abangmu, aku tiada alasan untuk menolak lagi, namun sanggupkah dia memikul tanggungjawab menjadi ayah untuk si kecil ini? Aku tidak kisah andainya abangmu mengundurkan diri jika Fatimah penyebabnya. Bagiku, biarlah Fatimah membesar di bawah jagaanku, sebagaimana aku membesar di bawah jagaan ayahnya! Maafkan aku andai melukakan hatimu. Walau apapun yang terjadi, kau tetap sahabat sejatiku dunia akhirat.Semoga bertemu lagi.Salam permisi.


Sahabatmu,
Asma'


Air mataku bercucuran seperti tidak mahu berhenti selepas membaca surat Asma'. Kini, aku mendapat jawapan lengkap tafsiran mimpi Angah tempoh hari. Aku yakin, Angah sudah bersedia untuk tugas baru ini dan dia tidak akan teragak-agak lagi. Bukan satu jiwa yang perlu dibahagiakannya kini, tapi dua! Ya Allah, cekalkanlah kami memikul amanahmu. Semangat perjuangan ini semakin membara. Denyut jantung kurasa makin deras bagai seiring gelora lautan perjuangan yang tidak mengenal kasihan. Aku semakin akur pada ketentuan dan kuasa Tuhan. Bagai bergema suara hati berjanji. Al-Quds, kan kami hapuskan air matamu!

TAMAT


(Cerpen ini cerpen sulung saya yang diterbitkan di Mesir. Mungkin kurang seninya, malah gaya bahasanya juga biasa-biasa sahaja. Sebenarnya,cerpen ini ditulis beberapa hari selepas membaca berita kematian rakyat Palestin sekeluarga di pantai Gaza akibat letupan peluru berpandu tentera marin Israel 2 tahun lepas. Al-Fatihah buat semua syuhada' Palestin.Semoga Allah menganugerahkan thabat kepada pejuang dan rakyat Palestin, dan mengembalikan Al-Quds ke tangan umat Islam.)

8 ulasan:

Tanpa Nama Julai 13, 2008 5:31 PTG  

Salam Lek Rina.

Lek, cerpen ini terasa keindahan dan kesayuannya.

Begitu Lek menulis menulis ini pasti ada tersisa kesedihannya.

Lek, teruskan menulis ya.

Otu tunggu. Sebab Otu sekarang makin tahu, daripada siapa Otu diperturunkan bakat berkarya dalam diri Otu.

^____^

Tanpa Nama Julai 18, 2008 11:33 PG  

Assalamualikum,

Subhanollah, sayunya saya membaca cerpen saudari nie, puas sy menahan agar tidak menitis air mata ini. Adakan cerita dalam cerpen ini adalah kisah benar?..

Tanpa Nama Julai 18, 2008 5:29 PTG  

salam....
satu permulaan yg baik.
teruskan berkarya.tak sabar nak tahu kesinambungan crita.ada ksinambungan kan?
apapun, teruskan perjuangan

Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi Julai 18, 2008 9:00 PTG  

Waalaikumussalam.

Terima kasih kepada semua yang sudi membaca cerpen yang seadanya ini. Kisah ini adalah rekaan dari sudut watak dan jalan cerita.Kisah sebenar hanyalah pembunuhan rakyat Palestin sekeluarga akibat peluru berpandu marin Israel di pantai Gaza , di mana yang selamat hanyalah seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun.

Saya amat terkesan dengan berita ini dan kebetulan pula baru membaca ucapan yang mengesankan oleh seorang pemimpin Hamas yang berkunjung ke Malaysia. Banyak ayat dan luahan Asma' tentang Hamas adalah ucapan pemimpin tersebut.Ditambah pula membaca laman web tentang kehidupan pelarian Palestin.

Saya sendiri ketika menulis dan mengedit cerpen ini turut menangis. Barangkali itulah dikatakan apabila kita menulis dari hati akan juga terkesan di hati orang lain.

Cerita ini tidak ada kesinambungannya, tapi tak tahulah pula kalau-kalau ada idea untuk menyambungnya suatu masa nanti. Setakat ini saya belum ada kesempatan masa lagi.

Terima kasih atas sokongan.Sama-samalah kita membantu rakyat Palestin denga apa jua kemampuan yang kita ada, sama ada doa , wang dan sebagainya.

Korakora Ogos 28, 2008 11:30 PG  

Oho.. ada hantar cerpen ni ke e-Sastera, kan?

Penulis tidak berhenti dengan satu dua cerpen saja. Teruskan menulis! :)

Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi Ogos 29, 2008 2:22 PG  

akhi nazmi, rasanya takde hantar ke e-sastera tu, tapi tak tahulah kalau orang lain yang hantar. terima kasih atas galakan.

abusuhaib September 13, 2008 10:28 PTG  

Tersentuh dgn kisah ini...Terasa palestin dan perjuangannya semakin dekat di hati. Boleh bangkit jiwa perjuangan bagi hati yang terlena. Minta izin kalau boleh utk dikongsi kisah ini dgn orang lain?

salam kat us Asri.

Abduh & Safinar

Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi September 16, 2008 2:52 PG  

us. Abduh dan Kak Safinar,
Sila2 ..boleh je nak kongsi cerpen ni dengan orang lain. jangan lupa sandarkan kepada masdar yang asal ye.

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger