assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Meningkatkan Keyakinan Diri

Untuk mengatasi masalah ketiadaan keyakinan diri ini dan membina kembali keyakinan diri anda, beberapa langkah yang disarankan di bawah mungkin boleh membantu:

• Insafilah bahawa keyakinan diri itu pada asasnya ada pada setiap individu. Lawan segala perasaan dan sikap hidup yang negatif. Jangan biarkan lagi ia bertapak di dalam diri anda. Gantikannya dengan perasaan dan sikap yang positif. Berjanjilah pada diri anda bahawa mulai saat ini anda sudahpun mula memulihkan kembali keyakinan diri anda dan jangan teragak-agak. Anda kini tegak sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang telah dan yang sedang menempa nama di dalam sejarah kehidupan mereka

• Sedarilah bahawa anda mempunyai segala potensi dan kekuatan untuk berjaya di dalam hidup anda. Anda sekarang baru sahaja menggunakan 10 peratus daripada keseluruhan potensi yang ada pada diri anda. Dan kebanyakan orang tidak menyedari hakikat ini.

• Kenalilah diri, bakat dan minat anda. Asah dan kembangkan bakat dan minat anda supaya anda memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang lengkap di dalam bidang-bidang yang berkenaan.


• Jangan terlalu memikirkan diri sendiri, mengharapkan pujian atau penghargaan daripada orang lain. Daripada bersedih tidak mendapat perhatian daripada orang lain, lebih baik anda ikhlaskan hati, taburkan bakti untuk kebajikan dan kebahagiaan orang lain. Anda akan memperolehi keyakinan diri, seterusnya ia akan menjadi mangkin kejayaan hidup anda. Ingatlah, manusia mungkin mengecewakan anda tetapi Allah tidak akan sekali-kali mengecewakan anda!

• Cipta suasana ceria, menarik, kemas dan teratur di dalam persekitaran anda dan juga di tempat anda bekerja. Isi fikiran anda dengan harapan dan kebahagiaan. Dari suasana yang indah ini, lahirlah pula keyakinan diri yang sememangnya anda cari-cari selama ini.

• Tetapkan matlamat hidup anda yang utama. Apa yang harus anda lakukan ialah anda hendaklah semaikan matlamat itu di dalam fikiran anda. Kemudian berusahalah untuk mencapai matlamat itu.

• Jangan lakukan perkara buruk yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang murni. Tindakan itu bukan sahaja akan menjadikan anda mendapat kemurkaan Tuhan, bahkan semakin menjauhkan anda daripada impian anda. Berdoa dan mengadulah kepada Allah kerana Dia Maha Mendengar.Doa juga akan mendorong anda bertindak sewajarnya.

• Bertindaklah dengan penuh hati-hati, bijaksana dan berdiplomasi dalam segala urusan dengan orang lain. Jangan sekali-kali membuang masa memikirkan tentang orang yang anda benci kerana dengan berbuat demikian, anda akan lebih menderita daripada dirinya.

• Biarlah masa yang berlalu terus berlalu, jangan dikenang lagi, dan jangan risaukan apa yang akan terjadi pada masa hadapan kerana nasib kita telah ditentukan oleh Allah, tiada apa yang perlu dirisaukan. Oleh itu, jangan bersedih, sebaliknya lakukan yang terbaik pada masa sekarang.

• Apabila anda dikritik, terimalah kritikan yang jujur dan membina dengan berlapang dada dan berusahalah memperbaiki kelemahan. Namun, ada kalanya kritikan melulu dan tidak kena pada tempatnya ialah pujian yang tersembunyi. Ini kerana anda telah berjaya membuat orang lain iri hati.Oleh itu, carilah kritikan yang jujur, konstruktif dan berguna dan anggaplah kritikan itu sebagai cabaran.

Kesimpulannya, selaku mukmin, kita WAJIB mempunyai keyakinan diri, berjiwa besar, optimis dan tidak mudah berputus asa. Kita mesti yakin kita akan berjaya, walaupun hari ini kita gagal. Kita mesti yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam, walaupun saat ini umat Islam ditindas. Lihat bagaimana Rasulullah menjanjikan Suraqah bin Malik dengan gelang tangan Kisra dalam peristiwa hijrah, akhirnya terbukti selepas jatuhnya kerajaan Parsi pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Bayangkan sahabat, alangkah indahnya suatu hari nanti perundangan Islam didaulatkan dan dunia aman damai di bawah naungan Islam, walaupun mungkin bukan zaman kita, tapi anak cucu kita kelak! Kitalah batu-bata binaan kegemilangan Islam. Kita akan berjaya dan apa yang kita impikan akan tercapai, tetapi dengan syarat; mulakan dengan diri kita. Lalu, apalagi yang ditunggu?
FIKIR, RANCANG DAN BERTINDAK!--

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger