assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Bagaimana Menentukan Sikap Terhadap Isu Semasa?

Kebelakangan ini saya kurang upaya mengulas isu di blog ini. Sebabnya? Letih, pening, muak dan mual membaca perkembangan semasa tanah air. Khabar angin dan fitnah seumpama 'makanan tidak berkhasiat dan membahayakan' yang di'sumbat'kan ke dalam 'kerongkong' pemikiran rakyat. Sama ada media cetak, media elektronik, internet, sama saja! Bahaya kepada akidah, syariat dan akhlak ummat jika tidak kuat antibodi ilmu dan iman.

Ramai yang boleh terjatuh ke dalam dosa tanpa disedari oleh mereka akibat isu semasa terkini. Saya malas mengulas panjang. Kembalilah kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah! Sebetulnya saya pernah mengulas hal fitnah dan khabar angin ini di dalam kertas kerja saya "Hadith Al-Ifki : Analisa Hukum dan Pengajaran kepada Umat Islam" dua tahun lalu. Sebetulnya kertas kerja ini saya tulis selepas mendengar kaset khutbah seorang daie Mesir menjawab tuduhan dilemparkan kepada Saidatina Aishah r.a. oleh segelintir umat Islam jahil yang berlagak alim pada abad ini. Di samping itu, saya juga mengharapkan fitnah tidak berulang lagi. Tiba-tiba fitnah muncul lagi. Berikut saya perturunkan sedutan kertas kerja itu. Fikir-fikirlah sendiri apa kaitannya dengan isu semasa terkini tanah air!

...

Abstrak

Gerakan mencela dan mentohmah sahabat Nabi radiallahu anhum telah lama wujud sejak zaman berzaman hinggalah ke hari ini. Golongan ini begitu berani mereka pelbagai tuduhan,umpamanya mentohmah isteri Rasulullah saw berzina, para sahabat melakukan seks luar tabie dan lain-lain. Hakikatnya, walaupun golongan ini mencela sahabat Nabi, namun tindakan mereka seumpama mencela Rasulullah SAW. Ini disebabkan apabila mereka tidak mampu mencela Rasulullah secara terang-terangan yang akan menyebabkan terbukanya rahsia mereka, lalu mereka mengalih perhatian dengan menyelewengkan sirah sahabat-sahabat baginda yang mulia demi niat jahat mereka.

Gejala ini sangat berbahaya kerana orang yang tidak menghormati sahabat Nabi yang merupakan orang yang paling mulia di sisi Rasulullah SAW, sudah tentu lebih berani untuk memfitnah sesama mukmin tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka di hari akhirat kelak, sedangkan perbuatan memfitnah dijanjikan oleh Allah dengan azab yang pedih. Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.dan Allah mengetahui , sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Kejahilan terhadap sirah yang sahih akan menyebabkan umat Islam tertipu dan keliru dalam menentukan pendirian apabila berdepan dengan sesuatu isu berkaitan maruah Islam dan umatnya. Ditambah lagi dengan serangan pemikiran yang dilancarkan oleh pihak kuffar dan orientalis yang dengkikan Islam, selain daripada peranan golongan munafiqin yang menjadi duri dalam daging tanpa disedari.

Salah satu daripada peristiwa bersejarah yang terkenal tetapi mula luput daripada penghayatan kaum muslimin dan sering dieksploitasikan oleh musuh-musuh Islam ialah peristiwa Hadith Al-Ifki yang menimpa Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a. Justeru , dalam kertas kerja ini, penulis cuba untuk membawa kita agar menghayati Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat ridwanullah ‘alaihim yang kaya dengan pengajaran yang cukup bermakna sebagai panduan kita dalam menentukan sikap dan pendirian selaku seorang mukmin sebenar.

...

Maksud Hadith Al-Ifki

Hadith bermaksud kata-kata , manakala Al-Ifk bermaksud penipuan dan tohmahan. Selain disebut sebagai hadith al-ifki, kadangkala disebut juga sebagai khabar al-ifki.

Hadith Al-Ifki merujuk kepada kata-kata dusta dan tohmahan yang dilemparkan kepada Saidatina Aishah r.a. yang dituduh melakukan perkara yang tidak baik (berzina) dengan seorang sahabat Nabi bernama Safwan bin Mu’attol ketika pulang daripada peperangan Bani Al-Mustoliq atau juga dikenali sebagai Perang Al-Muraisi’ .

...

Hukum –hakam berkaitan peristiwa Hadith Al-Ifki:

Terdapat beberapa hukum-hakam penting berkaitan peristiwa hadith al-ifki ini yang mesti diketahui. Antaranya seperti berikut:

Pertama : Hukuman bagi Orang Yang Menuduh Seseorang Berzina Tanpa Bukti (Qazaf)

Maksud Qazaf ialah : Menuduh seseorang yang muhson berzina atau menafikan nasabnya. Hukum qazaf adalah haram dan qazaf merupakan salah satu daripada dosa besar. Hukuman had qazaf adalah disyariatkan berdasarkan dalil daripada ayat:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُون
Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu terima kesaksiannya selama-lamanya . Dan mereka itulah orang yang fasiq.“ َ

Dalam satu hadith berkenaan hadith al-ifki dalam riwayat yang lain, ada disebutkan bahawa Rasulullah menjatuhkan hukuman had qazaf kepada orang yang menuduh Saidatina Aishah berzina, berbunyi :

عن عائشة رضى الله عنها قالت : لما نزل عذري قام رسول الله صلى الله عليه وسلم على المنبر، فذكر ذلك وتلا القرآن، فلما نزل أمر برجلين وامرأة فضربوا الحد.


Maksudnya:Daripada Aishah r.a. berkata: “Apabila turun ayat tentang kebebasanku, Rasulullah berdiri di atas mimbar, dan menyebut perkara itu dan membaca ayat Al-Quran (yang turun kerana peristiwa itu) .Apabila baginda turun, baginda menyuruh ( membawa ) dua orang lelaki dan seorang perempuan , lalu dijatuhkan hukuman had (qazaf).

Apabila turunnya ayat, Rasulullah telah menyuruh agar dibawa dua orang lelaki ,iaitu Hasan bin Thabit dan Mastoh bin Uthathah, dan seorang wanita , iaitu Hamnah binti Jahsy dan mereka dihukum dengan had qazaf iaitu disebat sebanyak 80 sebatan.

Berdasarkan zahir hadith, qazaf hanya thabit kepda tiga orang sahaja dan Abdullah bin Ubai bin Salul yang mempelopori fitnah itu tidak thabit dalam hadith bahawa dia dijatuhi hukuman had qazaf.

Syarat-syarat dijatuhi hukuman had qazaf ialah :

Orang yang menuduh mestilah mukallaf, iaitu berakal, baligh dan tidak dipaksa.
Oleh itu, tidak dikenakan hukuman had bagi penuduh yang gila, belum baligh atau dipaksa.

Orang yang dituduh mestilah muhson , iaitu orang Islam yang merdeka, berakal, suci (tidak pernah berzina), dan boleh melakukan jima’.
Tidak jatuh hukuman jika yang tertuduh tidak cukup syarat muhson, seumpama orang gila, kanak-kanak, hamba, kafir dan tidak boleh bersetubuh kerana masih kecil, atau tidak memiliki kemaluan. Walau bagaimanapun, sekiranya seorang yang dituduh biasa melakukan perkara yang meragukan seperti mendedahkan aurat, bebas bergaul dengan yang bukan mahram, dan pergi ke tempat-tempat maksiat boleh menggugurkan had qazaf.

Orang yang menuduh bukan bapa, ibu,datuk atau nenek kepada yang dituduh.
Ini kerana qazaf adalah hak manusia, maka tidak boleh dihukum bapa yang menuduh anak sebagaimana tidak boleh qisas kepada bapa yang membunuh anak. Tetapi sekiranya anak menuduh ibu atau ayahnya berzina, bolah dijatuhkan had qazaf. Manakala sekiranya suami menuduh isteri berzina, boleh dijatuhi had qazaf melainkan dia melakukan li’an. Suami yang melakukan li’an akan tergugur daripada had qazaf , dan isteri bolah dijatuhi had zina , kecuali dia melawan dengan melakukan li’an juga.Sekiranya isteri melakukan li’an juga, gugur had zina ke atasnya, maka anak itu tidak dinasabkan kepada suaminya dan suami isteri itu dipisahkan serta tidak boleh kembali bersama selama-lamanya.

Menuduh dengan tuduhan zina yang mewajibkan kena hukuman, iaitu secara jelas (sorih), bukan kinayah (sindiran atau kiasan). Ini adalah mengikut pendapat jumhur fuqaha’ kecuali Imam Malik yang mewajibkan hukuman had qazaf kepada penuduh secara jelas atau sindiran.Imam Syafie pula berpendapat hukuman had dijatuhkan jika tuduhan secara jelas dan kinayah jika disertai dengan niat.

Tidak mendatangkan empat orang saksi sebagai bukti.
Sekiranya , penuduh dapat membawa empat orang saksi, gugur had qazaf darinya.

Kedua : Hukum dan Bahaya Golongan Munafikin

Berdasarkan peristiwa hadith al-ifki ini juga, terdapat beberapa hukum berkaitan golongan munafikin. Allah menyebut tentang bahaya golongan munafikin dan sifat-sifat mereka di dalam Al-Quran secara jelas sehingga terdapat satu surah khusus tentang mereka iaitu Surah Al-Munafiqun.

Maksud munafik ialah : Menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran.

Tanda-tanda orang munafik turut disebut dalam hadith , antaranya:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : آية المنافق ثلاث: اذا حدث كذب ، واذا وعد أخلف ، واذا أئتمن خان . (متفق عليه )
ومن حديث عبد الله بن عمر رضي الله عنهما : اذا خاصم فجر.


Maksudnya : Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata : Bahawa Rasulullah SAW bersabda “:Tanda munafiq itu tiga : Apabila bercakap dia berdusta, dan apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat.” (Muttafaq Alaih) .Dan daripada hadith riwayat Abdullah bin Umar r.a. : “Apabila bertengkar dia melampaui batas.”

As-Son’ani menyebut bahawa sesiapa yang memiliki sifat yang disebut di dalam hadith ini diitlaq sifat munafik secara majaz, walaupun hatinya tidak kufur kerana sifat-sifat ini merupakan sifat munafikin pada zaman Rasulullah SAW. Namun , hadith ini merupakan peringatan Allah supaya orang Islam tidak mencapai tahap nifaq yang sebenarnya. Justeru, sifat-sifat di atas perlu dihindari oleh setiap orang Islam.

...

Pengajaran Hadith Al-Ifki Kepada Umat Islam

Pertama: Berhati-hati Terhadap Berita yang Tidak Pasti Kesahihannya dan Bahaya Buruk Sangka

Peristiwa hadith Al-Ifki ini memberi pengajaran kepada orang mukimn agar berhati-hati dengan berita yang tidak dipastikan kesahihannya, dan bahaya buruk sangka lebih-lebih lagi berkaitan dengan maruah orang-orang mukmin yang tidak berdosa. Allah telah berfirman di dala surah Al-Hujurat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْم ٌ
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.”

Rasulullah juga ada berpesan :

عن أبي هريرة : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " اياكم والظن فان الظن أكذب الحديث "

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah Saw bersabda: “ Hindarilah prasangka, sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta perkataan.”

Az-zon ialah apa yang terlintas pada diri yang kemungkinan betul, dan kemungkinan salah , kemudian menghukum dan bergantung kepada sangkaan itu. Al-Zamhasyri membahagikan az-zon kepada beberapa bahagian:

Wajib : iaitu bersangka baik kepada Allah , dan kepada mukmin yang zahirnya bersifat adil. Oleh itu, haram untuk bersangka buruk dalam keadaan ini (seperti maksud hadith).

Sunat : iaitu bersangka baik kepada orang yang zahirnya adil di kalangan orang Islam.

Harus : Contohnya kata-kata Abu Bakar kepada Aishah : “Mereka berdua saudara lelaki atau saudara perempuanmu “ apabila mengagak jantina anak di dalam kandungan isterinya.

Dikira harus juga bersangka buruk kepada orang yang sudah mahsyur di kalangan orang ramai sentiasa bercampur gaul dengan perkara yang meragukan dan terang-terangan melakukan perkara yang tercela. Oleh itu , tidak haram bersangka buruk kerana dia telah menunjukkan sendiri keburukannya, sama seperti jika sesiapa yang pergi ke tempat yang tidak elok akan dipandang serong dan sesiapa yang menutup keburukannya disangka baik.

Kesimpulannya, perkara yang membezakan antara zon yang dibolehkan dan zon yang tidak dibolehkan ialah setiap yang tidak mempunyai petanda yang sahih dan sebab yang zahir, maka haram bersangka buruk. Contohnya , sekiranya orang yang disangka itu dikenali memiliki sifat yang baik, zahirnya amanah, maka haram zon khianat dan fasad padanya, berbeza dengan orang yang masyhur melakukan perkara yang meragukan, maka hukumnya adalah sebaliknya.

Suatu yang tidak dapat digambarkan bagaimana manusia sanggup menyangka buruk kepada isteri Rasulullah SAW, buah hati baginda yang dididik sebaiknya di dalam madrasah tarbiyah Rasulullah dan terpelihara dengan akhlak mulia, sehingga sanggup menuduh beliau berzina hanya kerana satu peristiwa yang tidak pasti sebab-musababnya? Oleh itu , Allah menempelak golongan ini dan mengajar mereka bagaimana akhlak sebenar sebagai seorang mukmin sepertimana Allah berfirman di dalam surah An-Nur ,ayat 16:

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : “Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu, : “ Sekali-kali tidak wajar bagi kita memperkatakan hal ini. Maha Suci Engkau Ya Tuhan kami, ini adalah dusta yang besar.”

Selain itu, dalam keadaan seumpama itu, seharusnya orang-orang mukmin mencontohi sikap Abu Ayyub Al-Ansori dan isterinya Ummu Ayyub apabila mendengar mengenai hadith al-ifki seperti yang dikisahkan dalam kitab-kitab sirah tentang perbualan mereka:

Ummu Ayub bertanya kepada suaminya: “Adakah engkau dengar apa yang diceritakan orang tentang Aishah? Abu Ayub menjawab: “ Ya , dan itu semua bohong. Adakah engkau akan melakukan sedemikian, wahai Ummu Ayub?” Ummu Ayub menjawab:” Tidak. Aku tidak akan berbuat sebegitu.”Abu Ayub berkata :” Demi Allah, Aishah lebih baik daripadamu.”

Sikap Abu Ayyub dan isterinya membuktikan ma’rifah mereka terhadap Allah dan RasulNya dengan meletakkan kemuliaan yang selayaknya terhadap bait an-nubuwwah. Seorang mukmin sepatutnya menganggap bahawa pemimpin orang beriman tidak kurang daripada mereka dalam soal memelihara hal-hal berkaitan maruah diri dan agama, apatah lagi isteri seorang nabi dan rasul.

Justeru, sebarang berita yang diterima perlu dipastikan terlebih dahulu dan tidak sepatutnya terus disebarkan kepada orang lain. Sesungguhnya, berbaik sangka sesama mukmin akan menyelamatkan umat Islam daripada kekusutan dan musibah yang tidak diduga. Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, jika dating orang fasiq kepadamu membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu.”

Kedua : Ujian Sunnatullah Bagi Orang-orang Mukmin

Peristiwa hadith al-ifki merupakan ujian yang amat berat bagi Rasulullah SAW, Saidatina Aishah r.a. , Abu Bakar As-Siddiq dan keluarganya serta umat Islam seluruhnya. Sebagai seorang bapa, Saidina Abu Bakar yang dipandang mulia dan dihormati masyarakat sejak zaman jahiliyyah di Mekah tidak dapat menahan kehairanannya terhadap tohmahan kepada anak kesayangannya sehingga diriwayatkan bahawa Abu Bakar berkata : “ Demi Allah, sesungguhnya kami tidak pernah dikata seperti ini pada zaman jahiliyah ketika kami tidak menyembah Allah, tetapi kami dikata semasa kami telah Islam!”

Namun, sudah menjadi sunnatullah, Allah akan menguji semua manusia , lebih-lebih lagi hamba-hamba yang disayangiNya. Allah berfirman :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون *
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan : Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka ,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Setiap ujian yang ditimpakan ke atas hamba-hambaNya mempunyai hikmah yang hanya Dia sahaja mengetahuiNya. Oleh itu, Allah menyebut peristiwa ini sebagai perkara yang baik walaupun zahirnya amat memedihkan jiwa-jiwa yang menanggungnya. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ
Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu menyangka bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu.”

Dalam peristiwa hadith al-ifki ini, Allah menunjukkan kebijaksanaanNya dalam mengatur setiap ketentuanNya. Antara hikmah peristiwa hadith al-ifki ialah:

• Allah ingin menambahkan keimanan Rasulullah SAW,Saidatina Aishah, ahli keluarga baginda dan orang-orang mukmin

• Menunjukkan kepada umat Islam bahawa Rasulullah adalah seorang manusia walaupun baginda seorang nabi. Ini dapat dilihat apabila wahyu tidak turun selama sebulan lamanya untuk membebaskan baginda, ahlul bait dan umat Islam daripada kemelut ini, maka baginda terpaksa menyelesaikan perkara ini dengan kemampuan baginda selaku manusia biasa.

• Menunjukkan keburukan golongan munafikin dan aktiviti mereka

• Membulatkan pergantungan Saidatina Aishah terhadap Allah SWT dan menghilangkan pergantungan terhadap makhlukNya, walaupun suami beliau seorang nabi, sepertimana kata-kata beliau apabila turunnya wahyu:
“ Sesungguhnya aku tidak akan bangun kepadanya (Rasulullah) dan aku tidak akan memuji melainkan Allah kerana Dialah yang menurunkan ayat yang membebaskanku.”

• Menguatkan sangkaan baik terhadap Allah, Rasulullah dan ahlil bait baginda dalam diri orang-orang yang beriman

• Kesabaran dan kethabatan dalam menempuh ujian akan digantikan oleh Allah dengan kemenangan dan kegembiraan sebagai hadiah yang tidak ternilai.

.......

Untuk kertas kerja penuh, sila download dari mini maktabah blog ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama Ogos 18, 2010 11:29 PTG  

apakah isu2 semasa bagi beriman kepada nabi dan rasul???
tolong trangkan dgn lbih detail...

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger