assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Duhai Ayahanda...

Hari ini 15 Jun sambutan hari bapa di beberapa buah negara diadakan. Rupa-rupanya tarikh sambutan hari bapa ini berbeza mengikut negara.Sambutan ini meraikan seorang lelaki yang merupakan tunjang dalam keluarga, bergandingan dengan ibu yang sabar mendidik dan membesarkan anak-anak. Maklumat lanjut tentang hari bapa di sini.

Arwah bapa kembali ke rahmatullah sejak saya berusia 15 tahun. Mengenangkan pemergian beliau mengundang sebak di dada. Bapa saya pergi sebelum sempat melihat saya berjaya dalam PMR yang saya duduki tahun itu dan seterusnya melihat anak-anak yang lain semua berjaya.Saya amat menghargai pengorbanan arwah bapa (dan ibu tentunya) yang begitu sabar mendidik saya dan adik-beradik yang lain serta memberi kasih sayang dengan caranya tersendiri.

Arwah bapa saya seorang yang tidak banyak bercakap dan jarang marah.Beliau seorang yang kemas, membasuh pakaiannya sendiri, menggosok setiap pakaiannya termasuklah kain pelikat yang dipakai untuk ke masjid. Bahkan,ibu menceritakan bahawa sewaktu mata beliau masih terang, beliau mampu menjahit baju raya untuk kami kerana beliau pandai menjahit. Dibelikannya buku dan pensel untuk kami belajar menulis, bahkan beliau menyediakan stok buku tulis, pensel, pemadam dan pengasah pensel di dalam almarinya untuk kami adik-beradik. Pensel habis, tidak perlu beli di luar, minta saja dengan beliau. Secara halus, kami diasuh mencintai ilmu sejak dari kecil.

Arwah bapa saya belajar di sekolah Inggeris hingga Darjah Enam dan sekolah Arab hingga ke Maktab Mahmud, Kedah. Pernah mengajar di Madrasah Idrishiah Kuala Kangsar dan mengajar beberapa orang ustaz saya di sekolah menengah, bahkan kata ibu, Sabihus Samahah Mufti Perak sekarang juga bekas anak murid arwah bapa.Tetapi, malu pula saya nak bertanya kepada Dato' Mufti betul ke tidak :-).Boleh jadi Dato' Mufti pun sudah tidak ingat. Namun, beliau memilih untuk berpindah mengajar di kampung kerana ingin menjaga arwah nenek.

Banyak yang saya belajar dengan arwah bapa, namun,jasa arwah bapa yang paling terbesar kepada saya adalah dengan memberikan pendidikan agama khususnya saya yang dilorongkan ke pengajian agama sejak di sekolah menengah dengan harapan ada anaknya yang meneruskan pengajian di bidang ini. Andai kata saya tidak diajar membaca Al-Quran sejak dari kecil, diajar tentang solat dan berakhlak dengan akhlak Islam, saya tidak tahu bagaiman keadaan saya pada hari ini.

Terlalu banyak pengorbanan seorang bapa kepada anak-anak.Tinggal lagi bagaimana seorang anak ingin membalas jasa-jasa beliau. Setelah beliau meninggal dunia, apa yang boleh dilakukan ialah selalu mendoakan beliau, menyedekahkan pahala kepada roh beliau dan berbuat baik dengan kaum keluarga serta sahabat-sahabatnya.

Moga Allah mencucuri rahmat buat roh arwah bapa saya Ahmad Zabidi bin Abdul Fattah dan ditempatkan bersama para Anbiya' dan Solihin. Al-Fatihah!

Juga, selamat hari bapa buat bapa-bapa sekelian.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger