assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Rasul Melayu Pergi Bersembunyi Macam Nabi?

Harian Metro 18 Mei 2008

KUALA LUMPUR: Bukan sengaja menghilangkan diri, tapi sama dengan tindakan Nabi Muhammad SAW yang bersembunyi di Gua Hira’ apabila diburu golongan musyrikin Makkah.

Itulah kenyataan karut Zul Helmi Abdul Kahar, anak sulung Abdul Kahar Ahmad yang menyebarkan ajaran sesat dengan menggelar dirinya ‘Rasul Melayu’, mengenai kegagalan ayahnya hadir di mahkamah untuk dibicarakan, kali terakhir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, 23 April lalu.

Zul Helmi, 33, berkata demikian kepada Metro Ahad (MA) melalui perbualan di ruang sembang Internet. Metro Ahad sebelum itu berusaha mengatur pertemuan dengan Zul Helmi dalam usaha mendapat komennya mengenai kehilangan Abdul Kahar.

Beliau setuju diwawancara tapi hanya melalui Internet dan tidak mahu bersemuka dengan alasan bimbang kehadiran pihak berkuasa. Berikut sedutan wawancara itu.

MA: Di mana ayah saudara sekarang? Pihak berkuasa mencari beliau bagi kes yang dibicarakan di mahkamah. Adakah beliau bersembunyi daripada pihak berkuasa?

Zul Helmi (ZH): Sama seperti Nabi Muhammad sebelum ini. Berlaku kejadiannya terhadap bapa saya. Nabi Muhammad juga diburu orang musyrikin di Makkah ketika itu untuk membunuhnya dan memenjarakannya atau hendak menyalibnya serta menyingkirkannya. Nabi Muhammad bersembunyi di Gua Hira’, Gua Thur dan beberapa tempat lagi bagi menyelamatkan dirinya daripada orang musyrikin itu.

MA: Adakah ini bermakna ayah saudara tidak berani bersemuka dan menegakkan pendirian dan perjuangannya secara terbuka di mahkamah, apatah lagi ini boleh dijadikan platform terbaik buat perjuangannya berikutan kes ini turut mendapat liputan media?

ZH: Nabi Musa sebelum ini juga antara orang yang benar di sisi Tuhan dan juga Nabi Muhammad. Mereka juga lari menyelamatkan diri daripada orang kafir itu yang berniat jahat terhadap rasul dan orang yang beriman dan ahli keluarganya.

Rasul dan orang beriman tidak memerlukan kepada manusia. Namun manusia memerlukan Rasul dan orang beriman bagi menyelamatkan diri mereka daripada azab pedih serta yang menghinakan atau membinasakan yang datang daripada Tuhan atau untuk masuk ke syurga.

MA: Sampai bila ayah saudara akan menghilangkan diri?

ZH: Hanya Tuhan yang tahu, tetapi bapa saya tetap meninggalkan kaumnya apabila sampai masanya dipanggil Tuhan.

Di dalam wawancara itu, Zul Helmi mengakui menjadi pengikut ajaran ayahnya kerana baginya, sesiapa yang tidak mengikuti ajaran Abdul Kahar adalah kafir. Bagaimanapun, dia menafikan bakal menjadi pengganti ayahnya untuk menyebarkan ajaran itu.

MA: Bagaimana penerimaan masyarakat Malaysia pada perjuangan bapa saudara?

ZH: Hanya segelintir yang beriman dan kebanyakan daripada mereka kafir.

MA: Maksud anda, sesiapa yang tidak menerima ajaran ayah saudara adalah kafir?

ZH: Benar. Oleh kerana ajaran bapa saya adalah ajaran Tuhan yang termaktub di dalam kitab suci al-Quran.

MA: Adakah ajaran ayah saudara dijamin akan diteruskan? Siapa akan meneruskan ajaran ini dan apakah kelayakan untuk meneruskan ajaran ini?

ZH: Apabila ayah saya diwafatkan Tuhan, manusia kena mencari jalan dan cahayanya sendiri untuk selamat daripada azab api neraka dan untuk masuk ke syurga. Terpulang kepada pihak berkuasa dan berwajib sama ada ajaran bapa saya diteruskan atau tidak. Hanya rasul dan orang beriman layak menyampaikan ajaran Tuhan kepada manusia.

MA: Saudara tidak mewarisi ayah saudara?

ZH: Saya hanya mengamalkan ajaran Tuhan yang disampaikan oleh bapa kepada saya.

MA: Saudara bukan pewaris Rasul atau Rasul seterusnya selepas ayah saudara?

ZH: Saya hanya mengamalkan ajaran Tuhan yang disampaikan oleh bapa kepada saya dan ahli keluarga.

--------------------------------

Ulasan saya :

Betapa sesatnya akidah Rasul Melayu dan -pengikutnya.Punca kesesatan ni kerana meyakini adanya Rasul selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sedangkan Allah telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawa Nabi Muhammad SAW itu penutup kepada semua nabi:

ما كان محمد أبا أحد من رجالكم ولكن رسول الله وخاتم النبيين وكان الله بكل شيء عليما

Bermaksud :"Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang lelaki di kalangan kamu , tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi . Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu." (Surah Al-Ahzab : 40)

Rasulullah SAW juga bersabda : " Perumpamaan aku dan nabi-nabi sebelum aku seumpama seorang lelaki yang membina rumah, alangkah cantik dan indahnya, kecuali satu tempat batu-bata yang lompong. Maka orang ramai melihat-lihat rumah itu dan terpesona dengannya , lalu berkata : Mengapa tidak diletakkan batu-bata itu? Akulah batu-bata itu dan akulah penutup kepada Nabi-nabi." (Hadith riwayat Muslim)

Selain itu, Islam juga bukan untuk satu-satu kaum, contohnya Melayu, bahkan untuk semua manusia. Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk semua umat manusia hingga Hari Qiamat.Firman Allah SWT :

وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

Maksudnya :"Dan tidaklah kamu utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam" (Surah Al-Anbiya' : ayat 107)

Firman Allah lagi dalam arahannya kepada Rasulullah SAW:

قل يأيها الناس إني رسول الله إليكم جميعا

Bermaksud : "Katakanlah, wahai manusia, aku adalah utusan Allah kepadamu kesemuanya." (Surah Al-A'raf : 158)

Bahkan Allah SWT juga berfirman bahawa ajaran Islam telah sempurna :

اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا

Bermaksud : "Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu , dan telah kucukupkan kepadamu nikmatku, dan telah kuredhai Islam itu agama bagi kamu." (Surah Al-Maidah : ayat 3)

Justeru, dakwaan Kahar diutuskan sebagai Rasul ternafi dan tertolak dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW sendiri. Saya menyeru agar Kahar dan pengikut-pengikutnya supaya insaf, bertaubat nasuha dan kembali kepada ajaran Islam sebenar serta mengepikan tipu daya syaitan yang sememangnya ingin ramai manusia mengikut jejak langkahnya yang sesat dan akhirnya dicampakkan ke dalam neraka. Na'uzubillah min zalik.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger