assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Syair Pesanan Imam Al-Syafi'e

اصبر على مر الجفا من معلم فإن ثبوت العلم في نفراته
ومن لم يذق مر التعلم ساعة تجرع ذل الجهل طول حياته
ومن فاته التعلم وقت شبابه فكبر عليه أربعا لوفاته
وذات الفتى والله بالعلم والتقى بدونهما لا قيمة لذاته
Bersabarlah atas pahitnya ketegasan guru
Sesungguhnya tetapnya sesuatu ilmu di dalam nasihat beliau
Barangsiapa yang tidak merasai kepahitan belajar sejam
Dia akan meneguk kehinaan jahil sepanjang hayatnya
Dan barangsiapa yang tidak belajar waktu mudanya
Maka takbirkan empat kali tanda kematiannya
Demi Allah, sesungguhnya nilai pemuda adalah pada ilmu dan taqwanya
Tanpa kedua-duanya, tidak bernilai kewujudannya.

Macam-macam...

Rentetan Pembunuhan Bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Butto

Keputusan Kes R Subashini dan suaminya Muhamad Shafi Saravanan Abdullah

Penggunaan Kalimah Allah dalam Bible dan pembaharuan permit akhbar mingguan Gereja Katolik (Herald)

Rungutan Yang Tiada Nilai Di Sisi Pemerintah - Di Mana Harga Suara Melayu?

(Suatu kenyataan yang wajar untuk sama-sama kita fikirkan berkenaan isu tuntutan HINDRAF yang saya ambil dari suatu mailinglist...sila baca dengan sabar)

Di kala isu tuntutan sebuah kaum di negara ini mendapat perhatian dan liputan luar biasa, kami bertanya apakah suara bangsa Melayu yang sudah sekian lama diketengahkan tidak diendahkan? Kami tidak bermaksud untuk menegangkan keadaaan yang sedia panas , tetapi jika benar pihak kerajaan peka dan mengambil berat terhadap semua kaum di negara ini kenapa ada perbezaan layanan tatkala kaum Melayu ingin membuat tuntutan yang sebenarnya jauh lebih munasabah dan rasional dari apa yangdituntut oleh kaum yang sanggup membawa isu dan mencela Negara ke peringkat antarabangsa.

Ternyata kita terkejut dan terpaksa terus menyuarakan bantahan terhadaptuntutan mereka terutama bila mereka beralasan yang keterlaluan, bahawa ujud 'etnik cleansing' yang berleluasa di Negara ini dan adanya penindasan terhadap kaum mereka. Walaupun seperti yang telah diungkapkan oleh banyak pihak bahawa hujah mereka sangat melampau bukan sahaja dari sudut fakta malah dari sudut realiti harian yang dapat kita lihat di Negara ini, namun mereka berjaya menarik perhatian pucuk pimpinan Negara untuk tunduk kepada kehendak mereka. Malah pihak Perdana Menteri yang memberi isyarat supaya tuduhan ke atas 31 anggota mereka yang awalnya didakwa dengan jenayah berat iaitu cuba membunuh seorang anggota polis, digugurkan sendiri oleh Peguam Negara. Suatu prisiden yang bersejarah. Akan tetapi di tengah-tengah perbahasan yang hangat itu, adakah kita lupa betapa banyak keresahan dan sungutan bangsa Melayu nampaknya semacam tidak bererti malah tidak mendapat liputan dan layanan seperti itu dalam media berbahasa Melayu sendiri jauh sekali jawapan yang tuntas dari PM sendiri .Pada hal yang dituntut adalah ditujukan kepada pemimpin-pemimpin orang Melayu sendiri. Ternyata ujud suatu ironi yang sangat pelik.

Sementara pihak yang berwewenang sangat sensitif dan segera memberi reaksi terhadap tuntutan mereka, suara Melayu yang menuntut agar pihak kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang sedia ada untuk membela nasib orang Melayu yang tertindas dan terpinggir tidak diendahkan. Dalam hal ini tidak keterlaluan jika kami menganggap bahawa ujud semacam sebuah diskriminasi kepada bangsa Melayu sendiri tanpa disedari. Cuba lihat beberapa realiti berikut;

1. Masyarakat Melayu menuntut agar pengantar bahasa Inggeris untuk pengajaran Matematik dan Sains segera dikembalikan kepada bahasa Melayu. Suara ini datang bukan dari orang biasa malah dari golongan cendikiawan.Malah suara ini diungkapkan dalam perhimpunan parti pemerintah sendiri.Alasan bahawa negara perlu mendidik rakyatnya menguasai ilmu melalui menekankan bahasa Inggeris sudah dihujahkan dengan sangat menyakinkan bahawa hal ini tidak benar. Akan tetapi pihak berkuasa terus menolak tuntutan tersebut dan berbelanja jutaan ringgit untuk melaksanakan dasaryang bercanggah dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kini natijahnya sudahpun semakin nyata . Kemunduran anak Melayu terutama di sekolah desa akibat tidak dapat mengikuti pelajaran Matematik dan Sains semakin terbukti.

2. Masyarakat Melayu juga menyuarakan kedudukan hartanah Melayu yang kini dihimpit oleh pembangunan. Tanah milik orang Melayu menjadi sasaran pengambilalihan oleh pihak kerajaan bagi pihak pemaju. TRM (Tanah Rizab Melayu) terus mengincup apabila tanah Melayu diambil untuk memberi laluan kepada pembangunan yang menyisehkan bangsa melayu sendiri. Malah banyak TRM yang tidak diganti sedangkan ia suatu keperluan dalam Perlembagaan Persekutuan.

3. Sistem meritokrasi yang telah menghentikan pertimbangan kuota Melayu dalam kursus-kursus kritikal di IPT, kini telah mengakibatkan bilangan pelajar Melayu sudah menurun. Suara beberapa pihak ahli akademik Melayu yang meneliti ujudnya tren yang merugikan bangsa Melayu juga tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Atas nama persaingan sistem ini dipaksakan ke atas orang Melayu walaupun ada cara lain yang boleh dilaksanakan agar orang Melayu tidak terus terpinggir.

4. Masyarakat Melayu juga gusar dengan dasar pemberhentian bantuan perkapita kepada SAR (Sekolah Agama Rakyat) yang diganti denganpengambilalihan melalui skim Sekolah Bantuan Kerajaan. Akan tetapi kehendak sekolah agama yang mahu berrjalan sendiri terus dinafikan dari bantuan kewangan padahal pelajar yang berada di SAR adalah 100 peratus orang Melayu dan terbukti ada SAR yang cemerlang walaupun diuruskan sendiri oleh pihak lembaga masing-maisng. Kini segala bentuk kemudahan dan bantuan hanya disalurkan kepada sekolah yang berdaftar sebagai sekolah bantuan kerajaan dan menafikan hak ratusan ribu pelajar yang mahu belajar di SAR yang bebas untuk mendapat kemudahan seperti pengecualian yuran peperiksaan , permohonan ke sekolah berasrama penuh dan skim pinjaman buku teks.

5. Sementara itu masyarakat Melayu sangat gusar dengan betapa banyak lesen dan permit hiburan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sendiri yang mengakibat generasi muda Melayu terjebak dengan acara hiburan tanpa henti samada dalam acara konsert mahupun dalam media massa seperti TV. Sudah berapa banyak aduan dan suara bantahan diungkap untuk pihak kerajaan segera memberhentikan acara-cara konsert dan hiburan yang melampau malah pernah ditegur oleh mufti sendiri. Namun ternyata suara orang Melayu tidak diambil peduli bilamana pemerintah yang mahu sikap liberal diutamakan dari terlalu terikat dengan agama.

6. Bila bangsa Melayu melahirkan suara bantahannya terhadap kumpulan yang biadap terhadap Islam dan institusi Islam di negara ini , orang Melayu dingatkan agar jangan fanatik dan bersikap esktrim. Padahal orang Melayu hanya mahu agar maruah agama dan bangsa tidak dipersenda oleh orang lain. Isu IFC dan Artikel 11 yang cuba diungkit oleh pihak yang tidak mahu Islam menjadi asas penting di negara ini terutama untuk bangsa Melayu dengan biadap mengguna saluran undang-undang untuk menggugat aqidah bangsa Melayu.Akan tetapi pihak berkuasa lebih mahu menjaga perasaan kumpulan mereka berbanding mendengar keresahan bangsa Melayu.

Demikian, ini adalah hanya sebahagian sahaja dari rungutan orang Melayu yang tidak punya harga di sisi pemerintah. Yang nyata pihak berwewenang tidak melihat suara bangsa ini perlu diambil perhatian serius.Kami merasakan sebenarnya ujud diskriminasi yang lebih serius kepada bangsa Melayu . Hanya kerana pihak pemerintah merasakan bahawa orang Melayu tidak punya masalah besar untuk terus setia dengan status quo yang ada, maka mereka tidak merasa terlalu perlu mendengar rintihan bangsa Melayu berbanding dengan bangsa lain. Yang nyata, perhitungan mereka adalah samada kuasa politik dapat terus dikekalkan walaupun hak bangsa sendiri diketepikan. Kami menggesa supaya hal ini diperhatikan dengan seserius mungkin.

Tanda bahawa orang Melayu sering terlalu mengalah bila membuat tuntutan hanya kerana kita mahu bertolak ansur dengan kaum yang lain nampaknya telah melahirkan situasi yang sangat janggal. Soalnya apakah beberapa tuntutan seperti yang dinyatakan di atas akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan kaum. Walhal kebanyakan tuntutan itu adalah tuntutan yang tidak ada kena mengena dengan hak mereka. Setiap pihak yang menpunyai sensetiviti yang tingggi untuk memastikan agar bangsa Melayu tidak akhirnya merempat di tanah sendiri, maka kami mengharapkan sikap kritikal dan tegas dizahirkan dalam memastikan kedudukan bangsa tidak terpinggir atas nama pembangunan . Semua badan-badan Melayu perlu segera bangkit dari kelalaian yang akan mengakibatkan anak bangsa terus tercicir dari arus dan gelombang tuntutan bangsa lain.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu
26 Disember 2007

--------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan saya:

Saya amat terkesan dengan kenyataan ini. Pun begitu kita perlu berhati-hati dengan tipudaya di sebalik isu ini kerana pilihanraya sudah dekat..Sesiapa yang boleh mengundi, pilihlah pemimpin yang layak memimpin dan ikhlas memperjuangkan nasib agama dan bangsa, bukan memilih pemimpin kerana 'fulus'nya.

Kejayaan Hadiah Paling Bermakna Buat Insan Yang Berusaha

Awwalan, Alfu Mabruk buat Raden Qurratu'aini bt Muhammad Mun'im atas kecemerlangan dalam PMR yang lalu dengan memperoleh 9A yang dicitakan! Nampaknya anak saudara sulung perempuan saya ni telah mencipta sejarahnya tersendiri. Semoga tercapai cita-cita menjejakkan kaki ke bumi Timur Tengah ini sedikit masa lagi. Mudah-mudahan berjaya mencapai apa yang dicita-citakan di dunia dan di akhirat kelak.

Selepas ini, 3 orang anak saudara lelaki saya pula akan menyusul. Sepupu 3 sekawan ( lahir tahun yang sama ) , seperti abah/abi/bapa mereka juga 3 sekawan (berderet selang setahun). Untuk Raden Muhammad Mu'az bin Muhammad Mun'im, Raden Aiman bin Muhammad Anas dan Raden Muhammad Fawwaz bin Muhammad Farhan, didoakan mendapat yang terbaik dalam PMR akan datang. Selamat Maju Jaya buat semua.

Buat sahabat-sahabat di Mesir, Selamat Berimtihan. Moga kejayaan yang dicita menjadi suatu kenyataan. Berusahalah sehabis daya kerana Allah SWT berfirman bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri." Dayung sudah di tangan, lalu apa ditunggu lagi, berkayuhlah menuju destinasi pelabuhan impian. Jangan lupa, persiapkan bekalan secukupnya agar tidak terkapai-kapai dilanda ombak dan gelora di pertengahan jalan nanti! Bittaufiq wannajah!

Nasyid Buat Puteri

Puteri Muslimah Sejati
(Koleksi Nasyid Puteri KISAS)

Wahai Puteri lihat nun di sana
Islammu kini ketandusan pembela
Bersama sendu mengalir lesu
Tertunggu-tunggu mujaddid baru
Islammu kini diulit sepi
Tiada lagi rijaluddin sejati
Wahai puteri khidmatmu dinanti

Ummah derita engkau pengubatnya
Kelembutanmu penawar sengsara
Engkau penyeri Islam dan tamannya
Tanganmu bakal penggoncang dunia

Namun ingat puteri ilmu perlu dicari
Buat bekalan dalam perjuanganmu nanti
Pembimbing diri dari toghut dibenci
Tuntutlah seikhlas hati

Wahai puteri kau muslimah sejati
Teguhkan iman taqwamu di hati
Taqarrub billah takhta peribadi
Amalmu menjadi bukti

Sabarmu dikagumi pasrah pada Ilahi
Redha menghadapi mehnah Rabbul Izzati
Usah ditangisi takdir yang sudah pasti
Pengorbananmu kan disanjungi

Puteri solehah mujahidah ansorullah
Berilmu beramal berkhidmat berjuang
Berkorban agar Islam kan gemilang
Bersama puteri Islam takkan sunyi
Subur disirami harum mewangi
Wahai puteri kau muslimah sejati

Menghayati Roh Korban Di Aidiladha

Jika tiada penyerahan diri yang bulat dan ketaatan yang total kepada Tuhan Yang Maha Mencipta, Nabi Ibrahim pasti tidak sanggup menyembelih Nabi Ismail anak kesayangan baginda.Jika tidak kerana payahnya berkorban semata-mata mencari redha Allah, sudah tentu pahala berkorban tidak sebesar mana.

Dalam kehidupan ini, sering berlaku pertembungan antara kesayangan-kesayangan diri, mana satu yang terpaksa dikorbankan. Berkorban untuk orang tersayang, kesenangan hidup masa hadapan, sahabat, pemimpin, dan pelbagai lagi kepentingan yang memerlukan kita berkorban. Tetapi pengorbanan yang total tanpa bersalut kepentingan selain mendapat redha dan cinta Allah itu amat payah dibuktikan walaupun mudah untuk dituturkan dengan kata-kata.

Kadangkala pengorbanan itu 'kelihatan seperti untuk Allah' tetapi bercampur niat lain di sebaliknya. Seringkali manusia 'mengorbankan Allah' kerana lebih sayangkan manusia (isteri,suami, anak-anak, sahabat handai, keluarga, kekasih dll), harta, atau diri sendiri berbanding Allah yang lebih utama.Contohnya, manusia tidak sanggup melakukan amar makruf nahi mungkar semata-mata kerana menjaga hati orang tersayang. Lalu, siapakah yang 'berkorban' dan 'terkorban' dalam hal ini?

Justeru, marilah kita mencontohi Nabi Ibrahim yang memilih untuk mengorbankan kesayangan hatinya dan Nabi Ismail yang berkorban semata-mata kerana taatkan perintah Allah serta meyakini Allahlah yang paling berhak menerima pengorbanan yang mutlak, bukan makhlukNya yang lain. Marilah
memuhasabah diri dan mendidik jiwa menghayati roh korban dengan sebenar-benarnya. Letakkan cinta kepada Allah melebihi segala-galanya, dalam masa yang sama tidak mengabaikan kasih sayang sesama makhlukNya yang merupakan asas terletaknya kasih sayang Ar-Rahman. Berkorban untuk perkara lain itu tidak salah, yang salah ialah 'mengorbankan Allah' dengan mengutamakan kepentingan lain apabila bertembung.

Wanita Ibarat Apa...???

Ada orang kata "wanita ibarat bunga", mungkin kerana keindahannya.

Ada orang kata lagi "hati wanita ibarat kaca" , barangkali kerana kehalusan perasaannya.

Ada orang kata lagi "wanita ibarat mutiara", barangkali kerana tinggi nilai maruahnya.

Ada satu lagi yang orang kadang-kadang terlupa, "wanita juga ibarat besi waja" kerana keimanan, kecekalan dan ketabahannya.

Sebenarnya, wanitalah yang menentukan dirinya ibarat apa...

Baca di sini komen seorang pejuang tentang srikandi berhati waja.

Media Israel Akui Kekuatan HAMAS



Media Israel menyifatkan lautan manusia yang menyertai sambutan ulangtahun ke-20 HAMAS di Ghaza semalam (15 Disember) sebagai sebagai bukti kekuatan pergerakan mereka dan mereka memiliki penguasaan sebenar ke atas bumi Ghaza.
Wartawan Televisyen Siaran 10 Israel mengulas tentang sambutan yang terbesar dalam sejarah pergerakan HAMAS :"Seolah-oleh semua rakyat Ghaza keluar dari rumah mereka menyertai perhimpunan ini."
Beliau menambah lagi :" Setelah sambutan mengingati kematian Yasir Arafat di Ghaza, sebahagian orang menyangka HAMAS telah lemah, tetapi hari ini tidak kira sama ada yang hadir 100,000 orang atau 200,000 orang, sambutan ini berjaya membuktikan kekuatan HAMAS dan mereka benar-benar memiliki penguasaan ke atas Ghaza."
Stesyen Televisyen menyeru Kerajaan Israel supaya berunding dengan HAMAS kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain di hadapan mereka selain itu," Kerana setiap usaha untuk melemahkan HAMAS tidak akan berjaya meragut sokongan rakyat terhadap HAMAS. Memotong elektrik, memberhentikan gaji, menutup laluan, atau membunuh pemimpin mereka tidak akan menatijahkan apa-apa."
Sumber asal di sini.
Ulasan saya :
Syabas buat para pejuang HAMAS..
Hanya dengan berpegang teguh kepada prinsip Islamlah, musuh Islam akan gerun dan tunduk kepada umat Islam.
Bak kata-kata Saidina Umar Al-Khattab : " Kita adalah kaum yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain apa yang dimuliakan Allah, kita akan dihinakan Allah."
Mereka telah membuktikan kebenaran iman dan keyakinan mereka, bagaimana pula dengan kita yang belum teruji?

Sedikit Coretan : Ada Apa Pada Nama..

Banyak orang bertanya, "Kenapa nama awak ada Raden?" "Raden ni maksudnya apa ye?" Seolah-olah satu soalan wajib ditanyakan setiap kali perkenalan dihulurkan. Kadang-kadang letih juga nak menjawabnya..Baiklah, bagi sesiapa yang inginkan jawapannya, saya akan khabarkan di sini saja.

Mengikut laman web wikipedia, Raden adalah gelar kebangsawanan di kebudayaan Jawa, Madura dan Sunda. Gelar ini sejak abad ke-14 juga dipakai di Kalimantan dan masih dipakai pada sebagian keraton misalnya Kesultanan Sambas. (Ulasan saya : seperti juga nama Wan, Nik, Tengku dan lain-lain yang pada asalnya gelaran bagi keturunan bangsawan).

Arwah datuk saya datang dari tanah Jawa, berhijrah ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan membuka kampung tempat tinggal saya sekarang. Saya tidak pasti mengapa beliau berhijrah tetapi setahu saya ramai orang dari rantau Melayu sama ada Acheh, Sumatera, Patani dan sebagainya yang berhijrah ke Tanah Melayu. Barangkali mencari kehidupan yang lebih selesa ataupun berdakwah (saya kurang pasti).

Arwah ayah saya dilahirkan di Tanah Melayu, begitu juga adik-beradiknya yang lain kecuali abang sulungnya lahir di Jawa. Mereka membuka sekolah pondok atau persantren di kampung saya
yang menjadi tumpuan penuntut ilmu dari merata tempat, dekat dan jauh di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada keluarga arwah ayah saya. Masa berlalu, lama-kelamaan pondok tersebut semakin surut penuntutnya dan akhirnya hari ini hanya berfungsi sebagai sekolah rendah agama rakyat yang mengajar KAFA pada waktu petang. Saya diberitahu bahawa saya masih lagi mempunyai saudara mara di Pulau Jawa, tetapi saya tidak pernah mengenali mereka. Dengarnya ada pakcik dan sepupu saya yang pernah pergi ke Indonesia mencari saudara mara yang masih hidup dan menziarahi mereka.

Timbul lagi satu soalan. Mengapa nama ayah saya tiada Raden? Jawapannya : kerana tidak diletakkan di dalam surat beranak dan kad pengenalan walaupun sepatutnya ada. Lagi? Adakah semua adik-beradik ada nama Raden? Tidak. Sebabnya abang sulung saya tidak diletakkan Raden, akhirnya kesemua nama adik-beradik lelaki tidak diletakkan Raden di dalam surat beranak walaupun sebenarnya ada. Hanya saya dan kakak sahaja ada Raden. Tetapi bagi mengelakkan terputusnya keturunan, abang-abang saya telah meletakkan Raden di pangkal nama semua anak-anak mereka, lelaki dan perempuan.

Cuma barangkali kombinasi nama saya yang agak pelik dari yang lain. Setakat ini saya belum pernah berjumpa dengan orang yang mempunyai nama yang sama dengan saya. Kalau ada pun hampir sama tetapi tidak serupa. Nabahah ( نباهه ) maksudnya "kecerdasan atau kemasyhuran". Kalau dieja dengan bahasa Arab, dengan huruf Ha' bulat' (ه ), bukan Ha 'pedas' (ح ). Kesilapan membaca akan menukar erti kepada "salakan anjing".

Teringat semasa saya di Tingkatan Empat ada salah seorang sahabat sekelas saya bertanya kepada Ustazah semasa belajar Bahasa Arab, bagaimana jika orang yang bernama Nabahah, sebab ustazah membuat contoh ayat ada perkataan Nabiha yang bermaksud menyalak. Haru, haru..tersentak juga saya. Ustazah pun terangkan, kalau nama orang tu Nabahah maksudnya Zaka' (kecerdikan), bukan menyalak. Bila diingat-ingat balik, kebanyakan ustaz dan ustazah yang mengajar saya Bahasa Arab akan memanggil saya Nabahah
berbanding dengan panggilan Raden, kerana maknanya yang elok.

Terima kasih tidak terhingga buat arwah bapa saya yang memberikan anak-anaknya nama yang baik walaupun kadang-kadang saya menjadi takut kerana nama itu juga menyebabkan saya jadi terkenal! Apapun, pesanan saya, sama-samalah kita berikan nama yang baik-baik kepada anak-anak kita, bukan melihat kepada sedapnya sebutan, tetapi yang lebih penting ialah makna yang terkandung kerana nama itu adalah doa yang mendorong kita membentuk peribadi berdasarkan nama tadi, dan akhirnya nanti kita akan dipanggil dengan nama tersebut pada hari Qiamat. Mudah-mudahan anak-anak kita tidak menempelak kita seperti yang berlaku kepada seorang lelaki yang datang berjumpa Saidina Umar mengadu tentang anaknya menderhaka padanya. Kata si anak menjawab: Ayahku lebih dahulu berbuat buruk padaku, dipilih ibuku dari keturunan yang hamba Majusi, diberikanku dengan nama yang bererti lipas dan tidak mengajar aku dengan didikan Al-Quran.

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger