assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Renungan : IQ, EQ dan Soal Hati

Pemikir Barat, Goleman menyatakan bahawa 80% kejayaan seseorang adalah bergantung kepada EQ (kecerdasan emosi) berbanding dengan cuma lebih kurang 20% sahaja yang disebabkan oleh IQ (kecerdasan mental). Konsep EQ ( Emotional Intelligence) atau kecerdasan emosi ini adalah satu konsep kecerdasan yang lebih luas, ada kaitan dengan kesedaran terhadap emosi dan perasaan serta bagaimana perasaan boleh berinteraksi dengan kecerdasan mental atau IQ. Goleman menyatakan bahawa EQ mengandungi beberapa faktor iaitu: memahami emosi sendiri, kebolehan mengendalikan emosi , memotivasikan diri , menyedari emosi orang lain dan mengendalikan hubungan sillaturrahim dengan orang lain.

Justeru, kita boleh membuat kesimpulan bahawa peranan hati yang menjadi tunjang kepada perasaan dan emosi (EQ) itu mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan kejayaan manusia dalam melayari kehidupan, bukan bergantung semata-mata kepada kecerdasan akal yang menjadi buruan sesetengah orang. Hal ini bukanlah suatu yang asing di dalam Islam. Hakikat ini telah jelas sejak lebih 1400 tahun yang lalu apabila Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa : "Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada seketul daging. Sekiranya baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan sekiranya buruk daging itu,maka buruklah jasad keseluruhannya, dan daging itu adalah hati."


Hati yang dididik, dibenteng dengan iman, dihias dengan taqwa, akan mengarah pemiliknya ke jalan kebenaran. Manakala hati yang terbiar tanpa dididik, tidak diperkuat dengan antibodi iman, tidak mendapat vaksin taqwa akan cepat lemah berdepan dengan virus nafsu dan syaitan, lalu menyebabkan pemiliknya memilih jalan kebatilan. Akal anugerah Allah sepatutnya membantu hati untuk mengagungkan Allah, bukan diagungkan sehingga seolah-olah akallah yang menentukan segala-galanya hingga menafikan bahawa Allahlah yang menganugerahkan akal kepada manusia.Kemunculan ideologi sesat seperti pragmatisme, komunisme, marxisme dan isme-isme lain membuktikan betapa taksubnya manusia kepada akal dan kebendaan, lantaran kegagalan manusia mendidik hati untuk tunduk kepada kebenaran dan kuasa Allah.

Hari ini, kita melihat masyarakat terlalu mengambilberat soal mendidik akal, contohnya dengan memastikan anak-anak mendapat kecemerlangan akademik,masuk ke universiti, dan mendapat phD dalam bidang-bidang pilihan, tetapi mereka terlupa bahawa mendidik hati juga adalah tugas yang WAJIB dilaksanakan oleh para pendidik sama ada ibubapa, guru, pendakwah, malah setiap manusia terhadap dirinya sendiri. Lantaran itu, kita melihat hari ini orang yang cerdik dan punya ilmu sarat di dada, tetapi merekalah penentang kebenaran, kufur kepada Allah, mempergunakan ilmu untuk kepentingan diri, rosak akhlak dan tandus iman. Firman Allah SWT bermaksud :

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik (kalimah tauhid, amar ma'ruf nahi mungkar dan segala perbuatan yang baik) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit, pohon itu memberikan buah setiap musim seizin Tuhannya, Allah membuat perumpamaan itu untuk menusia supaya manusia selalu ingat.
Dan perumpamaan kalimah yang buruk (kalimah kufur,segala perbuatan yang tidak baik dan tidak benar) seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat tegak sedikitpun.Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh dalam kehidupan di dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki."
Tugas mendidik hati adalah tugas semua manusia terhadap dirinya dan orang lain. Sebab itulah Rasulullah menekankan soal nasihat menasihati dalam agama. Hati yang tidak diberi peringatan akan keras seperti kerasnya batu, malah lebih keras daripada itu. Lebih-lebih lagi bagi para da'ie yang membawa risalah Islam, soal penyucian hati (tazkiyatul anfus) mesti dititikberatkan. Para daie mesti mendidik dirinya sendiri sebelum mendidik orang lain. Jangan sampai 'doktor' yang mengubati pesakit sendiri yang berpenyakit. Memuhasabah diri , membedah siasat amalan harian sebelum tidur merupakan perkara paling simple yang wajib dilakukan. Taqwa tidak datang sendiri, tetapi ia mesti diusahakan, asasnya ialah mujahadah (melawan hawa nafsu), muhasabah (menghisab diri sendiri) mu'atabah (mencela kesalahan diri), mu'aqabah (menghukum diri sendiri), dan mu'ahadah (berjanji untuk melakukan perubahan).
Itu baru sedikit, banyak lagi yang nak dihuraikan tentang taqwa ni.. Jumpa lagi dalam entry akan datang ..nantikan sambungannya.

2 ulasan:

Tanpa Nama Julai 06, 2007 8:54 PG  

Walaupun saya pernah belajar ilmu nafsi dikuliah (Psikologi) tapi madah ni agak sukar bagi saya, saya lebih mudah memahami teori sains politik dalam ilmu ijtima' (sosiologi), saya amat berharap satu hari nanti mampu hadam dan memahami muqaddimah ibn khaldun.

Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi Julai 06, 2007 5:45 PTG  

saya pun tak pernah belajar secara formal tapi memang berminat ilmu psikologi, tasawwuf dan kaunseling. banyak maklumat melalui pembacaan, pengalaman dalam program pembimbing rakan sebaya di sekolah, menjadi fasilitator, pemerhatian peribadi serta pengalaman orang lain. dengan kemampuan memahami diri sendiri, barulah seseorang mampu mengawal dirinya dan memahami orang lain. ilmu psikologi ni sangat penting sebagai pendakwah. pendakwah mesti ada sifat empati (boleh meletakkan diri di tempat orang lain).barulah dia tahu bagaimana menyelesaikan masalah mad'unya. teruskan usaha mendalami apajua ilmu untuk ummah.

Catat Ulasan

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger